21. SURAH ANBIYAA’ (112 ayat) – ‘NABI-NABI’
DITURUNKAN DI MEKAH
Surah Al Anbiyaa' adalah surah ke-21 dan terdiri atas 112 ayat. Nama Al Anbiyaa' (bahasa arab: nabi-nabi) digunakan kerana surah ini mengutarakan kisah beberapa orang nabi. Permulaan surah Al Anbiyaa' menegaskan bahawa manusia lalai dalam menghadapi hari hisab, kemudian berhubung adanya pengingkaran kaum musyrik Mekah terhadap wahyu yang dibawa Nabi Muhammad SAW. Maka ditegaskan Allah SWT, sekali pun nabi-nabi itu manusia biasa, akan tetapi masing-masing mereka adalah manusia yang membawa wahyu yang pokok ajarannya adalah tauhid, dan keharusan manusia menyembah Allah SWT, Tuhan Penciptanya. Orang yang tidak mahu mengakui kekuasaan Allah SWT dan mengingkari ajaran yang dibawa oleh nabi-nabi itu, akan diazab Allah SWT didunia dan di akhirat nanti. Kemudian dikemukakan kisah beberapa orang nabi dengan umatnya.
Akhirnya surah itu ditutup dengan seruan agar kaum musyrik Mekah percaya kepada ajaran yang dibawa Muhammad SAW supaya tidak mengalami apa yang telah dialami oleh umat-umat yang dahulu.
POKOK-POKOK ISINYA:
1. KEIMANAN: Para nabi dan para rasul itu selamanya diangkat Allah SWT dari jenis manusia; langit dan bumi akan binasa kalau ada Tuhan selain Allah SWT; semua Rasul membawa ajaran tauhid dan keharusan manusia menyembah Allah SWT; tiap-tiap yang bernyawa akan merasakan mati; ujian dari Allah SWT kepada manusia ada yang berupa kebaikan dan ada yang berupa keburukan; hari kiamat datangnya dengan tiba-tiba.
2. KISAH-KISAH: Kisah Ibrahim a.s (ajakan Ibrahim a.s kepada bapanya untuk menyembah Allah SWT, bantahan Ibrahim terhadap kaumnya yang menyembah berhala-berhala, bantahan lbrahim a.s. terhadap Namrud yang menganggap dirinya Tuhan), kisah Nuh a.s., kisah Daud a.s., dan Sulaiman a.s; kisah Ayub a.s.; kisah Yunus a.s.; kisah Zakaria a.s.
3. LAIN-LAIN: Karunia Al Quran; tuntutan kaum musyrikin kepada Nabi Muhammad saw untuk mendatangkan mukjizat yang lain dari Al Quran ; kehancuran suatu umat adalah kerana kezalimannya; Allah SWT menciptakan langit dan bumi berserta hikmatnya; soal jawab antara berhala dan penyembahnya dalam neraka; timbulnya Ya'juj dan Ma'juj sebagai tanda-tanda kedatangan hari kiamat; bumi akan diwariskan kepada hamba Allah yang dapat memakmurkannya; kejadian alam semesta.
FADILATNYA:-
1. Untuk mengurangi kesakitan ketika melahirkan, baca ayat 30 kemudian tiupkan pada perut dan belakang wanita yang hendak melahirkan. InsyaAllah kesakitan ketika melahirkan akan berkurang.
Ayat 30 ini juga adalah doa ikhtiar rawatan untuk lumpuh / strok.
"Dan tidakkah orang-orang kafir itu memikirkan dan mempercayai bahawa sesungguhnya langit dan bumi itu pada asal mulanya bercantum (sebagai benda yang satu), lalu Kami pisahkan antara keduanya? Dan Kami jadikan dari air, tiap-tiap benda yang hidup? Maka mengapa mereka tidak mahu beriman?"
2. Ayat 69 diamalkan untuk anak-anak lembut hati / elak panas baran.
Boleh juga dibaca Ayat 69 ini untuk mengubati demam panas.
Allah berfirman: "Hai api, jadilah engkau sejuk serta selamat sejahtera kepada Ibrahim! ".
3. Untuk mudah menghafal ilmu-ilmu, cara mengamalkannya adalah ayat 79 dan doa dibaca sekaligus sebelum matahari terbit sebanyak 10 kali selama 7 pagi berturut-turut. Doanya:- “Ya Allah Ya Tuhanku, Muliakan dan kurniakanlah aku cahaya kefahaman dan beri kurnialah aku ilmu dan hikmah dan akal yang sempurna dengan berkat nama-namaMU. Ya Tuhan yang Mulia, Ya Allah, curahkanlah keselamatan dan kesejahteraan atas junjungan kami Nabi Muhammad saw dan atas keluarganya dan para sahabatnya sekalian.”.
