Rasulullah s.a.w bersabda yang maksudnya: “Kemiskinan membawa kepada kekufuran dan hasad mengatasi qadha’ dan qadar.”
- Riwayat Abu Naim
Huraian Pengajaran Hadis:
i) Manusia yang mempunyai sikap tercela (mazmumah) sering dibenci oleh orang ramai. Ia boleh merosakkan potensi diri hingga adakalanya turut menganggu masyarakat setempat. Sikap inilah yang menjauhkan hati daripada mengingati Allah S.W.T.
ii) Hasad dengki adalah di antara sifat-sifat mazmumah tersebut. Oleh itu awasilah diri daripadanya kerana ia adalah dosa yang pertama sekali dilakukan oleh iblis laknatullah yang telah menolak perintah Allah SWT agar sujud kepada Nabi Adam a.s. Begitu juga Qabil yang telah membunuh Habil, juga disebabkan oleh perasaan dengki.
iii) Sifat dengki itu ialah ‘apabila melihat orang lain lebih daripadanya maka dia akan cuba menjatuhkannya’. Inilah dengki yang dilarang oleh Islam. Seharusnya apabila seorang mukmin melihat orang lain berjaya, maka dia harus berusaha kuat untuk menjadi sepertinya. Inilah dengki yang dibenarkan oleh Islam.
iv) Dengki (yang dilarang Islam) harus dicegah dengan memupuk sifat qana'ah (puas hati dengan apa yang ada setelah berusaha), redha serta bersyukur dengan pemberian Allah bukan melakukan perkara-perkara yang membawa kekufuran terhadap-Nya.
v) Takdir yang ditentukan Allah terhadap hamba-Nya tidak sama, sesetengahnya di luar kehendak hamba itu sendiri. Ada yang dapat memiliki rumah besar, berpangkat tinggi serta dapat menikmati makanan yang enak-enak dan ada juga yang hanya duduk di pondok buruk, dan makan sekadar untuk mengalas perut. Namun Allah tidak pernah menzalimi hamba-Nya.
Jika seseorang itu dapat menghadapi setiap ujian dan takdir Allah itu dengan redha, berharap dan takut pada kemurkaan-Nya tentulah setiap takdir itu akan menguntungkannya. Jika dikurniakan kekayaan, maka dengan kekayaan itu dia dapat membantu orang yang susah, anak-anak yatim, fakir miskin serta melakukan lain-lain kebajikan sehingga ia menjadi lebih hampir kepada Allah dan mendapat rahmat serta kasih sayang-Nya.
Sebaliknya jika ditakdirkan menerima nasib yang kurang baik seperti miskin dan sebagainya, tetapi dia sanggup bersabar di samping berusaha, maka Allah akan membalasnya dengan seribu rahmat.
No comments:
Post a Comment