Hadith :
Sabda Rasulullah s.a.w: "Tidak ada seorangpun yang berada di dalam satu kaum yang mengetahui mereka melakukan kemaksiatan sedangkan ia berkuasa untuk mencegahnya, maka Allah akan menurunkan azab kepada mereka sebelum mereka mati.”
-Riwayat Abu Daud
Huraian:
1. Imam al-Mawardi menyatakan bahawa hisbah adalah menyeru kepada makruf (kebaikan) apabila ternyata ditinggalkan dan mencegah daripada perbuatan mungkar (keburukan) apabila ternyata dilakukan dan mendamaikan antara manusia.
2. Manakala menurut para ilmuan moden, hisbah merupakan satu peraturan daripada beberapa peraturan Islam di mana pada hari ini telah diwujudkan satu badan pengawasan khas yang dipertanggungjawabkan oleh pemerintah untuk menjalankan peranan mengawasi dan memeriksa semua keperluan manusia seperti perihal dagangan, jalanraya, makanan, ubat-ubatan dan sebagainya. Tujuannya adalah untuk mengekalkan keadilan dan kemuliaan bersesuaian dengan tuntutan syariat dan keperluan masyarakat setempat.
3. Hisbah memerlukan kemampuan, kekuasaan dan kekuatan untuk melakukannya. Sebab itulah hukum hisbah bersifat fleksible. Adakalanya ia menjadi wajib kifaie iaitu apabila ia dilakukan oleh seseorang atau sebahagian daripada anggota masyarakat, maka gugurlah kewajipan dan dosa masyarakat sekeliling dan adakalanya menjadi wajib ‘aini iaitu sekiranya kemungkaran tersebut berlaku di kalangan orang tertentu sahaja di mana orang lain tidak mampu mencegahnya melainkan orang yang berada di kalangannya sahaja. Semua ini bergantung pada keadaan, kemampuan pelaku hisbah dan bentuk kesalahan yang dilakukan.
No comments:
Post a Comment