Untuk anak-anak pandai belajar, suruh mengamalkan membaca Ayat 79.
"Maka Kami beri Nabi Sulaiman memahami hukum yang lebih tepat bagi masalah itu; dan masing-masing (dari mereka berdua) Kami berikan hikmat kebijaksanaan dan ilmu (yang banyak); dan Kami mudahkan gunung-ganang dan unggas memuji Kami bersama-sama dengan Nabi Daud; dan adalah Kami berkuasa melakukan semuanya itu."
4. Nabi Ayub a.s. dengan sabar mengamalkan ayat 83 semasa mengalami penderitaan penyakit bertahun lamanya dan putera puteri yang amat dikasihinya pula ramai yang meninggal dunia. Allah SWT telah kabulkan doanya, disembuhkan penyakitnya dan mendapat anak lagi.
"Sesungguhnya aku ditimpa penyakit, sedang Engkaulah sahaja yang lebih mengasihani daripada segala (yang lain) yang mengasihani".
5. TASBIH NABI YUNUS - AYAT 87 :
~ Barangsiapa selalu membaca ayat 87 ini berulang-ulang kali, insyaAllah segala dosa-dosanya diampun, terhindar dari bahaya, dimurahkan rezeki, segala hajatnya termakbul dan pahala mati syahid. Ayat ini mengandungi Nama Allah Yang Maha Agung. Ayat inilah yang dibaca oleh Nabi Yunus ketika baginda berada dalam perut ikan Nun, sehingga Allah SWT menyelamatkan baginda dalam kegelapan perut ikan di dasar laut itu dan mengembalikan baginda kepada kaumnya.
*Untuk Pengetahuan Am: Di dalam AlQuran ada menyebut kalaulah Nabi Yunus a.s. tidak berzikir dalam perut ikan, maka ALLAH akan letakkan dia dalam perut ikan paus sampai hari kiamat. Dalil qurannya ialah Surah As-Saffat 139-146.
~ Mengamalkan bacaan ayat 87 (11X) selesai sembahyang fardu, maka ia dapati kebebalannya hilang dan dianugerahkan kecerdasan.
~ Seseorang yang sakit membaca ayat ini 40 kali, dianugerahkan kepadanya pahala syahid dan jika sembuh sakitnya, maka diampunkan dosa-dosanya, insyaAllah.
~ Dibaca 41 kali dalam sujud terakhir ketika menunaikan solat hajat, insyaAllah hajatnya akan tercapai.
~ Dibaca 41 kali setiap kali selepas solat Subuh selama 40 hari, insyaAllah keinginannya akan berjaya dan akan terhindar dari perkara yang tidak diingini.
~ Ulama menyatakan, amalan membaca doa ini 1000 kali setiap hari, maka Allah SWT akan menghapuskan segala kesusahan atau kemudaratan. Dibukakan pintu kebaikan dan dilindungi dari segala kejahatan jin dan syaitan serta kezaliman manusia. Dia juga akan disukai dan dikasihi ramai.
"Sesungguhnya tiada Tuhan (yang dapat menolong) melainkan Engkau (ya Allah)! Maha Suci Engkau (daripada melakukan aniaya, tolongkanlah daku)! Sesungguhnya aku adalah dari orang-orang yang menganiaya diri sendiri".
6. Agar memperolehi anak-anak yang soleh, bacalah ayat 89 sebanyak 3 kali setiap selesai solat fardhu.
"Wahai Tuhanku! Janganlah Engkau biarkan daku seorang diri (dengan tidak meninggalkan zuriat); dan Engkaulah jua sebaik-baik yang mewarisi".
7. Petua membuat air penawar untuk bermacam-macam penyakit. Sediakan air secukupnya. Tulis ayat 101-103 atas kertas putih, dileburkan dalam air tersebut kemudian di minum.
salam , terima kasih atas perkongsian ni . semoge sentiase diberkati Allah :)
ReplyDeletep/s: saya ade copy beberapa ayat dan mohon diizinkan. terima kasih .
Salam deylahanifah,
DeleteArtikel2 di dalam blog ini kesemuanya saya dapati dari pembacaan saya serta petua2 dari ustaz/ustazah. Semuga perkongsian ilmu ini dapat dimanfaatkan kita bersama.
Terima kasih singgah ke blog saya.