Sebagai seorang Islam, kita tidak boleh memandai-mandai dalam membuat keputusan. Logik kita, tidak semestinya sama dengan syariat Allah.
Hukum syariat ada 5 iaitu:
1.Wajib (halal)
2.Haram
3.Sunat
4.Makruh
5.Harus
Apakah sekecil-kecil perkara yang boleh dijadikan contoh?
Menguap.
Bagi sesetengah orang, menguap hanyalah soal remeh. Tetapi sebenarnya menguap itu pun tertakluk pada lima hukum.
Menguap adalah tindakan biologi seseorang yang mengantuk. Tetapi oleh kerana mungkin kita malu (kerana berada di khalayak ramai atau majlis tertentu), kita menahan diri untuk menguap sehingga ke tahap yang boleh memudaratkan (jatuh pengsan atau sakit kepala). Maka ketika itu, menguap jadi wajib sekiranya dengan tidak menguap boleh memudaratkan tuan punya badan. Wajib ertinya, perlu menguap dan diberi pahala. Sekiranya tidak menguap, jatuh dosa.
Sebaliknya pula, menguap jatuh haram sekiranya kita pura-pura menguap untuk menyakitkan hati orang lain. Contohnya semasa mendengar ceramah, kita bosan dan benci pada penceramah tersebut lalu kita pura-pura menguap untuk ‘memberitahu’ penceramah bahawa kita bosan atau benci. Menguap itu menjadi isyarat untuk ‘menghalau’ atau menyuruh si penceramah berhenti. Maka ketika itu, menguap jatuh haram; dibuat berdosa, ditinggalkan berpahala.
Menguap, jika dilakukan mengikut sunnah Rasulullah s.a.w., yakni dengan menutup mulut dan membaca taawwuz, kelihatan sopan dan tertib sekali dan disukai oleh Allah SWT. Dengan menguap seperti itu, hukumnya sunat. Sangat digalakkan dan diberi pahala.
Harus menguap dalam mana-mana posisi tubuh – berdiri, duduk atau berbaring. Contoh: Tidak semestinya menguap mesti dalam keadaan duduk.
Perbuatan makruh, walaupun tidak haram, tetapi tidak disukai Allah SWT dan hodoh pada pandangan manusia. Menguap jatuh makruh sekiranya dilakukan tanpa sopan misalnya membuka mulut lebar-lebar tanpa menutupnya hingga kelihatan begitu buruk dan cela dipandang orang. Kebencian Allah SWT ke atas perkara makruh, walaupun tidak berdosa, elok sangat ditinggalkan. Malah, jika ditinggalkan, berpahala pula.
Sekiranya dalam soal sekecil seperti menguap ini pun ada lima hukum yang menyuluh dalam kemungkinan mendapat pahala dan dosa, redha atau murka Allah SWT, apalagi dalam soal-soal yang lebih besar lagi?
Author: Pahrol Mohamad Juoi
Dipetik dari Majalah Solusi
No comments:
Post a Comment