Showing posts with label solat. Show all posts
Showing posts with label solat. Show all posts

Thursday, March 29, 2012

Pertanyaan Berkenaan Solat Sunat Tahiyatul Masjid

Apakah solat sunat Tahiyatul Masjid?

~ Solat itu solat sunat 2 rakaat seperti solat sunat yang lainnya, hanya diniatkan sunat Tahiyatul Masjid. Dilakukan untuk menghormati masjid, bila masuk sahaja ke dalam masjid sebelum duduk.


Bagaimana jika masuk itu terus duduk, masih bolehkan melakukannya?

~ Jika duduk itu dengan sengaja, maka tiada lagi disunatkan solat itu.

~ Jika duduk itu dengan terlupa ada 2 keadaan. Terlupa yang sekejap kemudian ingat kembali, maka dibolehkan bangun dan terus solat. Jika terlupa yang panjang waktunya, kemudian teringat, tiadalah lagi dibolehkan bangun bersolat. Adapun bagi orang yang tidak dapat mengerjakan solat sunat Tahiyatul Masjid disebabkan dia telah duduk atau dia sekadar masuk sebentar untuk sesuatu keperluan, maka dianjurkan membaca: (Subhanallah Walhamdulillah Walailahailallah Wallahu Akbar) sebanyak 4 kali.


Jika masuk ke dalam masjid dan didapati azan sudah berkumandang, bagaimana?

Bila azan sudah berkumandang, maka berdiri menjawab azan tersebut, kemudian melakukan solat sunat Rawatib. Solat sunat Rawatib itu dikira sudah memadai sebagai memenuhi tuntutan solat sunat Tahiyatul Masjid.


Jika masuk ke dalam masjid dan didapati jemaah solat sudah didirikan, bagaimana?

Tiada perlu lagi solat sunat Tahiyatul Masjid atau solat sunat yang lainnya. Jika didirikan, jadi makruh. Terus sahaja mengikut jemaah tersebut untuk solat fardhu. Ia sudah dikira memadai memenuhi tuntutan solat sunat Tahiyatul Masjid.


Apakah bacaannya yang mengiringi surah Al-Fatihah?

Dibaca apa-apa surah yang ringan dan kebiasaan yang dilakukan adalah pada rakaat pertama, surah Al-Kafirun, dan rakaat kedua, surah Al-Ikhlas.


Bolehkah dilakukan solat sunat tahiyatul masjid ini di tempat lain daripada masjid?

Tiadalah dibolehkan yang demikian seperti surau atau musolla (bilik solat). Hanya yang dituntut untuk solat tersebut adalah pada bangunan yang dibina khusus sebagai masjid.


Dipetik dari:
http://fekah.blogspot.com

Tuesday, March 13, 2012

Melantangkan Bacaan Dalam Solat

Adakah dibolehkan seseorang yang solat sendirian melantangkan bacaan solat seolah-olah ada makmum di belakang, semata-mata ingin khusyuk dalam solat?


Jawapan:

Seandainya melantangkan suara pada solat Maghrib, Isyak dan Subuh, maka hukumnya adalah sunat, bahkan makruh sekiranya dibaca secara sir (senyap) walaupun solat berseorangan.

Sebaliknya menguatkan suara sewaktu mengerjakan solat Zuhur dan Asar, walaupun bertujuan untuk khusyuk, hukumnya tetap makruh kerana sunnah ketika itu adalah membaca secara sir (senyap).



Ustaz Syed Mohd Fadzli al-Yamani
Majalah Solusi

Wednesday, February 15, 2012

Berdehem Ketika Solat

Apakah hukum berdehem ketika solat?


Jawapan:

Menurut pandangan mazhab Imam Syafi’i adalah dimaafkan dengan sedikit berdehem, ini jika tidak mampu mengelaknya kerana sakit yang dialami. Yang penting perbuatan itu tidak merosakkan solat kerana banyaknya.

Jika seseorang itu uzur daripada melakukan sebutan pada rukun qauliyah daripada rukun solat, seperti membaca al-Fatihah, maka dia berdehem walaupun banyak untuk tujuan bacaan, tidaklah mengapa.

Berdehem di dalam solat juga, jika kerana hajat atau uzur, maka tidak batal solat. Ini termasuklah berdehem untuk membaikkan suara dalam solat.

Berdehem juga tidak membatalkan solat, jika sudah menjadi tabiat kebiasaan yang tidak dapat diatasi olehnya.

Manakala berdehem dengan sengaja di dalam solat, tanpa uzur atau tanpa hajat, maka batallah solat itu. Apatah lagi berdehem bagi tujuan menegur atau memerli seseorang kerana ia dianggap bercakap.

Begitu juga bagi mereka yang berasa sukar dalam menyebut ayat semasa bacaan sunat, maka berdehem secara banyak tidak dimaafkan untuknya.


Credit to: Ustaz Fadzli Al Yamani
Di petik dari Majalah Solusi

Saturday, January 14, 2012

Pandangan Mata Dalam Solat

Hadis:
"Allah akan sentiasa memandang hamba Allah yang bersolat selagi hamba itu tidak berpaling pandangannya".

Apa yang difahami, jika seorang itu bersolat maka dia akan sentiasa mendapat pandangan Allah selagi mana dia menghadap ke kiblat. Iaitu, wajahnya hendaklah dihadapkan ke kiblat dan di waktu yang sama matanya terbuka menghalakan pandangan ke tempat sujud yakni tempat dia meletakkan dahinya sewaktu sujud. Pandangan sebegitu hendaklah dikekalkan daripada bermula takbiratulihram sehingga selesai tahiyat akhir, sebelum salam. Termasuk mengekalkannya itu adalah sewaktu rukuk dan sujud. Khusus dalam tahiyyat, sewaktu mengangkat telunjuk jari kanan, sunat seketika itu untuk memandang kepada jari tersebut.

Makruh, jika seseorang menutup mata di dalam solat tanpa sebab. Kecuali dia mempunyai sebab tersendiri seperti didapatinya tempat sujudnya dialas dengan sejadah yang bergambar dan gambar tersebut boleh mengganggu solatnya. Maka dibolehkan untuk memejamkan matanya jika itu dapat membantu dia menumpukan solatnya. Sebaiknya bagi seseorang yang solat, alas tempat sujudnya adalah kain putih atau sejadah yang bebas daripada gambar.

Sunat bagi orang yang solat berjemaah sentiasa memastikan safnya lurus dengan matanya memerhatikan susunan saf sewaktu bangun berdiri untuk rakaat seterusnya. Di waktu ini, seseorang itu hendaklah melihat kakinya dan dirapatkan kembali jika tidak rapat dan diluruskan kembali jika tidak lurus. Rapat diukur mengikut bertemunya jari kelingking kaki seorang dengan seorang yang lain. Lurus diukur mengikut selarinya tumit seorang dengan seorang yang lain. Kemudian daripada itu, hendaklah dihalakan kembali pandangan matanya ke tempat sujud.


http://fekah.blogspot.com

Thursday, January 5, 2012

Sembahyang Dengan Telekong Berwarna

Bolehkah saya mengenakan telekong berwarna selain warna putih?


Jawapan:

Tidak ada salahnya jika menggunakan telekong yang berwarna selain dari warna putih. Ini kerana syarat sah sembahyang ialah menutup aurat. Maka sebarang pakaian yang boleh menutup aurat dengan baik dan sempurna adalah dibolehkan untuk kita menggunakannya.


