Hadith :
Dari Anas r.a, Nabi s.a.w memberi kelonggaran kepada Abdur Rahman bin Auf dan Zubair untuk memakai baju sutera kerana keduanya terkena penyakit gatal (kudis).”
- (Bukhari)
Huraian:
Pada masa ini, ramai berpakaian bagi melambangkan personaliti selain melindungi tubuh daripada cuaca panas atau sejuk. Oleh kerana masa atau zaman berubah begitu pantas, maka rekaan dan corak pakaian pun sentiasa bertukar dan semakin canggih. Oleh itu, tidak hairan jika hari ini lahir pelbagai jenis rekaan pakaian yang tidak lagi mementingkan aspek akhlak dan moral.
Islam sebenarnya tidak menetapkan bentuk atau warna pakaian tertentu untuk dipakai, baik ketika beribadah atau luar ibadah. Islam menetapkan pakaian itu mestilah menutup aurat, sopan dan sesuai dengan akhlak seorang Muslim.
Pakaian lelaki contohnya mestilah berbeza daripada pakaian wanita. Maksudnya, pakaian yang khusus untuk kaum lelaki tidak boleh dipakai oleh kaum wanita, begitu juga sebaliknya.
Rasulullah mengingatkan hal ini dengan keras menerusi sabdanya bermaksud: "Allah mengutuk wanita yang meniru pakaian dan sikap lelaki, dan lelaki yang meniru pakaian dan sikap perempuan. "
- (Bukhari dan Muslim).
Baginda juga bersabda bermaksud: "Allah melaknat lelaki berpakaian wanita dan wanita berpakaian lelaki."
- (Abu Daud dan al-Hakim).
Pakaian lelaki juga tidak boleh diperbuat daripada sutera kecuali mereka yang mempunyai sebab-sebab yang diharuskan oleh syarak seperti yang disebutkan di dalam hadith di atas.
Rasulullah s.a.w pernah bersabda bermaksud: "Janganlah kamu memakai sutera, sesungguhnya orang yang memakainya di dunia tidak dapat memakainya di akhirat."
- (Muttafaq 'alaih)
No comments:
Post a Comment