Soalan:
Bagaimana hak jagaan anak yang telah berumur 12 tahun? Siapakah yang lebih berhak; bapa atau ibu? Bagaimana dengan nafkah dan hak menziarahi anak? Haruskah bapa menghalang ibu dari menziarahi anaknya?
Jawapan:
1. Apabila anak telah mencapai umur mumayyiz dan dapat melakukan sendiri keperluan-keperluan asasnya (yakni dapat makan, memakai pakaian dan membersih diri dengan sendiri), menurut mazhab Syafiie, anak tersebut berhak memilih samada untuk tinggal bersama bapa atau ibunya.
Ini berdalilkan hadis dari Abu Hurairah r.a. yang menceritakan: Seorang perempuan datang kepada Nabi bersama anak lelakinya. Ia mengadu kepada Nabi tentang suaminya yang ingin merampas anak itu darinya. Nabi lalu berkata kepada anak itu; “Ini adalah bapamu dan ini adalah ibumu. Peganglah tangan mana satu dari mereka berdua yang kamu suka”. Lalu ia memegang tangan ibunya dan ibunya pun membawanya pergi”.
- (Riwayat Imam Abu Daud).
2. Walau bagaimanapun, hak penjagaan terhadap anak bergantung kepada kemaslahatan anak tersebut. Jika kedua-dua ibu dan bapa mempunyai kelayakan untuk menjaga kebajikan si anak, barulah diberi pilihan kepada si anak. Jika mana-mana pihak tidak mempunyai kelayakan -seperti mempunyai masalah mental, tidak mempunyai kemampuan (fizikal, masa dan kemudahan hidup), fasik/jahat dan sebagainya-, hak jagaan tidak harus diserahkan kepadanya, akan tetapi diserahkan kepada pihak satu lagi atau pihak lain yang dapat menjaga si anak dengan baik.
3. Jika si anak memilih untuk tinggal bersama ibunya, bapa hendaklah meneruskan nafkah selagi anak memerlukan (yakni sebelum ia dapat berdikari dan mempunyai kewangan sendiri). Tidak harus bapa memutuskan nafkah dengan alasan si anak tidak memilih untuk tinggal bersamanya kerana nafkah anak adalah kewajipan bapa selama anak itu memerlukan tidak kira samada anak itu tinggal dengannya atau dengan orang lain.
4. Mana-mana pihak (dari ibu atau bapa) yang diberi hak jagaan tidak harus menghalang pihak lain untuk menziarahi si anak. Dalam bahasa lain, tidak harus ibu menghalang bapa dari menziarahi anaknya dan begitu juga, tidak harus bapa menghalang ibu dari menziarahi anaknya. Malah wajib kedua mereka saling berkerjasama untuk kemaslahatan anak mereka dan tidak membabitkan si anak dalam pertikaian antara mereka serta tidak menjadikan anak sebagai mangsa untuk melepaskan protes atau kemarahan antara satu sama lain.
Firman Allah (bermaksud); “Janganlah (menjadikan) seseorang ibu itu menderita kerana anaknya, dan (jangan juga menjadikan) seseorang bapa itu menderita kerana anaknya.”
- (al-Baqarah, ayat 233).
Dari Abi Ayyub al-Ansari r.a. aku telah mendengar Rasulullah s.a.w. bersabda: “Sesiapa memisahkan antara ibu dan anaknya, Allah akan memisahkannya dengan orang-orang yang dikasihi pada hari kiamat nanti.”
- (Riwayat Imam at-Tirmizi. Hadis hasan gharib).
Wallahu a’lam.
Rujukan;
1. Al-Fiqh as-Syafi’ie al-Muyassar, Syeikh Sayyid bin Abdullah at-Tidi, hlm. 213.
Posted by USTAZ AHMAD ADNAN FADZIL
http://ilmudanulamak.blogspot.com/
No comments:
Post a Comment