Showing posts with label hadis. Show all posts
Showing posts with label hadis. Show all posts

Thursday, August 9, 2012

Berusaha Mencari Rezeki

Hadith :
Rasulullah s.a.w bersabda, maksudnya: “Mereka yang mencari harta dunia (kekayaan) dengan jalan yang halal dan menahan dirinya dari meminta-minta (tidak menjadi pengemis) dan berusaha mencari nafkah untuk keluarganya serta belas kasihan, kasih sayang terhadap jiran tetangganya, nescaya di hari kiamat kelak ia akan berjumpa dengan Allah dengan mukanya berseri-seri seperti bulan purnama pada waktu malam.”
- Riwayat At-Tabrani


Huraian Pengajaran Hadith:

i) Sesungguhnya Allah S.W.T amat kasih kepada orang yang berusaha atau bekerja mencari rezeki dengan titik peluh sendiri di mana dengan itu dia dapat memenuhi keperluan dan tanggungjawabnya terhadap diri, keluarga dan masyarakat. Malah kedudukannya adalah lebih baik daripada bersikap pemalas dan meminta-minta daripada orang lain.

Ii) Allah telah menetapkan dalam sunnah kehidupan bahawa kejayaan itu adalah hasil daripada kerja tekun dan dedikasi. Inilah antara maksud jihad yang dituntut oleh Islam.

iii) Kita perlu ingat bahawa hanya rezeki yang halal sahaja mesti dicari kerana di situlah letaknya keberkatan dan ganjaran daripada Allah S.W.T. Sedangkan rezeki yang diambil daripada punca yang haram seperti rasuah dan sebagainya, lambat laun akan menimbulkan kecelakaan dan masalah dalam hidup bukan sahaja di dunia malah di akhirat juga.

Friday, June 22, 2012

Doa Dari Anak

Rasulullah s.a.w. menggambarkan bagaimana doa seorang anak boleh mengubah kedudukan ibubapa mereka di akhirat nanti.

Daripada Abu Hurairah bahawa Rasulullah bersabda yang bermaksud: “Sesungguhnya seorang lelaki akan diangkat darjatnya di syurga. Maka dia bertanya: “Bagaimana aku boleh berada di sini?” Maka dijawab: “Dengan doa permohonan keampunan oleh anakmu untuk dirimu.”
- Riwayat Ibn Majah no.3660. Sanadnya sahih sebagaimana dalam al-Zawaid


Credit to Author: Mohd Al-Adib Samuri
Dipetik dari Majalah Solusi

Monday, May 21, 2012

Jangan Berbohong

Hadith:

Dari Ibnu Umar r.a katanya: Saya dengar Nabi s.a.w. bersabda: "Bagi tiap-tiap orang yang khianat (penipu), ada bendera yang dipancangkan tanda khianatnya di hari kiamat kelak.”


Huraian Hadith:

Rasulullah s.a.w. menjelaskan sifat-sifat orang munafiq. Di antaranya:
~ apabila ia berkata, ia berbohong,
~ apabila berjanji, ia mungkiri
~ dan apabila diberi amanah, ia khianat.

Maka wajar jika Rasulullah SAW menyatakan bahawa berdusta atau berbohong itu termasuk dalam dosa besar.

Dalam sebuah riwayat diceritakan, telah datang kepada Rasulullah s.a.w., seorang lelaki meminta nasihat. Lelaki itu mengaku bahawa dia tidak dapat meninggalkan satu maksiat yang biasa dilakukannya, iaitu berzina. Mendengar pengakuan jujur lelaki ini Rasulullah s.a.w. berwasiat kepadanya: Hanya dengan satu perkara: "Laa Takzib! (Jangan berbohong!)." Ternyata dengan menjaga untuk tetap melaksanakan nasihat Rasulullah s.a.w. itu, lelaki ini dapat menghindari perbuatan maksiat yang susah ditinggalkannya kerana setiap kali dia ingin melakukan zina, dia akan teringat kepada nasihat baginda itu."Bagaimana kalau saya ditanya oleh Rasulullah s.a.w.? Jika saya menjawab: “Tidak, bererti saya telah berbohong. Jika saya mengaku bererti saya wajib dihukum", fikir lelaki tersebut sehingga telah berhenti dari berzina.