Credit to:
al-jawhar
Panel Feqh

Monday, December 12, 2011

MELAKUKAN SOLAT QADHA SELEPAS SOLAT ASAR

Soalan:

Saya ada sedikit kemusykilan tetang menggantikan ibadah solat (qada) yang tertinggal. Jika saya tertinggal menunaikan solat Asar kerana sebab tertentu, bolehkan saya menggantikan solat tersebut setelah selesai menunaikan Solat Fardu Asar atau saya perlu menggantikannya pada waktu solat yang lain seperti Maghrib atau Isyak kerana saya pernah terbaca di dalam kitab bahawa setelah menunaikan Solat Subuh dan Solat Asar tidak dibenarkan menunaikan sebarang solat lain (waktu haram bersolat ). Terima kasih.


Jawapan:

Solat yang dilarang untuk dikerjakan selepas kita mengerjakan solat Subuh dan solat Asar ialah solat-solat yang tidak bersebab.

Adapun solat-solat bersebab, diharuskan kita mengerjakannya pada bila-bila masa termasuk pada waktu dilarang solat. Di antara solat bersebab ialah solat Qadha (yakni solat ganti kepada solat fardhu atau solat sunat yang luput waktunya). Jadi (merujuk kepada soalan saudara), adalah harus selepas saudara menunaikan solat Asar, selepas itu saudara mengerjakan pula solat qadha asar atau solat-solat lain yang tertinggal.

Menyegerakan solat fardhu yang tertinggal adalah amat dituntut.

Wallahu a'lam.


Posted by USTAZ AHMAD ADNAN FADZIL
http://ilmudanulamak.blogspot.com/

Sunday, August 14, 2011

Berdoa Ketika Sujud


Mengenai doa dalam solat, sujud rakaat keberapakah doa itu di minta, adakah yang awal atau yang akhir dan bolehkah doa itu ditutur dalam bahasa Melayu?

JAWAPAN:

Mengenai doa di dalam sujud, terdapat hadis di mana Nabi bersabda; "Saat paling hampir seorang hamba dengan Allah ialah ketika dia sujud. Maka banyaklah berdoa ketika sujud"
- (HR Imam Muslim, Abu Daud dan an-Nasai dari Abu Hurairah).

Oleh kerana Nabi s.a.w. menyebutkan sujud di dalam hadis di atas secara umum (tanpa menghadkan pada mana-mana sujud), maka galakan membaca doa ketika sujud itu merangkumi semua sujud di dalam solat.

Ketika sujud itu harus berdoa dengan apa sahaja doa asalkan yang dipohon adalah perkara yang tidak dilarang oleh Syarak.

Jika doa itu dalam bahasa Arab, harus ia dilafazkan oleh lidah sekalipun doa itu bukan yang maksur (yakni bukan dari al-Quran atau hadis Nabi). Cuma hendaklah lafaz itu diperlahankan kerana bacaan ketika sujud tidak sunat dikuatkan.

Adapun dalam bahasa lain tidak harus dilafazkan oleh lidah. Memadai dengan berdoa di dalam hati sahaja kerana bahasa yang diharuskan di dalam solat hanyalah bahasa Arab sahaja.


Posted by USTAZ AHMAD ADNAN FADZIL
http://ilmudanulamak.blogspot.com/

Saturday, August 6, 2011

AMALAN SOLAT SUNAT MALAM

1.Solat Sunat Taubat

Niatnya :
Sahaja aku solat sunat taubat 2 rakaat kerana ALLAH Taala.

Rakaat pertama selepas Al-Fatihah baca surah Al-Kafirun.
Rakaat kedua selepas Al-Fatihah baca surah Al-Ikhlas.
Selepas sembahyang, doa memohon ampun kepada ALLAH.


2.Solat Sunat Tahajjud


Niatnya :
Sahaja aku solat sunat tahajjud 2 rakaat kerana ALLAH Taala.

Rakaat pertama selepas Al-Fatihah baca surah Al-Kafirun.
Rakaat kedua selepas Al-Fatihah baca surah Al-Ikhlas.
Selepas sembahyang, berdoalah kepada ALLAH.


