Hati menjadi hidup dengan iman.
Iman bermaksud meyakini sepenuhnya dengan hati akan segala yang disampaikan oleh Nabi Muhammad s.a.w. dari wahyu Allah yang terkandung di dalam al-Quran dan as-Sunnah.
Asas-asas iman iman keyakinan kepada rukun-rukun iman yang enam. Penyempurnaan bagi iman ialah dengan menyahut seruan Allah dan RasulNya iaitu dengan mentaati segala perintah keduanya. Apabila seseorang itu yakin kepada Allah dan RasulNya dan diikuti pula dengan ia menyahut seruan keduanya iaitu mentaati mereka, maka ketika itu barulah hatinya akan hidup.
“Wahai orang-orang beriman! Sahut dan sambutlah seruan Allah dan seruan RasulNya apabila ia menyeru kamu kepada perkara-perkara yang menghidupkan kamu. Ketahuilah bahawa sesungguhnya Allah berkuasa mengubah atau menyekat di antara seseorang itu dengan hatinya, dan sesungguhnya kepadaNyalah kamu akan dihimpunkan”.
- (al-Anfal; 24)
Kalimah yang mengungkapkan iman ialah “Lailaha Illallah”. Kalimah ini digelar juga dengan kalimah Syahadah, kalimah at-Taqwa dan kalimah al-Ikhlas. Kalimah ini akan menghidupkan hati apabila diucapkan dengan ikhlas dan benar. Dengan mengulang-ulangkan kalimah ini, iman di dalam hati kita akan sentiasa baru dan segar.
Di dalam sebuah hadis, Nabi s.a.w. berpesan kepada sahabat-sahabatnya; “Hendaklah kamu sekelian memperbaharui iman-iman kamu”. Mereka bertanya beliau; “Ya Rasulullah! Bagaimana caranya kami hendak memperbaharui iman kami?”. Baginda menjawab; “Banyaklah menyebut Lailaha Illallah”
- (Riwayat Imam Ahmad dan al-Hakim dari Abu Hurairah r.a.).
USTAZ AHMAD ADNAN FADZIL
http://koleksi-alqalam.blogspot.com/
No comments:
Post a Comment