- (Bukhari)

Saturday, April 21, 2012

Menjaga Perasaan

Hadith :
Rasulullah s.a.w telah bersabda yang maksudnya:
”Jika kamu bertiga, maka janganlah dua daripada kamu bercakap-cakap meninggalkan yang ketiga kerana perbuatan begini akan mendukacitakannya.”
- (al-Bukhari dan Muslim)


Huraian:

1. Apabila terdapat tiga orang berada dalam satu majlis, maka tidak harus dua daripada mereka berbual dan meninggalkan yang ketiga. Perbuatan ini boleh menyebabkan orang yang ketiga berasa dukacita, gelisah dan menimbulkan buruk sangka kerana dirinya tidak dipedulikan.

2. Setiap manusia hendaklah memahami disiplin-disiplin dalam bergaul dan berinteraksi supaya tidak berlaku perkelahian dan pergaduhan.

3. Komunikasi yang berkesan adalah komunikasi yang menepati apa yang dimaksudkan bukan sesuatu yang samar-samar sehingga timbul berbagai fitnah dan cerita bohong yang diada-adakan hingga mengakibatkan perpecahan dan sebagainya.

4. Seorang muslim itu wajib menjauhi sebarang percakapan yang mengandungi unsur-unsur umpat keji, kata-mengata dan sebagainya dan tidak menyibukkan diri dengan percakapan yang tidak berfaedah.

Monday, March 5, 2012

Kunci Kemurahan Rezeki

Hadith :
Rasulullah s.a.w bersabda yang maksudnya: "Berilah (belanjalah) dan jangan kamu selalu menutupi kepunyaanmu, kerana dengan itu nanti Allah akan menutupi rezekimu."
- Riwayat Bukhari & Muslim



Huraian Pengajaran Hadis:

i) Allah yang mewujudkan sifat semulajadi dalam diri manusia iaitu sifat belas kasihan yang menggerakkan seseorang itu untuk bersedekah.

Firman Allah S.W.T yang maksudnya "Bandingan (perbelanjaan/derma) orang-orang yang membelanjakan hartanya pada jalan Allah ialah yang tumbuh menerbitkan tujuh tangkai: tiap-tiap tangkai itu pula mengandungi seratus biji benih. Dan (ingatlah) Allah akan melipatgandakan pahala bagi sesiapa yang dikehendaki-Nya dan Allah amat luas (rahmat) kurnian-Nya, lagi meliputi ilmu pengetahuan-Nya.”
- (al-Baqarah:26)


ii) Syarat bersedekah adalah keikhlasan. Tidak kira wang ringgit atau sebagainya asalkan ia dapat memberi kesenangan terhadap orang yang memerlukannya kerana kesenangan (kekayaan) yang diberi oleh Allah kepada hamba-Nya merupakan satu perkongsian dan tanggungjawab terhadap sesama manusia di muka bumi ini.


iii) Sifat suka bersedekah lawannya adalah bakhil. Sifat bakhil dicetuskan oleh Allah kepada hamba-Nya yang lupa akan kewajipannya dan sangat cinta kepada harta kekayaannya.


iv) Oleh itu demi mencari keredhaan Allah kita hendaklah menggunakan waktu yang ada dengan beringat-ingat kepada yang susah dan memberi sedikit bantuan mengikut kemampuan. Sebenarnya di sebalik amalan bersedekah akan dapat mewujudkan perasaan kasih sayang sesama manusia dan sesungguhnya amalan yang baik akan dibalas baik oleh Allah S.W.T.

