Soalan:
Adakah ganjaran pahala membaca al-Quran berpandukan komputer sama dengan ganjaran pahala membaca al-Quran berpandukan mushaf?
Jawapan:
Hal itu bergantung kepada apa yang lebih memberi kesan kepada jiwa, tidak kira samada membaca atau mendengar. Jika membaca berpandukan mushaf lebih memberi kesan, itulah lebih afdal. Begitu juga sebaliknya.
Ini kerana, tujuan bacaan dan mendengar al-Quran adalah penghayatan, pemahaman dan beramal dengan apa yang ditunjukkan oleh al-Quran sebagaimana penegasan ALLAH di dalam Surah Sod, Ayat 5.
Pernah Rasululullah s.a.w hanya mendengar bacaan daripada orang lain lalu menangis kerana tadabbur sebagaimana tercatat di dalam hadis sahih. Ibn Mas’ud r.a berkata:
“Nabi s.a.w telah berkata kepadaku: Bacakan al-Quran kepadaku. Aku menjawab: Wahai Rasulullah! Bacakan untukmu? Sedangkan al-Quran diturunkan kepadamu. Jawab baginda: Sebenarnya, aku lebih suka mendengar bacaan al-Quran daripada orang lain. Lalu aku membaca surah al-Nisa’ sehingga Ayat 41: Bagaimanakah keadaanmu apabila kami datangkan bagi setiap umat itu seorang saksi (Rasul) lalu kami datangkan engkau pada hari itu sebagai saksi bagi mereka (umatmu). Baginda berkata: Cukuplah setakat ini. Lalu aku memandang baginda dan kelihatan kedua-dua mata baginda menitiskan air mata.”
– Hadis riwayat al-Bukhari dan Muslim.
Wallahu a'lam.
Ustaz Mohd Noor
Thursday, March 10, 2011
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment