Sunday, March 15, 2009

ANAK PEREMPUAN PENENTU MASUK SYURGA / NERAKA

Daripada Aisyah, Nabi Muhammad SAW bersabda maksudnya: "Sesiapa yang diberati menanggung sesuatu urusan menjaga dan memelihara anak-anak perempuan, lalu dia menjaga dan memeliharanya dengan baik, nescaya mereka menjadi pelindung baginya daripada api neraka." (Hadis riwayat Bukhari, Muslim dan at-Tirmizi)

Wanita adalah makhluk Allah yang amat istimewa. Kemuliaan dan keruntuhan sesuatu bangsa terletak di tangan mereka. Ibu bapa wajib memberi perhatian terhadap anak perempuan. Mereka adalah aset penting yang menentukan sama ada ibu bapa mereka layak memasuki syurga atau terhumban ke dalam neraka disebabkan oleh mereka.

Rasulullah SAW bersabda bermaksud: "Takutlah kamu kepada Allah dalam perkara yang berhubung dengan kaum wanita."

Hadis itu bermaksud bahawa setiap ibu bapa dan yang bergelar suami hendaklah sentiasa mengawasi anak perempuan dan isteri mereka supaya sentiasa berpegang teguh dengan agama dan mematuhi perintah Allah.

Ramai ibu bapa yang menjaga anak mereka dengan hanya memberi tempat tinggal, makan dan minum semata-mata seperti memelihara binatang ternakan yang hanya bertujuan menggemukkan saja. Sedangkan pendidikan agama tidak diberi penekanan sepatutnya. Contohnya dalam perkara aurat dan pergaulan hingga akhirnya ramai wanita yang menjadi bahan fitnah dan terdedah dengan pelbagai keburukan mencemarkan nama baik keluarga dan agama. Sesungguhnya anak yang diajar dengan didikan agama memberi faedah kepada ibu bapanya ketika hidup dan selepas mati.

(Petikan e-hadis, Jabatan Kemajuan Islam)

Monday, March 9, 2009

ZIKIR UNTUK REZEKI

YA ALLAH YA FATTAH

Salah satu nama Allah SWT, Al-Fattah (Maha Membukakan) dikatakan dapat menjadi sebab dibukakan pintu rezeki jika diwiridkan selalu; misalnya dibaca “Ya Allah Ya Fattah” berulang-ulang, diiringi doa: “Ya Allah SWT, bukalah hati kami untuk mengenali-Mu, bukalah pintu rahmat dan keampunan-Mu, Ya Fattah Ya ‘Alim.”

ZIKIR PELEMBUT HATI

Zikir ini elok di amalkan untuk melembutkan hati pasangan / anak:

Ya Aziz Ya Jabbar Ya Mutakabbir

Selepas membacanya beberapa kali, hembuskan ke atas pasangan / anak sekira-kira mereka tidak perasan.

Atau bacanya waktu pasangan / anak tidur nyenyak. Hembuskanlah di tapak tangan dan letakkan di hati (dada) pasangan / anak.

Mudah-mudahan Allah lembutkan hatinya. Bila hati sudah lembut, mudahlah dibuka kunci perhubungan atau pintu perbincangan.

Selain daripada itu amalkan doa ini: "Ya Allah, lembutkanlah hatinya sepertimana Engkau lembutkan besi"

Sunday, March 8, 2009

ZIKIR UNTUK BERBAGAI HAJAT

Untuk yang berhajat: (percepatkan jodoh, memanjangkan jodoh, dikurniakan cahaya mata, sembuhkan penyakit, elakkan dari malapetaka, diampunkan dosa dan sebagainya):

* Dilakukan pada hari Jumaat selepas sembahyang Asar sehinggalah masuknya waktu Maghrib.

* Duduk menghadap kiblat

* Lakukannya dengan khusyuk dan yakin yang Allah akan membantu kita

* Bacalah Ya Allah, Ya Rahman, Ya Rahim berulang-ulang sepanjang-panjang kita duduk selepas sembahyang asar sehinggalah masuknya waktu maghrib.

* Masuk sahaja waktu Maghrib, di kala "Allahuakbar" yang pertama dilaungkan, teruslah angkat tangan dan berdoa kepada Allah yang Maha Berkuasa dengan apa yang dihajati.


Buat sebanyak 3 Jumaat berturut turut. Mintalah yang baik baik. Niat biar baik. InsyaAllah akan dimakbulkan oleh Allah SWT. Wallahualam.

UNTUK KHATAM MEMBACA 30 JUZUK ALQURAN

Baca sedikit tetapi selalu. Satu juzuk selalunya mengandungi lebih kurang 20 mukasurat.

