Thursday, March 19, 2009

KISAH UNTA MENJADI HAKIM

Pada zaman Rasulullah s.a.w, ada seorang Yahudi yang menuduh seorang Muslim mencuri untanya. Maka dia datangkan empat orang saksi palsu dari golongan munafik.

Nabi s.a.w lalu memutuskan hukum unta itu milik orang Yahudi dan akan memotong tangan Muslim itu sehingga orang Muslim itu rasa kebingungan. Maka dia pun mengangkatkan kepalanya menengadah ke langit seraya berkata, "Tuhanku, Engkau Maha Mengetahui bahawa sesungguhnya aku tidak mencuri unta itu." Selanjutnya orang Muslim itu berkata kepada Nabi s.a.w, "Wahai Rasulullah, sungguh keputusanmu itu adalah benar, akan tetapi mintalah keterangan dari unta ini." Kemudian Nabi s.a.w bertanya kepada unta itu, "Hai unta, milik siapakah engkau ini ?" Unta itu menjawab dengan kata-kata yang fasih dan terang, "Wahai Rasulullah, aku adalah milik orang Muslim ini dan sesungguhnya para saksi itu adalah dusta."

Akhirnya Rasulullah s.a.w berkata kepada orang Muslim itu, "Hai orang Muslim, beritahukan kepadaku, apakah yang engkau perbuat, sehingga Allah Taala menjadikan unta ini dapat bercakap perkara yang benar." Jawab orang Muslim itu, "Wahai Rasulullah, aku tidak tidur di waktu malam sehingga lebih dahulu aku membaca selawat ke atas engkau sepuluh kali."

Rasulullah s.a.w bersabda, "Engkau telah selamat dari hukum potong tanganmu di dunia dan selamat juga dari seksaan di akhirat nantinya dengan sebab berkatnya engkau membaca selawat untukku."

Memang membaca selawat itu sangat digalakkan oleh agama sebab pahala-pahalanya sangat tinggi di sisi Allah. Lagi pula boleh melindungi diri dari segala macam bencana yang menimpa, baik di dunia dan di akhirat nanti. Sebagaimana dalam kisah tadi, orang Muslim yang dituduh mencuri itu mendapat perlindungan daripada Allah melalui seekor unta yang menghakimkannya.

HUKUM MEMOTONG KUKU SEMASA HAID

Soalan:-

Ada yang mengatakan bahwa seorang perempuan yang sedang haid, tidak boleh memotong rambut dan potong kuku. Mengapa demikian? Apakah ada akibat buruknya? Apakah memang ada dalilnya?

Jawapan:-

Disebutkan di dalam syarah al-‘Iqna’ Matan Abi Syuja’ ( 1/60 ), menurut Imam al-Ghazzali di dalam Ihya Ulumiddin, bahawa tidak seharusnya seseorang yang berjunub memotong kuku atau mencukur bulu dan rambutnya kerana semua tadi akan dikembalikan di hari akhirat nanti dalam keadaan junub ( tidak bersih) .

Bagaimanapun, setelah diteliti asas kepada pendapat ini, maka tiada didapati sebarang dalil yang menyokongnya kecuali logik akal semata-mata tadi. Demikian menurut Syeikh Sayyid Sabiq, Syeikh Atiyyah Saqar dan Dr. Rif`at Fawzi, professor Shari`ah di Univ. Kaherah

Soalan ini pernah di tujukan kepada Imam Ibn Taymiah di dalam kitabnya “Ghiza’ al-albab, 1/382 ) maka beliau menjawab : “ Tidak aku ketahui hukum makruh membuang rambut dan bulu dan kuku ketika junub, bahkan Nabi SAW bersabda : “ Sesungguhnya seorang mukmin tidak najis (tubuhnya) samada hidup ataupun mati”, malah Nabi memberitahu : “ buangkan darimu bulu-bulu kufur (yang tidak dicukur semasa kafir) dan berkhatanlah (apabila masuk Islam) ". Maka arahan Nabi tidak menunjukkan sebarang tangguh cukur selepas mandi. Demikian juga diperintah wanita haid agar menyikat rambutnya semasa mandi junub, yang mana diketahui bahawa dengan menyikat ini boleh menggugurkan rambut (sebelum tamat mandi). Justeru apa yang dikatakan sebenarnya tiada asalnya.”


Tiada sebarang halangan untuk memotong kuku secara junub. Pandangan ini juga datang dari tokoh ulama Tabien iaitu Ato’ bin Abi Rabah. ’Ata disebut pernah menyatakan seseorang boleh melakukannya dalam keadaan junub, malah dalam keadaan junub dan tidak berwudu’ (Riwayat al-Bukhari)
Sebagai makumat tambahan, kemestian menanam rambut, kuku yang dipotong dan sebagainya juga tiada sebarang dalil (kecuali jika dibimbangi akan diambil dan disihirkan), demikian juga larangan memotong kuku di waktu malam. Wallahu a’lam

Tuesday, March 17, 2009

SEDEKAH SAMA NILAI DENGAN SOLAT DHUHA

Dari Abu Dzar r.a, dari Nabi s.a.w sabdanya: "Setiap orang mempunyai sumber sedekah. Tiap-tiap tasbih, tahmid, tahlil dan takbir adalah sedekah. Amar makruf adalah sedekah, nahi mungkar adalah sedekah. Dan semuanya itu sama nilainya dengan dua rakaat solat Dhuha.” - (Muslim)


Huraian:-

Beramal ibadah itu bukan setakat di hamparan sejadah (solat) semata tetapi ia meliputi aspek-aspek amalan anggota lahir dan batin di luar sembahyang juga seperti bersedekah, bertasbih, bertahmid dan sebagainya. Pokoknya di setiap kesempatan yang ada perlu diisi dengan amal kebaikan kerana setiap amal akan diganjari dengan balasan yang baik dan begitulah sebaliknya.