Tuesday, January 24, 2012

Berbuat Baik Kepada Anak Perempuan

Daripada Aisyah r.a.: "Barangsiapa yang diuji dengan sesuatu daripada anak-anak perempuannya lalu dia berbuat baik kepada mereka, maka mereka akan menjadi penghalang baginya daripada api neraka."

-Direkod oleh Bukhari (no: 1352) dan Muslim (no: 2629).

Sunday, December 25, 2011

Keberkatan Hari Khamis

Menurut sebuah hadis yang diriwayatkan oleh al-Zajaji dalam al-Amali, daripada Ali k.w.h., beliau berkata, maksudnya:

“Jika kamu mempunyai sesuatu urusan, bersegeralah melakukannya pada pagi hari Khamis kerana Nabi s.a.w. pernah berdoa memohon kepada Allah agar umatnya mendapat keberkatan pada awal hari Khamis.

– Ust. Hj. Zahazan

Thursday, October 13, 2011

Kumpulan Kebaikan

Hadith :

Daripada Abu Hurairah r.a, daripada Nabi SAW bersabda maksudnya: ”Sesiapa yang melepaskan sesuatu kesusahan seorang mukmin dari kesusahan-kesusahan dunia, Allah akan melepaskan darinya satu kesusahan dari kesusahan hari Akhirat; dan sesiapa melapangkan seorang yang berada di dalam kesempitan, Allah akan melapangkan untuknya di dunia dan di akhirat; dan sesiapa yang menutup keburukan saudaranya, maka Allah akan menutup keburukannya di dunia dan akhirat; dan Allah pasti menolong hamba-Nya selagi mana hambanya menolong saudaranya. Dan sesiapa mengikuti satu jalan untuk mencari ilmu, Allah akan memudahkan untuknya jalan ke syurga. Tidak berkumpul satu kaum di dalam rumah dari rumah-rumah Allah dan saling belajar dan mengajar antara satu sama lain melainkan turunlah ketenangan atas mereka, rahmat meliputi mereka, para malaikat mengerumuni mereka dan Allah akan menyebut (nama-nama) mereka di sisi-Nya. Dan sesiapa yang kurang amalannya, maka nasab (keturunannya) tidak akan dapat menyempurnakannya.”

- (Muslim)


Huraian:

Masyarakat Islam adalah seperti satu jasad yang setiap anggota akan merasai apa yang dirasai oleh orang lain malah mereka juga bersama-sama berkongsi kegembiraan. Maka antara yang menjadi kewajipan penting seorang Muslim ialah agar segera melepaskan kesempitan yang dialami oleh saudaranya. Dengan cara ini masyarakat yang sempurna dan tolong-menolong dapat diwujudkan.

Sebaliknya mencari-cari keburukan orang lain dan menyebarkannya pula adalah satu tanda kemunafikan kerana disebabkan perkara tersebut sesuatu kejahatan yang dilakukan itu boleh menjadi pemangkin kepada orang yang sepertinya agar lebih agresif dan liar dengan kejahatan hingga seluruh masyarakat menjadi rosak.

Sesungguhnya balasan Allah SWT kepada makhluk-Nya adalah dalam bentuk yang menyerupai amalan yang dilakukan itu.

