Setiap makhluk di muka bumi dijamin mendapat habuan rezeki masing-masing. Ia terkandung di dalam Surah Hud, Ayat 6 yang bermaksud: "Dan tiadalah sesuatupun dari makhluk melata di bumi melainkan Allah jualah yang menanggung (menjamin) rezekinya dan mengetahui tempat kediamannya dan tempat ia disimpan. Semuanya itu tersurat di dalam Kitab (Luh Mahfuz) yang nyata (kepada malaikat yang berkenaan)".
Malah, hadis Qudsi riwayat Nasai menegaskan bahawa: "Sesungguhnya malaikat Jibril memberitahuku bahawa manusia tidak akan mati sehingga disempurnakan ajalnya dan memperoleh rezeki yang diperuntukkan kepadanya. Maka, bertakwalah kepada Allah dan mintalah kepada-Nya".
Bagaimanapun, mengurniakan rezeki dan mencari rezeki adalah dua perkara berbeza sama sekali. Mengurniakan rezeki memang 'kerja Allah SWT', tetapi mencari rezeki adalah kewajipan manusia. Bukan sesuatu yang kena pada syarak jika makhluk hanya berpeluk tubuh sementara menunggu rezeki yang sudah 'dijamin' itu.
Dan, mencari rezeki pula tidak terbatas kepada berusaha memaksimumkan sumber sedia ada, malah Islam mengajar banyak amalan lain agar rezeki yang 'dijamin' itu akan diperoleh secara mudah, murah serta melimpah.
Antara amalan yang diajar junjungan besar Nabi Muhammad s.a.w ialah menyibukkan diri untuk beribadat kepada Allah walau sesibuk mana sekali pun.
Dalam satu hadis Qudsi riwayat Ahmad, Tirmizi, Ibnu Majah dan al-Hakim dari Abu Hurairah r.a. dijelaskan bahawa: "Wahai anak Adam, sempatkanlah untuk menyembahKu, maka Aku akan membuat hatimu kaya dan menutup kefakiranmu. Jika tidak melakukannya, maka Aku akan penuhi tanganmu dengan kesibukan dan Aku tidak menutup kefakiranmu".
Islam juga mengajar umatnya berbanyak beristighfar. Ia adalah satu bentuk kerendahan hati dan rintihan seorang hamba kepada Maha Pencipta.
Dalam satu hadis lain riwayat Ahmad, Abu Daud, an-Nasa'i, Ibnu Majah dan al-Hakim dari Abdullah bin Abbas ra, Nabi Muhammad s.a.w. bersabda bermaksud: "Sesiapa memperbanyakkan istighfar, maka Allah akan menghapuskan segala kedukaannya, menyelesaikan segala masalahnya dan memberinya rezeki dari arah yang tidak disangka."
Amalan lain ialah berbuat baik dan berbakti kepada ibu bapa. Dalam hadis riwayat Imam Ahmad, Rasulullah s.a.w. berpesan agar siapa yang ingin panjang umur dan ditambah rezekinya, hendaklah dia berbakti kepada ibu bapanya serta menyambung tali kekeluargaan.
Ini terkandung di dalam hadis bermaksud: "Siapa berbakti kepada ibu bapanya, maka kebahagiaan buatnya dan Allah akan memanjangkan umurnya."
- (Riwayat Abu Ya'ala, at-Tabrani, al-Asybahani dan al-Hakim).
Malah berbuat baik kepada kedua-dua orang tua, seperti dijelaskan Rasulullah s.a.w, ialah termasuk mendoakan kesejahteraan kedua-duanya.
Baginda mengingatkan bahawa, "Apabila hamba itu meninggalkan berdoa untuk kedua-dua orang tuanya nescaya terputuslah rezeki (Allah) daripadanya."
- (Riwayat al-Hakim dan ad-Dailami).
Amalan kebajikan termasuk membantu insan lemah dan daif turut mampu melimpahkan rezeki manusia. Malah menggembirakan orang yang sedang sakit serta anak yatim dan fakir miskin, bagi Islam, ia dikira amalan kebajikan.
Ini bertepatan dengan gambaran yang diberikan menerusi hadis riwayat Bukhari bermaksud: "Tidaklah kamu diberi pertolongan dan diberi rezeki, melainkan kerana orang lemah di kalangan kamu'.
Kerja kebajikan, tidak kira apa juga bentuknya, dijelaskan hadis Nabi s.a.w. riwayat Ibnu Abbas bermaksud: "Sesungguhnya kebajikan itu memberi cahaya kepada hati, kemurahan rezeki, kekuatan jasad dan disayangi makhluk lain.
Manakala kejahatan pula boleh menggelapkan rupa, menggelapkan hati, melemahkan tubuh, menyempitkan rezeki dan makhluk lain mengutuknya.
Amalan kebajikan lain yang mampu 'menarik rezeki' ialah perbuatan bersedekah. Rasulullah pernah bersabda kepada Zubair bin al-Awwam bermaksud: "Hai Zubair, ketahuilah bahawa kunci rezeki hamba itu ditentang Arasy, yang dikirim oleh Allah azza wajalla kepada setiap hamba sekadar nafkahnya. Maka siapa yang membanyakkan pemberian kepada orang lain, nescaya Allah membanyakkan baginya. Dan siapa yang menyedikitkan, nescaya Allah menyedikitkan baginya".
Banyak lagi amalan murni yang diajar junjungan besar Nabi Muhammad ke arah penyuburan rezeki termasuk membanyakkan selawat ke atas baginda, berpagi-pagi dalam mengerjakan urusan mencari rezeki, sentiasa beribadat malam (tahajud), membiasakan diri sentiasa dalam keadaan berwuduk, berzikir, berdoa dan membaca al-Quran.
Author : Noordin Zakaria
No comments:
Post a Comment