Semasa melayari internet, saya terjumpa satu artikel yang menarik. Mungkin anda sudah membacanya, untuk yang belum membaca disini saya kongsikan 7 rahsia menjadi insan berjaya berdasarkan Surah Al-Mukminun. Artikel asal menggunakan bahasa sangat santai, jadi saya ubahkan supaya lebih mesra internet.
Terjemahan:
[1]Sesungguhnya berjayalah orang-orang yang beriman,
[2]Iaitu mereka yang khusyuk dalam sembahyangnya;
[3]Dan mereka yang menjauhkan diri dari perbuatan dan perkataan yang sia-sia;
[4]Dan mereka yang berusaha membersihkan hartanya (dengan menunaikan zakat harta itu);
[5]Dan mereka yang menjaga kehormatannya, -
[6]Kecuali kepada isterinya atau hamba sahayanya maka sesungguhnya mereka tidak tercela: -
[7]Kemudian, sesiapa yang mengingini selain dari yang demikian, maka merekalah orang-orang yang melampaui batas;
[8]Dan mereka yang menjaga amanah dan janjinya;
[9]Dan mereka yang tetap memelihara sembahyangnya;
[10]Mereka itulah orang-orang yang berhak mewarisi -
[11]Yang akan mewarisi Syurga Firdaus; mereka kekal di dalamnya.
1. Keyakinan, kepercayaan dan keimanan yang bulat kepada Allah.
“Sesungguhnya BERJAYALAH orang-orang yang beriman.”
Iman dan kejayaan disebut oleh Allah SWT dalam ayat yang sama. Maka, imanlah faktor utama kejayaan. Dan keyakinan yang tinggi inilah yang akan melahirkan sikap yang positif seterusnya yang bakal disebutkan dibawah.
2. Fokus, bersungguh-sungguh, sepenuh hati.
“Iaitu orang-orang yang khusyuk dalam solatnya.”
Buat satu kerja pada satu masa dengan khusyuk dan tekun. Jika membuat kerja sambil lewa akan membuat banyak kerugian dan membuang masa serta menyebabkan kita ketinggalan.
3. Jangan membuang masa dan tentukan keutamaan.
“Dan orang-orang yang menjauhkan diri dari lagha (perbuatan dan perkataan yang tidak berguna).”
Berehatlah sekadar-kadarnya sahaja. Janganlah berlebihan sehingga menyebabkan tujuan asal bekerja atau belajar tidak dapat dilaksanakan dengan sempurna. Terlalu banyak hiburan yang melekakan dan melalaikan termasuklah internet.
Setiap Muslim perlu mempunyai disiplin yang tinggi untuk mengawal diri masing-masing. Sekiranya perlu berehat, berehatlah dengan membuat perkara yang bermanfaat seperti bersenam, membaca bahan bacaan yang ringan dan sebagainya atau yang paling baik, membaca Al Quran atau berzikir.
4. Hargailah orang lain.
“Dan orang-orang yang menunaikan zakat.”
Walaupun sedang berada di saat-saat genting, janganlah kita bersikap terlalu mementingkan diri, dan mengabaikan kawan-kawan yang lebih susah di sekeliling kita. Kongsilah apa yang termampu dan tidak semestinya berkongsi wang sahaja.
5. Jaga hubungan antara lelaki dan perempuan.
“Dan orang-orang yang menjaga kehormatannya. kecuali terhadap isteri-isteri mereka, atau hamba yang mereka miliki, maka mereka (isteri dan hamba) dalam hal ini tiada tercela. Sesiapa yang mencari dibalik itu, mereka itulah orang-orang yang melampaui batas.”
Janganlah kita menggunakan alasan bekerja atau belajar dengan melanggari batas-batas pergaulan antara lelaki dan perempuan ajnabi, misalnya dengan berdua-duan, kemudian pulang ke rumah berpimpin tangan, atau apabila stress mencari alasan untuk menelefon atau chatting dengan kawan lelaki/perempuan anda. Padahal Allah kan sentiasa ada, sentiasa melindungi, sentiasa menolong…jika kita mencari dan meminta padaNya.
6. Jujur, amanah.
"Dan orang-orang yang memelihara amanah-amanah dan janjinya.”
Bukankah kita telah berjanji dengan pihak majikan atau untuk pelajar dengan penaja dan ibu bapa untuk bekerja atau belajar bersungguh-sungguh. Lebih penting lagi, bukankah kita telah berjanji dgn Allah untuk memanfaatkan peluang kehidupan sebagai seorang pelajar yang telah dipinjamkanNya kepada kita sebagai medan untuk kita mengutip ilmu,pengalaman dan pahala buat bekalan di akhirat sana insyaAllah.
7. Menepati masa dan teliti.
“Dan orang-orang yang memelihara solatnya.”
Memelihara solat lima kali sehari setiap hari juga mengajar kita untuk tidak berputus asa di pertengahan jalan. Amalkan sikap ini dengan istiqamah. Maksud utama dalam ayat tersebut supaya kita sangat menjaga hubungan kita dengan Allah SWT kerana kita akan kembali mengadapNya dengan amal-amal kita, bukan dengan kemewahan harta yang kita ada. Bahkan harta yang banyak akan melewatkan kita dari memasuki syurga dan mendekatkan dengan api neraka.
http://newszune.blogspot.com
No comments:
Post a Comment