Islam memandang tinggi peranan wanita di dalam kehidupan. Salah satunya ialah Islam mengangkat kedudukan ibu. Ibu ialah mereka yang telah melahir, memelihara dan mendidik kita dengan penuh kasih sayang. Beban, kesukaran dan jerit perih mereka mengandungkan kita selama hampir sembilan bulan sehinggalah usia kita mencapai dua tahun digambarkan oleh Allah s.w.t di dalam firmanNya:
"Dan Kami perintahkan kepada manusia (berbuat baik) kepada dua orang ibubapanya; ibunya telah mengandungnya dengan menanggung kelemahan demi kelemahan (dari awal mengandung hingga akhir menyusunya) dan tempoh menceraikan susunya ialah dalam masa dua tahun. Dengan demikian bersyukurlah kepada-Ku dan kepada dua orang ibubapamu, hanya kepadaKu-lah tempat kembalimu (untuk menerima balasan)" - (Luqman 31:14)
Allah s.w.t memerintahkan agar kita berbuat baik kepada ibubapa selepas perintahNya agar menyembahNya dan tidak mensyirikkanNya dengan sesuatu sepertimana firmanNya:
"Dan Tuhanmu telah memerintahkan supaya kamu jangan menyembah selain Dia dan hendaklah kamu berbuat baik pada ibubapamu dengan sebaik-baiknya. Jika salah seorang di antara keduanya atau kedua-duanya sampai berumur lanjut dalam pemeliharaanmu, maka sekali-kali janganlah kamu mengatakan kepada keduanya perkataan "ah" dan janganlah kamu membentak mereka dan ucapkanlah kepada mereka perkataan yang mulia". - ( al-Isra` 17:23)
"Berbuat baik kepada keduanya dengan sebaik-baiknya merangkumi keseluruhan bentuk kebaikan; baik perkataan dan perbuatan kerana mereka berdua (ibubapa) merupakan sebab wujudnya seorang hamba dan bagi mereka berdualah kasih sayang dan juga kebaikan yang dicurahkan kepada seorang anak " - ( Syeikh`Abdul Rahman Ibn Nasir as-Sa`di, Taysir al-Karim al-Rahman fi Tafsir Kalam al-Mannaan ms 488, Dar al Hadith Kaherah 1426H)
“Apabila matinya seorang manusia maka terputuslah (pahala) amalannya kecuali tiga perkara: Sedekah jariah, ilmu yang dimanfaatkan atau anak soleh yang mendoakannya”. - ( HR Muslim no:3084)
Berkata para Ulama` ketika mensyarahkan Hadith ini: “Bahawasanya (pahala) amalan si mati akan terputus disebabkan kematiannya kecuali dalam tiga perkara tersebut disebabkan ianya merupakan sebab (yang boleh si mati mendapatkan pahala) atas usahanya (ketika hidup) sesungguhnya anak itu adalah usahanya,begitu juga ilmu yang ditinggalkannya sama ada melalui pengajaran ataupun penulisan begitu juga sedekah jariah seperti hartanya yang diwakafkan. -(An-Nawawi, Syarh Shahih Muslim 2/61, Maktabah Syamilah)
Nabi s.a.w pernah bersabda: “Sesungguhnya sebaik-baik makanan yang dimakan seseorang yang berasal dari usahanya dan anak adalah termasuk usahanya”. - (Hadith Shahih riwayat Abu Daud no:3061 an-Nasaie no:4373, Ahmad no:22904 lihat Irwaaul Ghalil,7/230)
Adapun pahala bacaan al-Quran untuk si mati adakah sampai atau tidak, menurut Imam Nawawi di sana terdapat khilaf di kalangan ulama` tetapi mazhab Syafi`e dan jumhur Ulama` berpandangan ianya tidak sampai. Penulis berpandangan ianya tidak sampai kerana amalan tersebut tidak pernah ditunjukkan oleh para sahabat dan juga ulama Salaf.
Pendapat ini lebih dekat dengan firman Allah SWT: "Dan bahwasanya seorang manusia tiada memperoleh selain apa yang telah diusahakannya" - (An-Najm 53:39)
Dan ingatlah setiap amalan yang tidak mengikuti petunjuk Nabi s.a.w, maka ianya tertolak dan sia-sia. Sabda Nabi s.a.w: "Sesiapa yang beramal dengan amalan yang bukan berdasarkan urusan (petunjuk) kami , maka ianya adalah tertolak". - ( HR Bukhari no:2499)
Adapun mengadakan kenduri arwah, tahlilan dan juga bacaan Yasin dirumah si mati maka hukumnya sudah thabit akan keharamannya di dalam hadith yang diriwayatkan oleh Jarir Ibn `Abdullah Ibn Bajalli r.a katanya: “Kami (para sahabat) memandang berkumpul di rumah si mati dan mengadakan jamuan makanan adalah sebahagian daripada ratapan”. - ( HR Ibn Majah no:1601, dinilai Shahih oleh al-Albani . Lihat Shahih Ibn Majah no:1612, 4/112)
Nabi s.a.w melarang sekerasnya ratapan ketika menghadapi kematian, malah amalan tersebut merupakan amalan kaum jahiliyyah. Hal ini sepertimana yang diriwayatkan dari Abu Malik al-Asy`ari bahawasa Rasulullah s.a.w bersabda: “Empat hal dari kebiasaan Jahiliyyah yang masih dilakukan umatku dan tidak juga ditinggalkannya, iaitu berbangga-bangga dengan keturunan, mengingkari keturunan, meminta hujan dengan ramalan bintang dan meratapi mayat.
Wanita yang meratapi mayat, jika tidak bertaubat sebelum mati, maka pada hari kiamat kelak dia akan memakai baju yang diperbuat dari bara api yang bersalut besi” - ( HR Muslim no:1550,Ahmad no:21837)
Justeru penulis menyeru agar kembalilah kita kepada al-Quran dan As-Sunnah dalam setiap aspek kehidupan kita termasuklah dalam niat kita untuk berbuat baik dan berbakti kepada kedua ibubapa kita. Janganlah kita berani menghalalkan apa yang telah diharamkan oleh Allah s.w.t melalui lisan RasulNya s.a.w .
Firman Allah SWT: “Dan janganlah kamu mengatakan terhadap apa yang disebut-sebut oleh lidahmu secara dusta "Ini halal dan ini haram", untuk mengada-adakan kebohongan terhadap Allah. Sesungguhnya orang-orang yang mengada-adakan kebohongan terhadap Allah tiadalah beruntung". - ( an-Nahl 16:116)
Ditulis,
Muhammad Fashan b.Ahamd Ziadi
No comments:
Post a Comment