Thursday, September 15, 2011

Tanggungan Hutang

Dari Abu Qatadah r.a. katanya: "Pada suatu ketika Rasulullah s.a.w. berdiri di hadapan para sahabat lalu bersabda: "Sesungguhnya Jihad fi sabilillah serta iman kepada Allah adalah amal yang paling utama." Maka berdiri seorang lelaki seraya bertanya, "Ya, Rasulullah! Bagaimana jika aku tewas dalam jihad fi sabilillah, hapuskah dosa-dosaku?".Jawab Rasulullah s.a.w,"Hapus, jika engkau tewas, sedangkan engkau seorang yang sabar dan ikhlas kerana Allah, engkau tewas kerana maju bertempur tidak kerana lari dari pertempuran,". Kemudian Rasulullah s.a.w. bertanya, "Apa tanyamu tadi?. Maka diulangnya pertanyaannya, "Bagaimana jika aku tewas dalam jihad fi sabilillah, hapuskah dosa-dosaku?" Jawab Rasulullah, "Ya, hapus, jika engkau seorang pejuang yang sabar, ikhlas kerana Allah semata-mata, tewas kerana maju bertempur, tidak kerana lari dari pertempuran. Kecuali yang tidak hapus ialah hutang. Begitulah kata Jibril kepada ku."

Hadis Sahih Muslim Jilid 4; Hadis Nombor 1841

Sunday, August 14, 2011

Disunatkan Berbuka Sebelum Mengerjakan Solat Maghrib


Hadith :

Dari Anas r.a ia berkata: “Telah bersabda Rasulullah s.a.w: “Apabila makan malam (berbuka) telah disediakan, maka mulailah makan sebelum solat maghrib, janganlah mendahului solat daripada makan malam itu (yang sudah terhidang).


Huraian:

1. Umat Islam hendaklah menyediakan juadah makan malam terutama untuk berbuka puasa dengan hidangan yang sederhana, dan juadah janganlah terlalu banyak sehingga mendatangkan pembaziran.

2. Apabila hidangan sudah disediakan untuk berbuka, maka kita adalah disunatkan makan terlebih dahulu sebelum menunaikan sembahyang fardhu Maghrib kerana dengan berbuka kita dapat menghilangkan rasa lapar dan dahaga, dan dapat menunaikan sembahyang dengan rasa bertenaga dan selesa.



Sunday, July 24, 2011

Bersifat Pemurah Dibulan Ramadhan

Hadith :

“Daripada Ibnu Abbas r.a. katanya, bahawa Rasulullah s.a.w. adalah seorang yang sangat pemurah kepada orang lain, lebih-lebih lagi pada bulan Ramadhan ketika baginda didatangi oleh Jibril a.s. Jibril datang berjumpa baginda pada setiap malam lalu mengajar al-Quran kepada Baginda. Sesungguhnya Baginda bersifat pemurah dengan bersegera melakukan kebaikan umpama angin yang bertiup kencang.”

- (al-Bukhari dan Muslim)


Huraian:

1. Ramadhan adalah kesempatan yang amat berharga untuk melipatgandakan amal kebaikan kerana salah satu hakikat ibadah puasa ialah sifatnya yang peribadi dan merupakan rahsia antara seorang manusia dengan Tuhannya.

2. Segala kelebihan yang ada pada bulan Ramadhan bukanlah bermakna bahawa seseorang itu hanya perlu menumpukan ibadatnya pada bulan Ramadhan sahaja. Tetapi hendaklah dijadikan sebagai satu perangsang memulakan satu titik perubahan ke arah yang lebih baik.

Sabda Rasulullah s.a.w. yang bermaksud :

"Sekiranya umatku mengetahui kebaikan yang ada di dalam Ramadhan nescaya mereka akan menginginkan agar sepanjang tahun itu adalah Ramadhan".

Tuesday, July 12, 2011

Menjauhi Perbuatan Yang Mendatangkan Bahaya

Hadith :

Rasulullah s.a.w bersabda: "Sesungguhnya syaitan ada baginya bisikan ke hati anak Adam, dan Malaikat juga ada bisikannya. Ada pun bisikan syaitan itu ialah galakannya supaya seseorang melakukan kejahatan dan mendustakan kebenaran, dan bisikan Malaikat pula ialah galakannya supaya seseorang mengamalkan kebaikan dan meyakini kebenarannya. Oleh itu, sesiapa yang terasa bisikan yang baik, maka hendaklah ia mengetahui bahawa perkara itu dari Allah, serta hendaklah ia bersyukur kepada Allah, dan sesiapa yang terasa bisikan yang satu lagi, maka hendaklah ia meminta perlindungan Allah dari angkara syaitan."