3.Solat Sunat Hajat

Niatnya :
Sahaja aku solat sunat hajat 2 rakaat kerana ALLAH Taala.

Selepas Al-Fatihah rakaat pertama baca ayatul Kursi 1 kali.
Selepas Al-Fatihah rakaat kedua baca surah Al-Ikhlas 11 kali.
Ketika sujud terakhir baca 11 kali -

Surah Anbiya; Ayat 87
"Laillahailla anta subhanakainni kuntu minaz zolimin"
dan sertakan di dalam hati segala hajat kita.


4.Solat Sunat Witir

Jika dilakukan 3 rakaat, solat sunat witir itu dilakukan dengan 2 salam. Maksudnya mula-mula 2 rakaat, kemudian 1 rakaat pula.

Pada solat pertama yang 2 rakaat itu, selepas Fatihah rakaat pertamanya, baca *surah Al-A’la (Sabihismarabikkalazi) dan selepas al-Fatihah rakaat kedua, baca Surah Al-Kafirun. (Nota*: Jika tidak menghafal, sunat membaca apa sahaja surah selepas Al-Fatihah tetapi keutamaannya membaca surah Al-A'la.)

Untuk solat kedua yang 1 rakaat, dibaca selepas Fatihah, baca surah bermula dengan Al-Ikhlas, diikuti dengan Al-Falaq dan An-Nas.

Tentang lafaz niat itu boleh dirujuk pada mana-mana buku. Jika kesukaran boleh lafaz dalam bahasa melayu sahaja, kerana lafaz niat itu adalah untuk membantu niat di dalam hati. Yang wajibnya itu adalah dalam hati. Ringkasnya seperti berikut:

Niatnya :
Sahaja aku solat sunat witir 2 rakaat kerana ALLAH Taala.

Selepas salam, bangun lagi dan solat witir 1 rakaat.

Niatnya:
Sahaja aku solat sunat witir 1 rakaat kerana Allah.

Perbanyakkan berdoa kepada ALLAH dengan penuh rasa kehambaan, rendah diri, mohon agar ALLAH ampunkan dosa-dosa kita, terima taubat kita dan amalan kita, serta memperkenankan doa dan permintaan kita.

Saturday, June 4, 2011

Liquid Paper Menghalang Air

Apakah hukumnya jikalau seseorang itu mendapati di tangannya ada kesan “liquid paper” (correction liquid) setelah selesai dia menunaikan solat? Adakah bergantung kepada jumlahnya? Atau sememangnya dia perlu menunaikan solatnya semula?

Jawapan:

Dalam urusan berwudhu', kita mesti memastikan bahawa air mengenai setiap tempat/kawasan yang wajib.

Sekiranya tidak rata, maka tidak sah.

Maka kalau diyakini liquid paper itu tidak menyebabkan anggota wudhuk kena air sembahyang, maka hendaklah diulangi solat anda.


Dipetik dari laman soal-jawab "al-ahkam.net"

Thursday, March 24, 2011

Puasa Dan Solat Bagi Individu Down Syndrome

Antara syarat wajib solat dan puasa ialah Mukallaf.

Maksud Mukallaf ialah:

Seseorang itu memiliki sifat-sifat yang menjadikannya mampu untuk menerima arahan Syarak (Allah dan Rasul) iaitu -

1. Berakal sempurna; yakni mampu membezakan antara baik dan buruk, dosa dan pahala, antara satu ibadah dengan satu ibadah yang lain.

2. Sampai umur (yakni telah baligh).

3. Sempurna pancainderanya; khusus yang berkaitan dengan penerimaan ilmu iaitu; mata dan telinga. Jika seseorang itu buta mata dan pekak telinganya (yakni rosak kedua-dua sekali), gugur kewajipan Syariat kerana ia tidak mempunyai alat untuk menerima arahan Syarak.

Oleh kerana individu Down Syndrome tidak mempunyai sifat pertama di atas (berakal sempurna), tidak wajiblah atasnya solat dan puasa.

Berdasarkan kajian, kebanyakan individu dengan Down Syndrome mempunyai kecacatan akal sekitar rendah (IQ 50–70) kepada sederhana (IQ 35–50).
- (http://ms.wikipedia.org/wiki/Sindrom_Down).


Peringkat kecerdasan yang wujud: -

1. Melebihi 140: Kecerdasan genius – sifat mutlak untuk aktiviti kreatif, menentukan arah pembelajaran bagi orang lain (0.2%)

2. hingga 140 Kecerdasan unggul luar biasa – sifat luar biasa untuk aktiviti kreatif, pengurus atau pakar yang baik (2.8%)

3. hingga 130 Kecerdasan amat tinggi berbanding biasa – menamatkan pembelajaran tahap universiti dengan mudah, mampu mencapai hasil yang baik dalam aktiviti kreatif atau pengurusan (6%)

4. hingga 120 Kecerdasan lebih tinggi berbanding biasa – menamatkan pembelajaran di universiti, mempunyai etika kerja yang baik, mampu mendapat kerja yang baik(12%)

5. hingga 110 kecerdasan biasa tinggi – menamatkan pembelajaran di universiti dengan sedikit kesukaran. Dengan kecekalan dan kerja keras, seseorang pada peringkat ini mampu mencapai klasifikasi sosial pada kategori berikutnya (25%)

6. hingga 100 Kecerdasan biasa – mampu lulus peperiksaan untuk berijazah, bekerja pada kedudukan pertengahan (25%)

7. hingga 90 Kecerdasan di bawah tahap biasa – mampu menamatkan pendidikan asas dan sesuai bekerja dalam bidang kerja manual(10%)

8. hingga 80 Kecerdasan sempadan rendah – menamatkan pendidikan asas dengan kesukaran, mampu berjaya dalam kelas khas(10%)

9. hingga 70 Bodoh, kecerdasan rendah – jika dibimbing dengan betul, mampu menamatkan sekolah khas(6.8%)

10. hingga 50 Tolol, kecerdasan rendah aras sederhana – tidak dapat diajar, namun mempunyai tabiat harian sendiri untuk meneruskan hidup (2%)

11. hingga 20 Tongong, kecerdasan amat rendah – tidak dapat diajar dan dilatih(0.2%).
-((http://www.iq-test.my/faq/)


Wallahu a'lam.
Posted by USTAZ AHMAD ADNAN FADZIL
http://ilmudanulamak.blogspot.com/

Tuesday, February 15, 2011

Kedudukan Orang Islam Di Dalam Neraka

Soalan:

Kita tahu orang kafir akan kekal diazab di dalam neraka selama-lamanya. Tetapi bagaimana pula dengan orang Islam? Benarkan hanya orang Islam yang syirik kepada Allah sahaja akan kekal di dalam neraka selama-lamanya? Bagaimana pula orang Islam yang meninggalkan solat fardhu lima waktu? Masih ada imankah orang meninggalkan solat fardhu lima waktu? Adakah orang yang meninggalkan solat fardhu lima waktu ini tidak akan dimasukkan ke dalam syurga buat selama-lamanya?

Jawapan:

Orang Islam yang beriman itu tidak akan kekal selama-lamanya diseksa di dalam neraka, malah mereka itu akan dikeluarkan dari api negara selepas mereka diseksa dan diazab di dalam neraka itu mengikut kadar dosa yang telah dilakukan di dunia ini seperti meninggalkan solat, mendedahkan aurat dsb. demikian juga hukuman yang setimpal akan dikenakan kepada mereka.

Orang Islam yang beriman tetapi melakukan maksiat (kederhakaan) kepada Allah Ta'ala kerana lalai atau sengaja seperti meninggalkan solat fardhu lima waktu, berjudi, mendedahkan aurat, tidak mengeluarkan zakat dan sebagainya adalah merupakan orang yang fasik. Sekiranya mereka meninggal dunia tanpa sempat bertaubat dengan taubat nasuha, maka mereka akan diazab di dalam neraka dengan seksaan yang amat pedih dan dahsyat setimpal dengan dosa mereka.

Tetapi, sekiranya seseorang itu meninggalkan solat fardhu atau tidak melaksanakan kewajiban serta melakukan perkara yang dilarang kerana mengingkari (menidakkan) hukum yang jelas dalam al-Qur'an atau as-Sunnah, maka ia boleh menyebabkan seseorang itu kufur, terbatal atau terkeluar dari Islamnya (na'uzubillah).

Golongan ini jika mati tanpa sempat bertaubat dan kembali kepada Islam, maka mereka adalah sama seperti orang kafir yang menjadi penghuni tetap neraka untuk diazab buat selama-lamanya.

Wallahu Tabaraka Wata'ala a'lam.

Koleksi kemusykilan agama yang telah dijawab oleh Mufti Melaka.
http://alhuda.mmu.edu.my/jawapan/baca.php?id=232

Friday, February 4, 2011

GANTI SOLAT ORANG MATI

Soalan:

Lima hari sebelum ibu saya meninggal, disebabkan sakit, ibu saya tidak mengerjakan solat lima waktu. Persoalan saya ada orang mengatakan yang sembahyang yang tertinggal tersebut perlu digantikan oleh anaknya. Benarkah pendapat ini?

JAWAPAN:

Ulama berbeza pendapat dalam masalah ini. Namun pendapat paling tepat dalam hal ini adalah solat fardhu yang tidak dikerjakan bagi mereka yang telah meninggal dunia sama sekali tidak boleh digantikan oleh orang lain samada melalui pengqadaan solat oleh warisnya, mengupah orang lain untuk mengerjakan solat yang tertinggal tersebut ataupun memberikan makanan kepada orang miskin untuk setiap hari solat yang tertinggal.

Dalil yang membelakangi pendapat ini adalah firman ALLAH S.W.T:
"Dan bahawa sesungguhnya tidak ada (balasan) bagi seseorang melainkan (balasan) apa yang diusahakannya."
– al-Najm: 39.

Solat merupakan ibadah yang termasuk fardhu ‘Ain yang diwajibkan ke atas setiap umat Islam dan perlaksanaannya tidak boleh digantikan oleh orang lain.


Al-Imam al-Syafi’i r.h pernah berkata:
"Tidak pernah terdapat di dalam kitab mahupun sunnah, solat yang ditinggalkan oleh seseorang boleh dilakukan oleh seseorang yang lain. Setiap amalan yang dilakukan seseorang adalah untuk dirinya sendiri. Begitu jugalah solat. Ia merupakan amalan yang dilakukan sendiri oleh seseorang dan tidak boleh dilakukan oleh orang lain untuknya."
– Abu ‘Abdillah Muhammad bin Idris Asy-Syafi’i, Ikhtilaf al-Hadith, jilid 8, ms. 672. Dinukil dari buku Fiqh Perbandingan: Isu-Isu Fiqh Terpilih karya Dr. Basri bin Ibrahim, Al-Hidayah Publisher, Kuala Lumpur, 2007, ms. 383.


Imam al-Nawawi r.h pula berkata:
"Tidak boleh ditunaikan solat mahupun memberi makan untuk orang yang telah mati yang mempunyai solat yang belum ditunaikan semasa hayatnya."
– Imam al-Nawawi, Majmu’ Syarah Muhazzab, jilid 6, ms. 430. Dinukil dari buku Fiqh Perbandingan : Isu-Isu Fiqh Terpilih karya Dr. Basri bin Ibrahim, Al-Hidayah Publisher, Kuala Lumpur, 2007, ms. 401.


Sebenarnya ibadah solat itu wajib dikerjakan bagi orang yang sakit selagi mana akalnya masih waras. Sekiranya dia tidak mampu untuk mengerjakan solat secara berdiri, maka lakukanlahnya secara duduk. Sekirnya tidak mampu, maka dirikanlah solat secara baring.

Hanya tiga golongan yang dibenarkan untuk menangguh perlaksanaan solat sebagaimana sabda baginda:
"Diangkat kalam (catatan) daripada tiga golongan: Orang yang tidur sehingga dia bangun, kanak-kanak sehingga dia bermimpi (baligh) dan orang gila sehingga dia sedar."
- Hadis riwayat Imam al-Tirmizi dalam Sunannya no: 1343.


Oleh itu hendaklah saudara memperbanyakkan doa agar ALLAH mengampunkan dosa ibu saudara tersebut.


Sabda Rasulullah s.a.w:
“Apabila manusia telah meninggal dunia, maka terputuslah amal usahanya kecuali tiga hal iaitu sedekah jariah, ilmu yang dimanfaatkan dan anak soleh (lelaki atau perempuan) yang berdoa untuknya.”
– Hadis riwayat Imam al-Tirmidzi di dalam Sunannya no: 1297.


Mungkin dia telah tersalah anggap bahawa bagi mereka yang sakit dibenarkan untuk mengqadak solat setelah dia sihat nanti. Hanya sahaja pendapat yang lebih tepat adalah tidak ada qadak bagi solat fardhu melainkan mereka yang tertidur apabila terjaga ataupun mereka yang hilang akal apabila telah sedar.


Syeikh Muhammad bin Soleh al-‘Uthaimin r.h berkata:
"Pendapat paling kuat menurutku adalah sebagaimana yang dipilih oleh Syeikh al-Islam Ibn Taimiyah r.h bahawa sesiapa yang sengaja meninggalkan solat sehingga habis waktunya, mengqadanya tidaklah bermanfaat. Ini kerana, sesuatu ibadah tertakluk dengan waktu tertentu harus dikerjakan tepat pada waktu yang ditentukan. Maka sebagaimana ibadah itu tidak sah dikerjakan sebelum waktunya, ia juga tidak sah dikerjakan setelah habis waktunya. Kerana batasan yang telah ditentukan oleh ALLAH hendaklah diperhatikan."
– Rujuk buku Syeikh Muhammad bin Soleh al-‘Uthaimin, Majmu’ Fatawa Solusi Problematika Umat Islam Seputar Aqidah dan Ibadah : Bab Ibadah, Pustaka Arafah, Solo, 2002, ms. 322.


Tambah beliau lagi:
“Tetapi, orang yang meninggalkan solat itu hendaklah bertaubat sebanyak mungkin dan beristighfar (memohon ampun kepada ALLAH) serta memperbanyakkan amalan soleh.”
- Syeikh Muhammad bin Soleh al-‘Uthaimin, Majmu’ Fatawa, bab: Ibadah, ms. 328.


Malah, ALLAH sendiri menegaskan bahawa golongan yang lalai dan sengaja meninggalkan solat ini akan dihumban ke neraka melainkan setelah mereka bertaubat dan memperbanyakkan amal soleh.


Firman ALLAH S.W.T:
"Kemudian mereka digantikan oleh keturunan-keturunan yang mencuaikan sembahyang serta menurut hawa nafsu (dengan melakukan maksiat); maka mereka akan menghadapi azab (dalam neraka), kecuali orang-orang yang bertaubat dan beriman serta beramal soleh, maka mereka itu akan masuk Syurga, dan mereka pula tidak dikurangkan pahala sedikitpun."
- Maryam: 59-60.


Wallahu a'lam.

Ustaz Mohd Yaakub

Friday, January 14, 2011

Jamak Solat Ketika Sakit

Adakah dibolehkan bagi orang yang sakit jamak solat fardhu?

