SOALAN :-
Saya ada menjalankan perniagaan fotokopi dan percetakan komputer secara kecil-kecilan do salah satu universiti awam. Masalahnya, saya menggunakan perisian windows dan microsoft office yang pirate. Saya tahu bahawa tindakan saya ini salah tapi untuk mendapatkan yang original, harganya terlalu mahal.
Apakah hukum pendapatan daripada perniagaan yang menggunakan perisian pirate ini dan bagaimana jalan untuk terbaik untuk saya selesaikan masalah ini?
JAWAPAN :-
Saya rasa jawapannya sudah jelas apabila anda sendiri telah mengerti bahawa ia adalah salah. Ini adalah kerana, harta intelek telah diiktiraf Islam sebagaimana difatwa oleh para ulama sedunia sebagai harta persendirian. Justeru kita tidak boleh mengambil dan menggunakan yang tiruan KHUSUSNYA apabila software tersebut diniagakan. Ini bermakna apabila seseorang menjadikan barang tiruan sebagai ‘tulang belakang' perniagaannya. Perniagaan tersebut adalah haram, hasilnya juga haram.
Ia adalah berdasarkan keputusan Majlis Kesatuan Ulama Sedunia (Majma Fiqh Islami) dan juga keputusan Majlis Fatwa Eropah yang disebut oleh Syeikh Dr Yusof AL-Qaradawi.
DIA KAFIR - Ada orang yang cuba berhujjah mengatakan bahawa Bill Gates adalah kafir, jadi tiada masalah untuk menggunakan yang pirate. Selain itu ada juga yang menyatakan beliau sudah terlalu kaya, maka penggunaan anda tidak memberikan apa jua kesan kepada kekayaannya.
Hujjah ini adalah meleset dan tertolak dalam Fiqh Islam, kerana Muslim tidak dibenarkan untuk mencuri harta orang kafir (kecuali kafir yang sedang berperang dengan Islam seperti tentera Amerika yang berada di Iraq). Dalam keadaan tiada sebarang peperangan fizikal yang jelas, maka perisian windows adalah harta syarikat Microsoft dan pemilikan itu adalah diiktiraf oleh shariah dan diharamkan untuk sesiapa sahaja dicerobohi sesuka hati. Dalilnya terlalu banyak, cukuplah Rasulullah s.a.w dan para sahabat berjual beli dengan orang bukan Islam, yahudi serta kafir musyrik, semua itu menunjukkan umat Islam tidak dibenarkan menceroboh dan mestilah membelinya dengan cara yang halal.
Pendapatan hasil dari perniagaan perisian pirate adalah antara syubhah dan haram sahaja, tidak lain dari itu.
PENGECUALIAN :-
Namun begitu, menurut sebahagian ulama, sekiranya para pelajar ingin menggunakan software untuk komputer peribadinya dan bukan untuk perniagaan, hukum mungkin lebih ringan terutamanya jika pelajar ini benar-benar ketandusan wang untuk mendapatkan yang original. Sedangkan ia amat memerlukan komputer dan perisiannya untuk tujuan pembelajarannya. Tatkala itu, ada ulama yang mengharuskan atas asas : -
a- ‘Hajat Mendesak' dan kedudukan kewangan bermasalah. Berdasarkan kaedah Fiqh yang bermaksud "Suatu keperluan yang boleh jatuh dalam kategori terdesak samada ia berbentuk umum atau khusus" (Al-Ashbah Wa An-Nazair, hlm 89)
b- Hanya untuk kegunaan peribadi dan tidak dikomersilkan.
c- Bertempoh, ertinya apabila kedudukan kewangannya sudah baik, ia perlulah membeli yang original.
Demikian juga halnya keadaan para pelajar di Universiti. Sebagai contohnya terdapat pensyarah yang menjadikan buku tertentu sebagai silibus dan bahan rujukan. Setiap subjek mungkin sehingga 5-6 buku digunakan.
Sudah tentu, pelajar tidak mempunyai budjet untuk membeli buku-buku tersebut yang mungkin amat tebal dengan harga tinggi. Lalu tatkala itu, pelajar DIBENARKAN mem'fotostat' halaman TERTENTU yang berkait dengan pembelajarannya, ia juga diharuskan kerana hajiat.
Kembali kepada kes saudara, jika benar-benar saudara menghadapi kesukaran wang (hanya saudara dan Allah yang tahu) untuk membeli yang original, terdapat keringanan untuk anda menggunakan yang produk tiruan itu dulu buat sementara waktu. Ketika perniagaan sudah dapat menjana keuntungan yang baik dan stabil, tiada lagi ‘keperluan mendesak', maka tatkala itu WAJIBLAH untuk bertukar dan membeli yang original.
Sekian
Zaharuddin Abd Rahman
No comments:
Post a Comment