- Ibn Mas'ud r.a


Huraian:

i) Setiap manusia mempunyai lintasan hati yang berlainan kerana berlainan sebabnya.

ii) Satu daripada jenis lintasan itu adalah lintasan yang dibawa oleh malaikat yang bertugas memancarkan ke dalam hati manusia perasaan suka berbuat kebajikan dan menerima kebenaran; sementara satu lagi lintasan adalah lintasan syaitan iaitu lintasan untuk melakukan kejahatan dan menolak kebenaran.

iii) Lintasan malaikat ini dinamakan sebagai “ilham” dan lintasan jahat syaitan itu sebenarnya adalah “was-was” di mana kita diperintahkan memohon perlindungan Allah daripadanya - sebagaimana yang dimaksudkan di dalam al-Quran, Surah an-Nas.

iv) Oleh yang demikian selaku manusia biasa, apabila datang sesuatu lintasan hati, maka hendaklah kita mempertimbangkannya terlebih dahulu dengan neraca syarak; jika bersesuaian kerjakanlah, jika sebaliknya jauhkanlah.

Wednesday, June 29, 2011

Sumber Yang Haram

Hadith :

Dari Jabir bin Abdullah r.a katanya Rasulullah s.a.w bersabda: ”Jika engkau menjual buah-buahan (yang masih di pokok/kebun), lalu buah-buahan itu rosak dimakan hama, maka tidak halal bagimu menerima pembayaran kerana bererti engkau mengambil harta saudaramu tanpa hak.”

- (Muslim)


Huraian:

Mu'amalat adalah merujuk kepada segala urusan yang berkaitan dengan harta ( mal ).

Islam memperincikan pengurusan harta agar ia menepati kehendak sebenar dan menjamin hak setiap individu demi mengelak penindasan dan penipuan disamping membentuk jati diri seperti jujur, amanah, adil dan telus.

Sesungguhnya syariatlah yang memandu kita agar tidak tersasar dari sikap tamak, rakus dan haloba kerana tidak ada jaminan bahawa kita mampu mengawasi nafsu yang memang fitrahnya mencari dan mengejar keuntungan semata-mata.

Tuesday, June 21, 2011

Mengerjakan kewajipan

Hadith :

Rasulullah s.a.w bersabda yang bermaksud: ”Usaha yang halal adalah suatu yang fardhu selepas fardhu-fardhu yang lain.”

- Riwayat at-Tabrani dan al-Baihaqi


Huraian:

1. Minat untuk mempelajari sesuatu bidang kemahiran merupakan usaha yang terpuji kerana ia adalah daripada keharusan yang mesti diceburi bagi mendapatkan ilmu.

2. Agama Islam dengan prinsip-prinsipnya yang syumul dan syariat-syariatnya yang sempurna memandang mulia terhadap satu-satu pekerjaan dan memuliakan para pekerja serta usaha yang dikerjakan oleh seseorang untuk mendekatkan diri kepada Allah S.W.T .

3. Demikian pula Islam amat membenci orang yang malas dan suka membazirkan masa tanpa melakukan apa-apa pekerjaan (menganggur). Apalagi sekiranya ia menyalahgunakan konsep tawakkal dengan berserah bulat-bulat kepada takdir Allah tanpa berusaha sedikitpun serta hanya meminta rezeki dengan mengharapkan pertolongan orang lain (meminta sedekah). Sebaliknya seorang Muslim itu hendaklah berlumba-lumba untuk mengerjakan kebaikan dan jangan sekali-kali menjadi beban ke atas orang Islam yang lain.

4. Sesungguhnya amatlah rugi bagi seseorang yang kosong hidupnya (tidak bekerja) untuk dunia dan tidak juga beramal untuk akhirat.

