22. SURAH AL-HAJJ (78 ayat) – ‘HAJI’
DITURUNKAN DI MEKAH
Surah Al Hajj adalah surah ke-22 dan terdiri dari 78 ayat. Sebahagian ayat dari surah ini diturunkan di Mekah dan sebahagian lagi di Madinah, oleh sebab demikian, para ahli tafsir berselisih pendapat mengenai golongan surah ini sama ada (Makkiyah atau Madaniyah)
Surah ini dinamai surah Al Hajj, kerana surah ini mengemukakan hal-hal yang berhubungan dengan ibadah haji, seperti ihram, tawaf, sa'i, wuquf di Arafah, mencukur rambut, syiar-syiar Allah, faedah-faedah dan hikmah-hikmah disyariatkannya haji. Ditegaskan pula bahawa ibadat haji itu telah disyariatkan pada masa Nabi Ibrahim a.s., dan Kaabah didirikan oleh Nabi Ibrahim a.s. bersama puteranya Ismail a.s.
Menurut Al Ghaznawi, surah Al Hajj termasuk di antara surah- surah yang ajaib, diturunkan pada malam dan pada siang hari, dalam musafir dan dalam keadaan tidak musafir, ada ayat-ayat yang diturunkan di Mekah dan ada pula yang diturunkan di Madinah, isinya ada yang berhubungan dengan peperangan dan ada pula yang berhubungan dengan perdamaian, ada ayat-ayatnya yang muhkam dan ada pula yang mutasyabihaat.
POKOK-POKOK ISINYA:
1. KEIMANAN: Keimanan tentang adanya kebangkitan dan huru-hara hari kiamat; dari susunan alam semesta dapat diambil bukti- bukti tentang adanya Allah Maha Pencipta.
2. HUKUM HAKAM: Kewajiban berhaji bagi kaum muslimin dan haji telah disyari'atkan pada masa Ibrahim a.s.; hukum berkata dusta; larangan menyembah berhala; binatang-binatang yang halal dimakan; hukum menghalang-halangi manusia dari jalan Allah dan Masjidil-haram; keizinan berperang untuk mempertahankan diri dan agama; hukum-hukum yang berhubungan dengan haji.
3. LAIN-LAIN: Membantah kebenaran tanpa pengetahuan adalah perbuatan yang tercela; tanda-tanda takwa yang sampai ke hati; tiap-tiap agama yang dibawa rasul-rasul sejak dahulu mempunyai syari'at tertentu dan cara melakukannya; pahala orang yang mati dalam berhijrah di jalan Allah SWT; sikap orang-orang kafir bila mendengar ayat-ayat Al Quran; anjuran berjihad dengan sesungguhnya; celaan Islam terhadap orang-orang yang tidak tetap pendiriannya dan selalu mencari keuntungan untuk diri sendiri.
FADILATNYA:-
1. Barang siapa membaca surah ini, Allah SWT akan membinasakan musuh-musuhnya
2. Membaca ayat 63-66 akan dilapangkan rezeki dan akan diberi pelbagai kenikmatan dunia
3. Membaca Ayat 70 ialah sebagai ikhtiar untuk mendapat kembali barang yang hilang; termasuk juga jika anak isteri meninggalkan rumah atau menghilangkan diri. Baca 1000 kali selepas solat Isyak.
"Bukankah engkau telah mengetahui bahawasanya Allah mengetahui segala yang ada di langit dan di bumi? Sesungguhnya yang demikian itu ada tertulis di dalam Kitab (Lauh Mahfuz); sesungguhnya hal itu amatlah mudah bagi Allah."
No comments:
Post a Comment