1) Sifat redha adalah daripada sifat makrifah dan mahabbah kepada Allah SWT.
2) Pengertian redha ialah menerima dengan rasa senang dengan apa yang diberikan oleh Allah SWT, baik berupa peraturan ( hukum ) mahupun qada' atau sesuatu ketentuan daripada Allah SWT.
3) Redha terhadap Allah SWT terbahagi kepada dua:-
•Redha menerima peraturan ( hukum ) Allah SWT yang dibebankan kepada manusia.
•Redha menerima ketentuan Allah SWT tentang nasib yang mengenai diri.
Redha Menerima hukum Allah SWT:
Redha menerima hukum-hukum Allah SWT adalah merupakan manifestasi daripada kesempurnaan iman, kemuliaan taqwa dan kepatuhan kepada Allah SWT kerana menerima peraturan-peraturan itu dengan segala senang hati dan tidak merasa terpaksa atau dipaksa.
Merasa tunduk dan patuh dengan segala kelapangan dada bahkan dengan gembira dan senang menerima syariat yang digariskan oleh Allah SWT dan RasulNYA adalah memancar dari mahabbah kerana cinta kepada Allah SWT dan inilah tanda keimanan yang murni serta tulus ikhlas kepadaNYA.
Firman Allah SWT yang bermaksud :
"Maka demi Tuhanmu (wahai Muhammad)! Mereka tidak disifatkan beriman sehingga mereka menjadikan engkau hakim dalam mana-mana perselisihan yang timbul di antara mereka, kemudian mereka pula tidak merasa di hati mereka sesuatu keberatan dari apa yang telah engkau hukumkan, dan mereka menerima keputusan itu dengan sepenuhnya."
- ( Surah An-Nisaa' : Ayat 65 )
Dan firman Allah SWT yang bermaksud :
"Dan (amatlah baiknya) kalau mereka berpuas hati dengan apa yang diberikan oleh Allah dan RasulNya kepada mereka, sambil mereka berkata: "Cukuplah Allah bagi kami; Allah akan memberi kepada kami dari limpah kurniaNya, demikian juga RasulNya; Sesungguhnya kami sentiasa berharap kepada Allah".
- ( Surah At Taubah : Ayat 59 )
Pada dasarnya segala perintah-perintah Allah SWT baik yang wajib mahupun yang Sunnah, hendaklah dikerjakan dengan senang hati dan redha. Demikian juga dengan larangan-larangan Allah SWT hendaklah dijauhi dengan lapang dada .
Itulah sifat redha dengan hukum-hukum Allah SWT. Redha itu bertentangan dengan sifat dan sikap orang-orang munafik atau kafir yang benci dan sempit dadanya menerima hukum-hukum Allah SWT.
Firman Allah s.w.t. yang bermaksud :
"Berlakunya yang demikian ialah: kerana mereka berkata kepada orang-orang yang tidak menyukai perkara yang diturunkan oleh Allah: "Kami akan patuh kepada kamu pada setengah perkara (yang berhubung dengan menentang Muhammad dan pengikutnya) itu"; sedang Allah mengetahui segala (perkataan dan perbuatan) yang mereka sembunyikan."
- ( Surah Muhammad : Ayat 26 )
Andaikata mereka ikut beribadah, bersedekah atau mengerjakan sembahyang, maka ibadah itu mereka melakukannya dengan tidak redha dan bersifat pura-pura. Demikianlah gambaran perbandingan antara hati yang penuh redha dan yang tidak redha menerima hukum Allah SWT, yang mana hati yang redha itu adalah buah daripada kemurnian iman dan yang tidak redha itu adalah gejala nifaq.
Redha Dengan Qada' :
Redha dengan qada' iaitu merasa menerima ketentuan nasib yang telah ditentukan Allah SWT baik berupa nikmat mahupun berupa musibah ( malapetaka ). Didalam hadis diungkapkan bahawa di antara orang yang pertama memasuki syurga ialah mereka yang suka memuji Allah SWT iaitu mereka memuji Allah ( bertahmid ) baik dalam keadaan yang susah mahupun di dalam keadaan senang.
Diberitakan Rasulullah s.a.w. apabila memperolehi kegembiraan Baginda berkata :
" Segala puji bagi Allah yang dengan nikmatNYA menjadi sempurnalah kebaikan ".
Dan apabila kedatangan perkara yang tidak menyenangkan, Baginda mengucapkan :
" Segala puji bagi Allah atas segala perkara ".
Perintah redha menerima ketentuan nasib daripada Allah SWT dijelaskan didalam hadis Baginda yang lain yang bermaksud :
" Dan jika sesuatu kesusahan mengenaimu janganlah engkau berkata : 'Andaikata aku telah berbuat begini dan begitu, begini dan begitulah jadinya'. Melainkan hendaklah kamu katakan : Allah telah mentaqdirkan dan apa yang ia suka, ia perbuat! Kerana sesungguhnya perkataan 'Andaikata...' itu memberi peluang pada syaitan " .
- (Riwayat Muslim)
Sikap redha dengan mengucapkan puji dan syukur kepada Allah SWT. Ketika mendapat kesenangan atau sesuatu yang tidak menyenangkan bersandar kepada dua pengertian :
Pertama :
Bertitik tolak dari pengertian bahawa sesungguhnya Allah SWT memastikan terjadinya hal itu sebagai yang layak bagi dirinya kerana bagi Dialah sebaik-baik Pencipta. Dialah Yang Maha Bijaksana atas segala sesuatu.
Kedua :
Bersandar kepada pengertian bahawa ketentuan dan pilihan Allah SWT itulah yang paling baik , dibandingkan dengan pilihan dan kehendak peribadi yang berkaitan dengan diri sendiri.
Sabda Rasulullah s.a.w. yang bermaksud :
" Demi Allah yang jiwaku ditangannya! Tidaklah Allah memutuskan sesuatu ketentuan bagi seorang mukmin melainkan mengandungi kebaikan baginya. Dan tiadalah kebaikan itu kecuali bagi mukmin. Jika ia memperolehi kegembiraan dia berterima kasih bererti kebaikan baginya, dan jika ia ditimpa kesulitan dia bersabar bererti kebaikan baginya ".
- ( Riwayat Muslim )
Author : www.al-azim.com
subhanallah..Maha Suci Allah..terima kasih atas kata2 nasihat dan peringatan..Dikala hati dirundung kesedihan sering kali syaitan cuba mempengaruhi
ReplyDeleteSalam Anonymous April 19,
DeleteAlhamdulillah jika artikel yg dipetik dari al-azim.com ini telah sedikit sebanyak dapat melegakan. terima kasih singgah ke blog saya.