Sunday, May 8, 2011

Ganjaran Istimewa Dari Amal Kebaikan

Hadith :

Nabi s.a.w bersabda: "Tidak ada satu hari yang terbit mataharinya melainkan ada di kiri kanan matahari itu: dua Malaikat yang menyerukan seruan yang didengari oleh semua makhluk Allah selain dari manusia dan jin, katanya: "Wahai sekalian manusia! Marilah kamu semua berusaha mengerjakan amal bakti kepada Tuhan kamu, kerana sesungguhnya pendapatan-pendapatan yang sedikit serta mencukupi keperluan hidup di dunia adalah lebih baik daripada pendapatan-pendapatan yang banyak serta melalaikan bekalan akhirat. Dan tidak masuk matahari melainkan ada di kiri kanannya dua Malaikat yang menyerukannya seruan yang didengarinya oleh semua makhluk Allah selain dari manusia dan jin, katanya: "Ya Tuhan kami! Berikanlah ganti yang berganda-ganda kepada orang yang mencurahkan nikmat-nikmat yang dikurniakan kepadanya pada jalan yang diredhai Allah, dan timpakanlah kerugian yang besar ke atas orang yang menahan nikmat-nikmat Allah itu daripada mengeluarkannya pada jalan yang dituntut oleh Allah."

- Abu ad-Dardaa' r.a


Huraian Pengajaran hadith:

i) Dalam menghadapi kehidupan dunia manusia mestilah berwaspada, jangan mudah terpedaya dengan perkara yang melalaikan diri daripada berusaha mengerjakan amal kebaikan lebih-lebih lagi perkara yang berhubung dengan harta benda dan cara membelanjakannya.

Ii) Dalam hadith ini Rasulullah s.a.w menyatakan bahawa pada tiap-tiap hari terdapat dua malaikat yang menyeru manusia supaya:

a) Mengerjakan apa yang disuruh dan meninggalkan apa yang dilarang untuk mencapai keredhaan Allah.

B) Mengambil ingatan bahawa pendapatan seharian yang diperoleh meskipun sedikit tapi mencukupi keperluan hidup di dunia yang meliputi harta benda dan nikmat-nikmat yang lain sebenarnya adalah lebih baik daripada pendapatan yang banyak tetapi melalaikan manusia itu daripada mengerjakan amal ibadat dan kebajikan sebagai bekal untuk mencapai kebahagiaan yang kekal di akhirat kelak.

iii) Sesungguhnya manusia yang membelanjakan harta benda, ilmu pengetahuan dan tenaganya di jalan Allah akan sentiasa didoakan oleh malaikat semoga Allah memberikan balasan yang berganda-ganda untuk dirinya. Sebaliknya bagi yang bakhil, didoakan agar ditimpa kerugian yang besar.

Monday, May 2, 2011

Hati Yang Selalu Muda

Hadith :

Dari Abu Hurairah r.a katanya, Nabi s.a.w bersabda: ”Hati seorang tua tetap muda dalam hal mencintai dua perkara iaitu dalam hal mencintai hidup dan harta benda.”

- (Muslim)


Huraian:

Kehidupan ini akan menjadi indah jika kita sentiasa bersemangat untuk meneruskan hayat. Dengan perkataan lain apabila semakin tua usia kita, jiwa kita semakin muda. Tetapi muda di sini bukanlah bermaksud menganggap kematian itu masih jauh sehingga tidak kenal erti taubat dan tidak habis-habis melakukan maksiat yang walaupun usia sudah lanjut, ’rumah kata pergi, kubur kata mari’, masih juga bergelumang dengan dosa. Hal yang demikian ini merupakan suatu yang amat merugikan.

Oleh sebab itu kita diminta untuk merebut 5 peluang sebelum tiba 5 rintangan iaitu: waktu kaya sebelum miskin,
waktu senang sebelum sibuk,
waktu sihat sebelum sakit,
waktu muda sebelum tua,
dan waktu hidup sebelum mati.

