Hukum asal memperkatakan keburukan orang lain adalah haram. Jika keburukan itu benar-benar dilakukannya lalu kita memperkatakannya (tanpa suatu desakan yang diiktiraf oleh Syariat) kita dianggap mengumpat (ghibah). Jika keburukan itu tidak dilakukannya (yakni kita yang mengada-adakannya), kita telah melakukan dosa fitnah dan juga ghibah (umpatan). Samada mengumpat (ghibah) atau fitnah, kedua-duanya adalah dosa besar, apatah lagi jika menggabungkan kedua-duanya.
Dalam Soheh Muslim, terdapat hadis dari Abu Hurairah yang menceritakan; Nabi pernah bertanya para sahabatnya; "Tahukah kamu apa itu ghibah (umpatan)?". Mereka menjawab; "Allah dan RasulNyalah yang paling tahu". Nabi menjawab; "Ghibah (umpatan) ialah kamu menyebut tentang saudara kamu sesuatu yang ia tidak suka". Lalu seorang bertanya Nabi; "Apa pandangan kamu ya Rasulullah jika apa yang aku sebutkan tentang saudaraku benar-benar ada pada pada dirinya". Jawab Nabi; "Jika ia benar-benar ada pada dirinya, lalu kamu menyebutnya, maka kamu mengumpatinya. Namun jika ia tidak ada padanya, lalu kamu menyebutnya (dengan mereka-rekanya), maka kamu telah mengadakan suatu pembohongan terhadapnya".
- (HR Imam Muslim, Kitab al-Birr wa as-Silah, bab Tahrim al-Ghibah).
Bagi masalah ghibah (iaitu menceritakan/mendedah keburukan orang lain atau menyebut orang lain dengan suatu nama yang buruk) dikecualikan bagi enam situasi berikut mengikut yang dijelaskan oleh para ulamak (antara Imam an-Nawawi dalam kitabnya Syarah Soheh Muslim dan Riyadhus-Salihin):-
A) Apabila diri dizalimi - Harus orang yang dizalimi membuat pengaduan kepada pemerintah, qadhi atau pihak berkuasa lainnya dengan menceritakan keburukan atau kezaliman orang yang menzaliminya.
B) Memohon bantuan untuk mengubah suatu kemungkaran dan mengembalikan pelaku maksiat kepada kebenaran, seperti seorang melaporkan kapada pihak yang berkuasa mengubah kemungkaran - "Si Fulan telah melakukan perbuatan sekian sekian, tegahlah ia".
C) Bertujuan mendapatkan fatwa (pandangan agama) - seperti Hindun yang mengadu kepada Nabi sikap kedekut suaminya. Ia berkata kepada Nabi, "Ya Rasulullah, suamiku Abu Sufyan seorang yang kedekut, bolehkah aku mengambil wangnya tanpa diketahuinya?".
D) Memberi peringatan kepada kaum muslimin agar berjaga-jaga dari suatu kejahatan, seperti mendedahkan kepalsuan seorang yang pura-pura alim atau pembawa ajaran sesat supaya orang ramai mengetahui hakikat dirinya yang sebenar. Begitu juga, mendedahkan penyelewengan seorang pemimpin dalam mentadbir rakyat kepada orang yang berkuasa melantiknya agar mereka tidak tertipu untuk terus memberi kuasa kepadanya.
E) Seorang yang berterang-terangan melakukan dosa atau kesesatan seperti berterang-terang minum arak, berterang-terang menganut fahaman sesat atau seumpamanya. Orang sebegini harus disebut tentang dirinya dengan maksiat yang dilakukannya secara terang itu. Adapun maksiat yang dilakukannya secara tersembunyi, tidak harus disebut kecuali ada suatu sebab yang lain.
G) Untuk memperkenalkan seseorang, harus menyebut seseorang dengan suatu gelaran jika ia masyhur dikenali dengan gelaran itu. Haram menyebut suatu gelaran dengan tujuan merendahkan martabat orang lain.
Dalam enam situasi di atas, dibolehkan kita memperkatakan/mendedahkan keburukan orang lain kerana ia mempunyai tujuan yang diharuskan Syariat untuk maslahah yang lebih besar dari maslahah individu yang diperkatakan keburukannya.
Oleh kerana hukum mengumpat adalah haram pada hukum asalnya dan dosanya adalah besar, maka orang yang terpaksa menggunakan pengecualian di atas hendaklah memerhatikan perkara berikut:-
A) Memerhati niat dalam hatinya; apakah ia benar-benar terpaksa memperkatakannya atau hanya lahir dari keinginan nafsunya sahaja. Jika hati benar-benar berkata; "Aku wajib mendedahkannya demi agama dan ummah", maka bertawakkallah kepada Allah dan teruskanlah apa yang diyakini. Namun jika hati berkata; "Ini hanya keinginan nafsu sahaja", batalkanlah niat untuk berkata tentang orang lain itu, kerana padah yang bakal kita terima tidak padan dengan sedikit kepuasan yang kita dapat.
B) Ia hendaklah mengukur natijah darinya; adalah dengan memperkatakannya akan membawa kesan lebih baik atau dengan senyap sahaja dan mencari pendekatan lain yang lebih baik untuk membetulkan orang terbabit.
C) Setiap yang dilakukan kerana darurat (kerana hukum asalnya adalah haram) tidak harus berlebihan, yakni dilakukan sekadar perlu sahaja.
D) Maksiat yang dilakukan berkait dengan orang lain, yakni pendedahan terpaksa dilakukan untuk mengelak orang lain turut terlibat atau terzalimi jika mereka tidak mengetahuinya. Adapun maksiat yang bersifat peribadi tidak harus didedahkan kerana ia adalah dosa antara pelakunya dengan Allah. Sesuatu yang ditutup Allah, tidak berhak kita membukanya kerana nanti keaiban kita pula akan dibuka Allah.
Walalhu a'lam.
Rujukan;
1. Syarah Soheh Muslim, Imam an-Nawawi, Kitab al-Birr wa as-Silah, bab Tahrim al-Ghibah.
2. Riyadhus-Salihin, Imam an-Nawawi, Bab Ma Yubahu Min al-Ghibah.
Posted by USTAZ AHMAD ADNAN FADZIL
http://ilmudanulamak.blogspot.com/
No comments:
Post a Comment