Oleh:Dr. Mohd Zamrin Dimon
Pakar Perunding Bedah Jantung dan Paru-paru HUKM
Presiden Kelab Kesihatan HALUAN (KKH)
PUASA adalah menahan diri dari makan dan minum dari terbit fajar ke maghrib. Dari aspek fisiologi dan kesihatan, puasa bermula sekitar 12 hingga 24 jam dari ketika kita tidak makan dan minum.
Puasa belum bermula dari segi kimianya, sehinggalah karbohidrat dalam badan kita digunakan sebagai sumber tenaga. Puasa boleh berterusan sehingga semua karbohidrat dan lemak dalam badan kita dapat digunakan sebagai sumber tenaga.
Apabila badan kehabisan karbohidrat dan lemak, protein pula akan digunakan sebagai sumber tenaga. Pada ketika ini, ia tidak disebut sebagai puasa tetapi kebuluran.
Berdasarkan kepada fakta ini, seseorang manusia yang sihat akan dapat bertahan untuk hidup tanpa makanan selama hampir 40 hari, dengan syarat dia mendapat sumber air yang berterusan, dan tidak terdedah kepada anasir-anasir toksik dan pencemaran seperti penyakit berjangkit.
Manfaat puasa
Makanan adalah sumber tenaga untuk membolehkan tubuh menjalankan fungsi-fungsi fisiologinya. Tanpa kita sedari setiap aktiviti dalam tubuh kita perlukan tenaga.
Jantung yang berdenyut tanpa henti, usus yang bergerak untuk menghadamkan makanan, pernafasan, berfikir, berjalan dan sebagainya semuanya memerlukan tenaga. Sumbernya adalah makanan.
Sekiranya tiada makanan yang dibekalkan, badan akan menggunakan simpanan tenaga dalam badan kita, bermula dari karbohidrat, lemak dan kemudian protein.
Semasa puasa, badan akan menggunakan sumber tenaga dari dalam badan kita sendiri melalui proses yang dinamakan autolisis yang memecahkan simpanan karbohidrat dan lemak dalam badan untuk menjadi sumber tenaga.
Proses ini berlaku dalam hati di mana lemak akan ditukar kepada satu bahan kimia yang dinamakan keton tubuh, yang kemudiannya disebarkan ke seluruh badan melalui aliran darah. Lebih lama badan tidak mendapat makanan, lebih banyak proses ini berlaku dan lebih banyak keton yang dihasilkan.
Beberapa manfaat puasa
Detoksifikasi :-
Proses detoksifikasi adalah proses normal dalam badan untuk membuang, menyingkirkan atau meneutralkan bahan-bahan toksik melalui usus besar, hati, buah pinggang, paru-paru, saluran limpa dan juga kulit. Proses ini dipercepatkan semasa puasa kerana tiada makanan yang masuk dalam badan dan badan beralih kepada sumber tenaga daripada simpanan lemak badan.
Lemak dalam badan manusia dapat menyumbangkan sebanyak 9,000 kalori setiap kilogram. Untuk badan berfungsi secara normal, kita memerlukan sebanyak 2,000 kalori sehingga 2,800 kalori bergantung pada tahap aktiviti. Bermakna setiap kilogram lemak berupaya menyumbang tenaga cukup untuk 3 – 4 hari. Perlu difahamkan, simpanan tenaga dalam bentuk lemak ini berlaku bila terdapat lebihan dalam makanan yang kita ambil setiap hari.
Bayangkan kalau dalam setahun, selama 11 bulan, berapa kilogram lemak yang telah disimpan oleh tubuh kita?
Bila lemak badan digunakan sebagai sumber tenaga, proses autolisis menyebabkan berlakunya pelepasan bahan kimia toksik yang turut tersimpan ke dalam saluran darah dan seterusnya disingkirkan melalui kaedah yang disebut di atas.
Ada bahan kimia toksik yang turut tersimpan bersama lemak, yang didapati melalui udara yang disedut, juga akan tersingkir dalam proses autolisis ini melalui air kencing, peluh dan najis.
Proses penyembuhan:-
Semasa berpuasa, penggunaan tenaga dalam badan dialihkan dari saluran pemakanan, usus untuk mencerna makanan (disebabkan kurang penggunaannya) kepada sistem yang lebih penting seperti sistem imun dan metabolisme.
Bila kita sedang sakit, perkara yang biasa berlaku ialah kita tidak ada selera makan. Ini adalah satu refleks fisiologi, kerana badan tidak mahu membuang banyak tenaga di usus, bahkan mahu tumpukan pada proses penyembuhan melalui metabolisme dan meningkatkan kemampuan sistem imuniti badan kita.
Dalam berpuasa, perkara ini berlaku secara terancang. Proses sintesis protein dapat berlaku dengan lebih efisien jadi kurangnya berlaku kesilapan dalam sintesis DNA dan genetik.
Puasa membolehkan sistem pemakanan berehat dan membolehkan tenaga digunakan untuk memperbaiki sistem tubuh lain terutama sistem imun. Tambahan pula semasa puasa, berlaku penurunan suhu teras badan kita disebabkan metabolisme badan yang rendah dan tahap aktiviti yang menurun. Hormon tumbesaran juga dibebaskan semasa puasa dan ini membantu proses penyembuhan lebih efektif.
Proses rejuvenasi/mempermuda :-
Proses metabolisme yang rendah, penghasilan protein yang lebih efektif, sistem imun yang lebih berkesan dan pertambahan penghasilan hormon dalam badan semasa berpuasa menyebabkan proses rejuvenasi ini seterusnya menyebabkan jangka hayat yang lebih baik.
Selain dari produksi hormon tumbesaran yang lebih banyak, hormon antipenuaan (hormon remaja) juga bertambah penghasilannya semasa puasa.
Meningkatkan ketajaman mental :-
Bila badan kita bebas daripada bahan-bahan toksik yang mengalir dalam aliran darah, kemampuan berfikir akan menjadi lebih tinggi. Apabila kita makan, banyak sumber tenaga dalam darah dan saraf dihantar ke usus untuk proses penghadaman. Sekiranya tenaga ini tidak diperlukan di usus, ia akan dihantar ke otak untuk proses berfikir. Perkara ini tidak berlaku dalam hari pertama sehingga tiga hari puasa.
Pada awalnya kita akan berasa pening, sugul dan sakit badan. Ini ialah kerana tiga hari pertama tenaga masih digunakan untuk menyahkan toksin yang ada selain dari membersihkan sisa-sisa kotoran dalam saluran makanan.
Selepas dari fasa ini, darah yang mengalir ke otak lebih bersih dari toksik dan menjadikan kemampuan berfikir lebih tinggi. Kita menjadi lebih cergas dan bersikap terbuka, emosi yang lebih stabil dan tajam fikiran.
Faktor lain yang menyebabkan perkara ini berlaku ialah semasa berpuasa kita kurang bergantung kepada makanan secara emosinya, kurang terdedah pada makanan atau bahan yang merangsang seperti kafein, gula dan rokok. Kesan ini selalunya dirasai dalam minggu ketiga puasa, selepas 20 Ramadan.
No comments:
Post a Comment