Maka sebagai insan yang percayakan kedatangan hari kiamat dan kematian itu akan datang pada bila-bila masa, tidak harus menanamkan kecintaan berlebihan terhadap dunia kerana esok sebenarnya bukanlah satu kenyataan. Bahkan kenyataannya adalah di saat-saat sekarang.

Oleh itu jalan yang paling selamat ialah dengan berpegang pada prinsip bahawa seseorang itu harus berusaha (bekerja) seolah-olah dia akan hidup selama-lamanya dan beribadat seolah-olah dia akan mati pada esok hari.”

Thursday, April 21, 2011

Tambahi pahala jauhi Dosa

Hadith :

Daripada Wabisah bin Makbud, Rasulullah s.a.w. bersabda yang bermaksud:
“Adakah engkau datang kerana hendak bertanya mengenai kebajikan? Aku menjawab ‘Ya’. Maka sabdanya lagi, 'Mintalah fatwa (pertimbangan) hatimu sendiri. Kebajikan itu ialah apa yang membawa ketenangan kepada jiwa dan ketenangan hati; dosa ialah perasaan bimbang dalam jiwa serta perasaan ragu-ragu didalam dada (hati) sekalipun orang ramai telah memberi fatwa kepadamu dan sekalipun kamu telah diberi fatwa oleh mereka'.”

- Riwayat Ahmad & ad-Darami


Huraian:

1. Setiap perbuatan kebaikan atau kebajikan yang dilakukan oleh seseorang itu akan menyebabkan jiwanya menjadi tenang.

2. Orang yang melakukan berbagai kesalahan dan dosa sentiasa berada didalam keadaan serba salah, curiga dan takut diketahui oleh manusia.

3. Amal soleh yang dilakukan oleh seseorang tetap mendapat pahala, manakala kejahatan, penipuan, kemungkaran, dan sebagainya yang dilakukan akan mengundang dosa, dan membawa keresahan jiwa walaupun orang telah memberikan fatwa kepadanya.

Saturday, April 16, 2011

Mentera Dibolehkan Asalkan Tidak Bercampur Syirik

Hadith :

Dari ‘Auf bin Malik al-Asyja’i r.a katanya: ”Kami biasa melakukan mantera pada masa jahiliyah. Lalu kami bertanya kepada Rasulullah s.a.w: ”Ya Rasulullah! Bagaimana pendapat anda tentang mentera?” Jawab baginda: ”Peragakanlah (bacalah) menteramu itu di hadapanku. Mentera tidak ada salahnya selama tidak mengandungi syirik.”

- (Muslim)


Huraian:

Definisi perubatan Islam adalah melaksanakan amalan perubatan berdasarkan paradigma, nilai dan tatacara yang tidak bercanggahan dengan al-Quran dan al-Sunnah.

Ramai di kalangan umat Islam terkeliru dengan istilah perubatan sehingga terjebak ke dalam dunia syirik. Islam telah memberikan panduan yang jelas bahawa semua ilmu perubatan yang mengandungi sihir (jampi mentera yang melanggar syariat), bercampur dengan amalan-amalan haram (bersemah – sembelihan korban sebagai jamu) dan amalan-amalan berdamping dengan makhluk halus yang diyakini berkuasa menentukan kesembuhan penyakit adalah syirik serta amat dilarang dalam Islam.

Islam meletakkan bahawa apa-apa perubatan sekalipun samada tradisional mahupun perubatan moden semuanya hendaklah bersandarkan kepada hukum bahawa Allah adalah Maha Berkuasa dalam menetapkan penyembuhan sesuatu penyakit.

