Satu daripada manifestasi iman yang penting ialah menjauhi dosa-dosa. Ia lambang kekukuhan iman.
"Jauhilah perbuatan haram nescaya kamu menjadi orang yang paling kuat beribadah." - (Hadis - Abu Ya'la)
Dalam beribadah, meninggalkan dosa (manhiyyat) adalah amal yang paling utama. Inilah perkara yang amat ditekankan oleh ulama-ulama.
Imam Hasan al-Basri pula telah berkata: "Ibadah yang paling utama dilakukan oleh seseorang ialah meninggalkan perkara-perkara yang dilarang oleh Allah."
Biasanya, suruhan agama lebih mudah dilakukan daripada meninggalkan larangannya. Justeru itu kita mudah bertemu dengan orang yang berpuasa tetapi masih bermaksiat; Mampu mengeluarkan sedekah dalam perjalanan ke kasino untuk memuaskan nafsu; Bersembahyang tetapi rajin mengumpat atau tidak menutup aurat; Sentiasa memegang tasbih untuk berzikir tetapi mengabaikan pembayaran hutang kepada orang lain.
Orang yang mantap kefahamannya tentang agama mengetahui bahawa meninggalkan kemungkaran dan dosa, walaupun nampaknya kecil, teramat penting dalam usaha mendekatkan diri kepada Allah.
Maimun ibn Mahran telah berkata: "Berzikrullah dengan lisan adalah baik, tetapi yang lebih baik ialah mengingati Allah dengan menghindari perbuatan maksiat."
Berkata Imam Sufyan at-Thauri: "Barangsiapa membelanjakan wang haram pada mentaati Allah, perbuatannya adalah seperti seseorang yang cuba membersihkan kain yang bernajis dengan menggunakan air kencing."
Sesungguhnya manusia tidak maksum. Insan ada kelemahannya. Kelemahan ini bukannya alasan untuk berterusan melakukan dosa, sebaliknya untuk lebih berhati-hati dan berjaga-jaga. Pintu taubat sentiasa terbuka. Hadis ada menceritakan tentang seorang dari Bani Israil yang telah membunuh 100 orang, kemudian insaf dan bertaubat. Allah SWT terima taubatnya.
No comments:
Post a Comment