Wednesday, August 25, 2010

Penggunaan INHALER Semasa Berpuasa

Soalan;

Apa hukum semburan Inhaler yang digunakan oleh orang yang penat. Adakah membatalkan puasa bila disembur siang hari Ramadhan?

Jawapan;

Di kalangan ulamak semasa hari ini berlaku perbezaan pendapat:

1. Sebahagian ulamak antaranya Syeikh ‘Atiyah Saqar (ulamak al-Azhar, Mesir), Syeikh Dr. ‘Ali Jumaah (ulamak al-Azhar dan mufti Mesir sekarang), Dr. Ahmad al-Kurdi (anggota lujnah fatwa Kuwait) dan beberapa ulamak lagi berpandangan:- Semburan itu membatalkan puasa kerana ia memasukkan sesuatu ke dalam rongga terbuka yang bersaluran ke perut. Oleh demikian, orang yang menggunakan Inhaler batal puasanya, tetapi ia tidak berdosa kerana ada keuzuran (sakit) dan wajib ia mengganti puasanya pada hari lain selepas Ramadhan. Jika penyakitnya berpanjangan (tiada harapan sembuh di mana ia perlu berterusan menggunakan Inhaler itu), tidak dituntut lagi ia berpuasa dan hendaklah ia mengantinya dengan membayar Fidyah kepada orang miskin.


2. Sebahagian ulamak yang lain pula berpandangan:- Penggunaan Inhaler itu tidak membatalkan puasa kerana semburan itu tidaklah sampai ke dalam perut, hanya sampai setakat dada sahaja. Orang yang menggunakannya tidaklah ia berniat makan dan minum, tetapi semata-mata untuk membuka rongga penafasannya. Oleh demikian, semburan Inhaler tersebut tidak termasuk dalam pengertian makan atau minum, maka tidak membatalkan puasa.

Di antara ulamak yang berpandangan ini ialah Syeikh Dr. Yusuf al-Qaradhawi, Syeikh Bin Baz (bekas mufti Arab Saudi), Syeikh Muhammad bin Soleh al-‘Usaimin dan beberapa lagi. Selain itu, dalam perbincangan Fiqh berkenaan hal-hal pengubatan/rawatan kali ke 9 juga telah memutuskan bahawa pengunaan Inhaler tidak membatalkan puasa.

Wallahu a’lam.

Rujukan;

1. al-Fatawa Min Ahsanil-Kalam, Syeikh Atiyah Saqar, 2/18.
2. Fatawa ‘Ulama’ Baladil-Haram, hlm. 201.
3. al-Kalim at-Thaiyyib (Fatawa Dr. Muhammad Ali Jumah), 1/109.
4. Rujukan internet; (http://www.islamonline.net/servlet/Satellite?pagename=IslamOnline-Arabic-Ask_Scholar/FatwaA/FatwaA&cid=1122528614200), (http://www.islamonline.net/servlet/Satellite?pagename=IslamOnline-Arabic-Ask_Scholar/FatwaA/FatwaA&cid=1122528613102) dan (http://www.islamic-fatwa.com/index.php?module=fatwa&id=31650).


Posted by USTAZ AHMAD ADNAN FADZIL

No comments:

Post a Comment