Segala macam bahan yang digunakan dalam proses perawatan tidak kira samada menggunakan teknologi perubatan yang telah dipermodenkan mahupun secara terapi tradisional adalah sekadar alat semata-mata. Dalam perkataan lain, segala kaedah dan ubatan yang digunakan hanyalah sebagai ´al-asbab´ dan kita wajib percaya bahawa makhluk tidak berkuasa ke atas sesuatu melainkan segalanya terletak pada ketentuan dan keizinan Allah S.W.T jua.

Monday, April 11, 2011

Ukuran Iman Yang Sempurna

Hadith :
Rasulullah s.a.w bersabda yang maksudnya: ”Seseorang yang hendak berzina, tidak akan melakukan zina itu semasa ia berkeadaan sempurna imannya; dan seorang yang hendak minum arak, tidak akan minum arak tersebut semasa ia berkeadaan sempurna imannya; dan seorang yang hendak mencuri, tidak akan melakukan perbuatan itu semasa ia berkeadaan sempurna imannya; dan seorang yang hendak melakukan rompakan yang lazimnya menjadikan orang yang merompak itu memandang sahaja kepadanya, tidak akan merompak, semasa ia berkeadaan sempurna imannya.”

- Riwayat Bukhari dan Muslim


Huraian Pengajaran Hadis:

i) Orang yang tergamak melakukan perbuatan yang ditegah agama menandakan ketidaksempurnaan iman di jiwanya.

ii) Kebahagiaan hidup adalah bergantung pada pertalian keturunan yang baik, keselamatan akal dan fikiran serta harta-benda kerana keturunan yang terpelihara akan menjamin kesejahteraan keluarga dan masyarakat, akal yang sihat membolehkan seseorang itu membezakan antara yang baik dan buruk, hak dan batil serta keselamatan harta-benda itu pula membolehkan segala perancangan dilakukan dengan lancar dan sempurna.

iii) Oleh itu, Islam melarang keras daripada melakukan perbuatan zina yang boleh mencemarkan keturunan manusia, minum arak atau menagih dadah yang boleh merosakkan akal fikiran serta perbuatan mencuri yang menyebabkan kesusahan orang lain dan sebagainya.

iv) Sesungguhnya kekuatan iman itu dinilai pada sejauh mana seseorang itu dapat membendung hasutan nafsunya serta menjauhi bisikan-bisikan jahat yang menggodanya. Amat penting bagi setiap mukmin sentiasa menjaga pergaulannya agar tidak terpengaruh dengan gejala yang tidak sihat yang berlaku di sekitarnya.

Saturday, April 9, 2011

Dari Titik Peluh Sendiri

Hadith :

Dari Zubair bin Awwam r.a, dari Nabi s.a.w sabdanya: "Apabila kamu menyiapkan seutas tali, lalu pergi mencari kayu api, kemudian dibawanya seikat kayu di punggungnya lalu dijualnya dan Allah memberi kecukupan bagi keinginannya. tulah yang lebih baik baginya daripada ia meminta-minta kepada orang ramai, diberi ataupun tidak.”

- (al-Bukhari)


Huraian:

Orang yang berjaya ialah orang yang mampu menempuh berbagai rintangan dan cabaran dalam hidup.

Walau daripada mana ceruk asal seseorang itu, sekiranya dia rajin berusaha, maka kejayaan akan menjadi miliknya. Bukankah rezeki Allah S.W.T ada di mana-mana. Cuma yang bakal menentukan hanyalah ‘mahu’ atau ‘tidak’ kerana kemalasan akan menjunamkan seseorang itu ke lembah kehinaan.

Begitu juga dengan sikap malu, hendaknya biarlah bertempat. Kata orang malu bertanya sesat jalan, malu makan perut lapar dan malu dalam mencari rezeki, alamat hidup akan melarat.

Sesungguhnya Islam memandang mulia pada manusia yang bekerja membanting tulang empat kerat untuk mencari sesuap nasi atau rezeki yang halal, berbanding dengan mereka yang hidup meminta-minta daripada orang lain.