Dari Abdullah r.a. katanya: Rasulullah s.a.w. menceritakan kepada kami: "Sesungguhnya proses penciptaan seseorang kamu, setelah berada dalam perut ibunya selama 40 hari. Kemudian dari menjadi 'alaqah (segumpal darah) selama 40 hari. Kemudian menjadi mudhghah (segumpal daging) selama 40 hari. Kemudian diutus malaikat meniupkan ruh (jiwa) kepadanya. Kemudian diperintahkan kepada malaikat menuliskan empat ketetapan. Iaitu mengenai rezekinya, ajalnya, 'amalnya dan celaka atau bahagia. Maka demi Allah yang tiada Tuhan selain Dia, sesungguhnya seseorang yang beramal dengan amalan ahli syurga sehingga jaraknya ke syurga hanya tinggal sehasta tetapi suratan taqdirnya menetapkan dia menjadi ahli neraka lalu dia beramal (pada usia umurnya) dengan amalan ahli neraka, maka dia akan masuk neraka. Sebaliknya seseorang yang beramal dengan amalan ahli neraka sehingga jaraknya ke neraka hanya tinggal sehasta tetapi suratan taqdirnya telah ditulis menjadi ahli syurga lalu (pada sisa umurnya) dia beramal dengan amalan ahli syurga, maka dia akan masuk syurga."
- Hadis Sahih Muslim Jilid 4. Hadis Nombor 2272.
Dari Abdullah r.a. katanya: "Pada suatu waktu Ummu Habibah, isteri Nabi s.a.w. mendoa: "Wahai Allah! Panjangkanlah usiaku bersama-sama dengan suamiku Rasulullah s.a.w. dan dengan bapaku Abu Sufyan, dan dengan saudaraku Mu'awiyah." Maka bersabda Nabi s.a.w. "Engkau memohon ajal yang sudah pasti (tidak dapat diubah), memohon jumlah hari yang sudah ditetapkan hitungnya, serta rezeki yang sudah dibagi-bagi, yang tidak dapat disegerakan sebelum tiba waktunya, dan tidak dapat diundur sedikit jua pun dari waktu yang telah ditetapkan semula. Seandainya engkau mohon kepada Allah Ta'ala perlindungan dari seksa neraka atau dari seksa kubur, itu lebih baik dan lebih bagus."
- Hadis Sahih Muslim Jilid 4. Hadis Nombor 2286.
No comments:
Post a Comment