Bacalah 4 mukasurat selepas Subuh (20 minit).
Bacalah 4 mukasurat selepas Zuhur (20 minit).
Bacalah 4 mukasurat selepas Asar (20 minit).
Bacalah 4 mukasurat selepas Maghrib (20 minit).
Bacalah 4 mukasurat selepas Isya’ (20 minit).

Tuliskan nombor mukasurat setiap kali berhenti membaca di atas sebuah kad kecil yang diselit di dalam Al Quran.

Bawalah Al Quran ke mana-mana, yang kecil lebih mudah. Setiap kali ada ruang waktu, buka dan baca dari mana anda berhenti.

Bagi pekerja pejabat, ambil waktu sarapan pagi (7.30 - 8.00 pagi), waktu minum (10.00 - 10.30 pagi) dan waktu makan tengahari. Bacalah sedikit-sedikit setiap kali.

Bagi pelajar gunakan masa rehat, masa tiada kuliah atau kelas, carilah sudut yang tenang dan bacalah Al Quran.

Sementara menunggu waktu solat di masjid atau surau. Datang awal sebelum azan.

Pada hari cuti, gandakan bacaan pada waktu pagi. Di antara 10.00-12.00 tengahari ramai orang berehat sambil menonton TV. Alangkah baiknya masa itu digunakan dengan mencari sudut yang tenang di rumah dan baca Al Quran.

Selalu menjaga wudhu' supaya boleh membaca Al Quran bila-bila masa.

Untuk wanita yang haid, bacalah makna Al Quran serta tadabbur (perdalami) maknanya dengan membaca tafsir. Ini bermakna kita masih berinteraksi dengan Al Quran dan tidak tinggalkan langsung Al Quran.

Friday, March 6, 2009

HIKMAH AL QURAN DITURUNKAN BERANSUR-ANSUR

1. Supaya ianya lebih mudah difahami dan dilaksana. Manusia akan enggan melaksanakan suruhan dan larangan sekiranya perintah itu diturunkan secara serentak dan banyak.

2. Diantara ayat-ayat yang diturunkan itu ada yang nasakh dan ada yang mansukh mengikut kesesuaian masyarakat umum.

3. Turunnya sesuatu ayat itu berkesesuaian dengan peristiwa yang terjadi dan ini lebih memberi kesan di dalam hati.

4. Memudahkan bagi mereka yang hendak menghafaznya.

5. Diantara ayat-ayat itu ada yang merupakan jawapan daripada pertanyaan dan penolakan sesuatu pendapat atau perbuatan. Ibnu Abbas r.a. ada berkata, "Hal ini tidak dapat dilaksanakan sekiranya Al Quran itu diturunkan serentak.

Perbezaan Ayat Makiyah dengan Ayat Madaniyah

1. Ayat Makiyah pada umumnya pendek sedang ayat Madaniyah panjang. Surah Madaniyah merupakan 11/30 dari isi Al Quran. Surah Makiyah merupakan 19/30 dari isi Al Quran.

2. Dalam surah Madaniyah ayatnya dimulakan dengan "Ya ayyuhal lazi na aa manu" dan sedikit sekali ayatnya yang dimulakan dengan "Ya ayyuhan nas" sedang dalam surah Makiyah adalah sebaliknya.

3. Ayat Makiyah pada umumnya mengandungi hal-hal yang berhubung dengan keimanan, ancaman, pahala dan kisah umat-umat terdahulu yang mengandungi hukum-hukum duniawi dan kemasyarakatan.

Bagaimana Al Quran Diturunkan?

1. Malaikat memasukkan wahyu itu ke dalam hati Nabi s.a.w. dalam hal Nabi tidak melihat sesuatu apa pun. Baginda hanya merasakan yang wahyu itu sudah berada di dalam kalbunya.

2. Malaikat menampakkan dirinya kepada Nabi s.a.w. berupa seorang lelaki dan mengucapkan kata-kata kepadanya sehingga baginda dapat mengetahui dan menghafal akan kata-katanya itu.

3. Wahyu yang datang kepada Nabi s.a.w. seperti bergemerincingnya loceng. Cara inilah yang paling berat dirasakan oleh Nabi s.a.w. Keringat akan terpancar pada kening baginda walaupun wahyu itu turun pada musim dingin. Ada kalanya unta yang ditunggang oleh baginda terpaksa berhenti dan duduk untuk seketika kerana merasa berat yang amat sangat.

4. Malaikat menampakkan dirinya kepada Nabi s.a.w. dengan rupanya yang asli. Hal ini ada disebut dalam Surah An Najm, ayat 13 - 14.