Monday, March 16, 2009

MENGHANTAR IBUBAPA MENUNAIKAN HAJI

Saya ingin menghantar ibubapa saya menunaikan haji, tapi disebabkan saya kekurangan wang dan usia ayah saya yang dah tua dan saya takut tidak sempat untuk menghantarnya menunaikan haji, jadi saya bercadang untuk menghantarnya mengerjakan umrah. Apakah tujuan umrah sebenarnya? Adakah berbaloi saya menghantarnya mengerjakan umrah dengan tujuan sekurang- kurangnya ibubapa saya dapat merasa menjejakkan kaki ke sana dan beribadat didepan Kaabah.


Jawapan:-

Menunaikan haji adalah satu kewajipan sedangkan umrah adalah sunat. Oleh itu, kumpulkanlah wang yang cukup untuk menghantar ayah menunaikan haji kerana apabila dia menunaikan haji sudah pasti dia mengerjakan umrah khususnya haji Tamattu'. Tidaklah menjadi tanggungjawab anak untuk menghantar ayah menunaikan haji kerana ia merupakan satu kewajipan yang tertanggung bagi setiap individu itu sendiri. Anak disunatkan untuk membantunya sebagai tanda membalas jasa dan bakti ibubapa yang membesarkan mereka.

Umrah itu dilakukan sebagai ibadat sunat dan bukan sebagai pengganti kepada kewajipan haji. Umrah adalah satu ibadat ziarah ke Masjidil Haram yang boleh dilakukan oleh orang yang mampu dari segi kewangan, kesihatan dan keselamatan. Tidak berbaloi sekiranya tujuan tuan hanya sekadar untuk menyampaikan hajat supaya ibubapa tuan melihat Kaabah, kerana yang lebih penting adalah menunaikan rukun kelima iaitu menunaikan haji.

SIFAT LEMAH LEMBUT MENDATANGKAN KEBAIKAN

Rasulullah s.a.w bersabda yang bermaksud: “Sesiapa yang dikurniakan sifat lemah lembut nescaya ia akan memperolehi kebaikan dalam semua hal.” - Riwayat Muslim

Huraian:-

1. Lemah-lembut adalah akhlak yang mulia yang dianugerahkan oleh Allah S.W.T kepada hamba-nya. Oleh itu orang yang memiliki sifat lemah lembut adalah orang yang sangat beruntung.

2. Melatih diri untuk dapat memiliki sifat mulia ini dapat dimulakan dengan menahan diri apabila marah dan mempertimbangkan baik buruknya sesuatu perkara sebelum bertindak.

3. Orang yang lemah lembut melambangkan orang yang sentiasa sabar dan tenang (tidak tergesa-gesa). Namun sifat lemah lembut ini lebih baik diseiringkan dengan ketegasan agar seseorang itu tidak mudah dipermainkan atau diperbodohkan oleh orang lain.

4. Rasullullah s.a.w adalah contoh orang yang paling lemah-lembut dan paling baik dalam pergaulan. Sesiapa yang melihat baginda dari jauh akan berasa gentar tetapi sesiapa yang bercampur atau bergaul dengan baginda tentu akan menyayangi baginda disebabkan oleh sikap lemah lembut baginda itu.

HIDUP UNTUK BAHAGIA ATAU HIDUP UNTUK CELAKA

Dari Abu Malik Al-Asy’ari katanya:
"Bersabda Rasulullah s.a.w: "Kebersihan itu sebahagian daripada iman. Membaca Subhanallah dan Alhamdulillah pahalanya sebesar langit dan bumi. Sembahyang itu pelita. Sedekah itu bakti. Sabar itu cahaya dan Al-Quran itu akan menjadi kawan atau lawanmu. Manusia sepanjang hidupnya bekerja untuk keselamatan dirinya atau kecelakaannya.” (Muslim)


Huraian:-

Kemakmuran dan kesejahteraan itu boleh sahaja diperolehi dengan berbagai cara, termasuk dengan cara membelakangi nilai-nilai ugama. Namun begitu kemakmuran dan kesejahteraan yang menyalahi nilai-nilai ugama tidak akan dapat bertahan lama kerana ia sebenarnya kosong daripada berkat dan apa pun jua yang ketandusan berkat tidak akan dapat menghasilkan kebahagiaan sejati.

Oleh itu Islam menganjurkan umatnya agar sentiasa berpegang pada jalan yang betul dan berbuat sesuatu yang benar-benar bertepatan dengan kehendak syarak sama ada ia merupakan perkara wajib ataupun sunat. Ini disebabkan manusia itu sepanjang hidupnya bekerja untuk keselamatan dirinya atau kecelakaannya iaitulah bergantung pada keberkatan dan keredhaan Allah S.W.T dalam setiap apa yang dilakukannya itu.

Jika itu perkara yang baik, insyaAllah ia akan selamat dunia dan akhirat tetapi jika sebaliknya lambat laun ia akan mendapat pembalasan dan kecelakaan sama ada di dunia atau pun di akhirat kelak.