Soalan:-
Saya ingin bertanya mengenai mandi bunga. Ada yang mengatakan bahawa mandi bunga ini untuk menaikkan seri wajah. Ada juga yang mengatakan ia untuk mempercepatkan jodoh. Masalah saya, saya masih belum berpunya. Saya tertanya-tanya bila agaknya saya akan mendirikan rumah tangga. Apa pendapat ustazah mengenai mandi bunga? Patutkah saya melakukan mandi bunga untuk mempercepatkan jodoh? Bolehkan ustazah berikan apa-apa ayat yang patut dibaca tentang masalah saya ini?
Jawapan:-
Mandi bunga bukanlah suatu yang pernah dilakukan oleh Rasulullah s.a.w, para sahabat dan salafussoleh terdahulu. Ia berasal daripada kepercayaan lama yang dipegang oleh orang Melayu, kononnya untuk membuang sial dan menaikkan seri wajah.
Melakukan mandi bunga atas dasar para pakar perubatan telah mengesahkan kebaikan dan khasiatnya kepada tubuh badan, bukanlah satu kesalahan. Yang salah ialah berjumpa bomoh atau pawang dan meminta dimandikan dengan membaca mentera tertentu untuk menaikkan seri wajah. Semua mentera yang dibaca oleh para bomoh itu kebanyakannya ada unsur syirik dan khurafat. Rasulullah s.a.w melarang umatnya berjumpa bomoh dan mempercayai kata-katanya. Oleh itu hindarilah dosa yang membawa kepada syirik kerana ia merupakan salah satu dosa yang tidak diampunkan.
Sabda Rasulullah s.a.w:
"Sesiapa yang mendatangi tukang tilik atau bomoh, lalu percaya kepada apa yang dikatakannya, maka dia telah kufur dengan apa yang diturunkan ke atas Nabi Muhamad s.a.w."
– Hadis sahih riwayat Abu Daud dan Ashab al-Sunan.
Sabda Rasulullah s.a.w:
"Sesiapa yang mendatangi bomoh, kemudian bertanya kepadanya sesuatu, solatnya tidak akan diterima selama 40 hari."
– Riwayat Muslim.
Tidak ada ayat tertentu yang boleh dibaca untuk mempercepatkan jodoh. Al-Quran mempunyai misi yang lebih besar daripada itu, iaitu sebagai petunjuk kepada sekalian alam dan menyelamatkan umat manusia daripada Neraka. Ia tidak akan membincangkan hal remeh-temeh seperti mencari jodoh atau menyerikan wajah.
Oleh itu, jika saudari benar-benar ingin berkahwin kerana menghindari maksiat, mohonlah kepada ALLAH agar mempermudahkan jalan ke arah itu. Semoga DIA mempertemukan saudari dengan seseorang yang soleh. Saya mengesyorkan saudari berdoa pada masa-masa doa dimakbulkan. Antaranya pada penghujung malam, ketika bermusafir, selepas solat Asar pada hari Jumaat, pada hujung solat sebelum salam, antara azan dan iqamah, ketika sujud, ketika hujan, ketika hampir berbuka puasa dan sebagainya.
Mintalah kepada ALLAH dengan bersungguh-sungguh tanpa rasa putus asa. Di samping itu, janganlah terlalu mengharap doa itu dikabulkan segera. Teruskan berdoa dengan penuh yakin dan bersangka baik dengan TUHAN. Insya-ALLAH DIA akan membuka jalan dan memudahkan jodoh saudari.
Ustazah Sakinah
No comments:
Post a Comment