Nabi Muhammad saw diutuskan oleh Allah ke dunia ini bagi membawa dan menunjukkan teladan baik dan murni bagi menjadi ikutan umat manusia.
Firman Allah bermaksud: 'Sesungguhnya pada diri Rasulullah itu contoh teladan yang baik bagi kamu.'
- (Suruh al-Ahzab, ayat 21).
Ibn Kathir ketika mentafsirkan ayat itu menjelaskan bahawa Rasulullah saw dapat diteladani dalam beberapa aspek. Salah satunya ialah dalam perkataannya. Baginda menjadi ikutan sebagai insan yang berbicara sesuatu dari hati nuraninya yang ikhlas. Baginda tidak berbicara dan berkata sesuatu yang tidak diperlukan, apatah lagi yang sia-sia.
Baginda berbicara sesuatu yang mempunyai hubungan dengan kepentingan umat dengan bahasa yang mudah difahami. Baginda sentiasa jujur dan benar. Rasulullah saw berpesan bahawa sesiapa yang beriman dengan Allah dan hari akhirat hendaklah dia bercakap yang baik atau diam saja.
Di sini, jelas antara perbuatan mulia yang disarankan Baginda adalah supaya diam.
Ulama tasauf juga menasihatkan kita agar lebih banyak mendiamkan diri atau kurangkan percakapan yang tidak berkaitan dengan dirinya supaya lidah tidak mengeluarkan kata-kata yang boleh membawa bencana.
Banyak rahsia yang tersembunyi dalam iaitu termasuk meningkatkan tahap pemikiran, mengajar jiwa agar lebih warak dan mendekatkan diri kepada sifat takwa.
Rasulullah saw ketika menjawab pertanyaan Uqhbah bin Amir mengenai perkara yang boleh menyelamatkan diri pada hari akhirat, dengan bersabda: "Tahanlah lidah daripada berkata yang tidak sepatutnya, selesakanlah rumahmu dan menangislah di atas dosa-dosamu."
Sabda Baginda lagi: "Seseorang hamba itu tidak bertakwa dengan sebenar-benar takwa kepada Tuhannya sehingga dia menjaga lidahnya."
Diriwayatkan oleh Abu Naim Al-sfahani, dari Ibrahim bin Adham, Luqman Al-Hakim berkata kepada anaknya: "Hai anakku! Bahawasanya seorang lelaki, akan terus bercakap hingga dia dikatakan bodoh, sedangkan dia bukanlah seorang yang bodoh. Dan seorang lelaki yang terus berdiam diri, hinggalah dia dikatakan seorang yang sopan santun, sedangkan dia bukanlah begitu."
Kata Luqman lagi: "Barang siapa yang tidak berbincang akan menyesal, barang siapa yang duduk bergaul dengan ulama akan menjadi alim dan barang siapa yang kurang percakapan kesihatannya akan berkekalan."
Dalam hal diam, Imam Al-Syafie berpesan: "Banyak orang berkata, 'Mengapa engkau diam padahal engkau dimusuhi?'. Aku katakan kepada mereka, "Menganggapi sesuatu permusuhan sama dengan melakukan kejahatan. Bersikap diam dalam menghadapi orang bodoh atau orang yang gila adalah kebajikan jiwa. Dalam sikap diam juga ada penjagaan bagi kehormatan. Tidakkah engkau lihat harimau-harimau hutan itu ditakuti dan disegani ketika diam, sedangkan anjing di jalan raya banyak yang dilempari kerana selalu menyalak?."
Imam Syafie berkata lagi: "Aku menganggap diam sebagai perniagaan. Meskipun tidak ada untungnya, paling tidak aku tidak rugi. Diam ibarat barang niaga yang membawa banyak keuntungan bagi pemiliknya."
No comments:
Post a Comment