Sediakan air garam suam dan serai sebatang. Bersihkan serai dengan membuang daun dan akar serta kulit yang kering, kemudian dibakar di atas api yang sederhana sehingga panas. Kemudian dibaca doa berikut pada pesakit dengan meletakkan tangan di bahagian luar gusi yang sakit iaitu:-
1. Baca surah Al-Fatihah.
2. Kemudian baca ayat 21 dari surah Al-Hasyr
“Sekiranya Kami turunkan Al-Quran ini ke atas sebuah gunung, nescaya engkau melihat gunung itu khusyuk serta pecah belah kerana takut kepada Allah. Dan (ingatlah), misal-misal perbandingan ini Kami kemukakan kepada umat manusia, supaya mereka memikirkannya.”
3. Kemudian baca:
“Ya Allah Ya Tuhanku, Tuhan yang mengecilkan apa yang besar, yang membesarkan apa yang kecil, kecilkanlah apa yang dialami (sebut nama pesakit dan puncanya), wahai Tuhan Yang Maha Pengasih.”
*Pada tanda ( ), hendaklah disebut nama pesakit dibin atau dibintikan dengan nama ibunya sekali.
Kemudian ditiup pada bahagian yang sakit, juga pada serai dan air garam suam. Picit gusi yang bengkak supaya bersih daripada nanah atau kandungan air. Air garam digunakan untuk berkumur-kumur beberapa kali sehingga gusi terasa bersih. Letakkan serai yang masih panas untuk digigit diantara gigi di bahagian yang bengkak.
Sekiranya gigi masih sakit, baca ayat 98 dari surah al-An’am.
"Dan Dia lah yang mencipta kamu dari diri yang satu (Adam), maka (bagi kamu) disediakan tempat tetap (dalam tulang sulbi bapa kamu atau di bumi), dan tempat simpanan (dalam rahim ibu atau dalam kubur). Sesungguhnya Kami telah jelaskan tanda-tanda kebesaran (Kami) satu persatu bagi orang-orang yang mengerti (secara mendalam)."
Sebuah hadis yang diriwayatkan oleh al-Daruqutni dengan sanadnya daripada Ibn Abbas r.a., bahawa Rasulullah s.a.w. bersabda yang bermaksud: “Sesiapa yang mengadu gusinya sakit, maka hendaklah ia meletakkan jari-jarinya di atas gusinya dan hendaklah membaca ayat 98 surah Al-An’am.
Petua daripada Dr. Harun Din
Dipetik dari Majalah Solusi
No comments:
Post a Comment