Jawapan:

Dalam hadis yang diriwayatkan Imam Muslim, Ibn ‘Abbas menyebut: “Rasulullah s.a.w. solat jamak Zohor dan Asar, Maghrib dan Isyak di Madinah tidak kerana ketakutan, juga tidak kerana musafir.” Ditanya Ibn ‘Abbas mengapa Baginda melakukan demikian? Jawabnya: “Kerana tidak mahu menyusahkan umatnya.” Dalam riwayat yang lain daripada Muslim juga disebut: “Baginda jamakkan solat tidak disebabkan ketakutan atau hujan.”

Hadis-hadis seperti di atas memberi kesimpulan kepada para fuqaha tentang solat jamak boleh dilakukan disebabkan keuzuran-keuzuran tertentu, seperti sakit di tahap kritikal dan sukar untuk bergerak dan berwuduk, malahan diharuskan bertayamum. Justeru bolehlah dia menjamakkan solatnya tanpa qasar.

Ustaz Syed Mohd Fadzli al-Yamani
Majalah Solusi

Thursday, October 21, 2010

Beza Bermukim dan Bermastautin

Apakah beza bermukim dan bermastautin hingga mengharuskan jamak dan qasar solat ketika bermusafir dan yang menentukan wajib atau tidak solat Jumaat bagi lelaki?

Jawapan:

BERMUKIM: ialah orang yang tinggal di satu-satu tempat lebih daripada 3 hari. Dia tidak berniat untuk kekal selama-lamanya di situ.

BERMASTAUTIN: ialah orang yang tinggal di satu-satu tempat dan tidak ada niat untuk berpindah ke tempat lain walaupun dia lahir di tempat lain.

Orang yang bermukim diwajibkan solat Jumaat tetapi tidak dikira dalam 40 orang yang menjadi syarat sah bilangan solat Jumaat. Sebaliknya, orang yang bermastautin yang wajib dan dikira dalam 40 orang bilangan solat Jumaat.


Ustaz Syed Mohd Fadzli al-Yamani
Majalah Solusi

Wednesday, September 22, 2010

Sering Solat Di Akhir Waktu

Soalan:

Adakah berdosa saya sering tidak dapat menunaikan solat pada awal waktu kerana mempunyai anak kecil?

Jawapan:

Menunaikan solat di akhir waktu tidak berdosa. Tetapi sebaiknya hendaklah berusaha solat di awal waktu. Lagipun amat dikhuatiri sekiranya dilengah-lengahkan solat sehingga tiba-tiba datangnya keuzuran (haid) menyebabkan puan tidak boleh solat, maka puan telah berdosa kerana alasan menjaga anak tidak boleh sama sekali menggugurkan tuntutan wajib solat.

Untuk mengelak perkara ini berlaku, maka dianjurkan semua wanita hendaklah menunaikan solat di awal waktu tanpa melengahkannya.


Author: Ustaz Syed Mohd Fadzli Al Yamani
Dipetik dari Majalah Solusi

Tuesday, July 27, 2010

Imam Mempunyai Masalah Hadas Kecil

Soalan:

Apakah sah lelaki itu menjadi imam jika dia mempunyai masalah hadas kecil? (Maknanya dia sudah habis membuang air kecil lalu berdehem dan bila dia keluar tandas terasa ada sedikit basah pada seluar dalamnya tetapi ini berlaku pada awalnya sahaja dan lepas itu tiada lagi dan si lelaki itu berusaha dengan mengalas seluar dalamnya dengan tissue atau sebagainya untuk hadas kecilnya supaya tidak terkena kain atau seluar dalamnya)

Jawapan:

Seorang lelaki berpenyakit kencing tak lawas di mana keluar sedikit air kencing tanpa dapat dikawal walaupun telah usaha mengawalnya adalah dimaafkan hadasnya.

Oleh itu, sembahyangnya sah dan boleh menjadi imam kepada makmum yang sihat.

Wallahu a'alam.


Koleksi kemusykilan agama yang telah dijawab oleh Mufti Melaka.
http://alhuda.mmu.edu.my/jawapan/baca.php?id=242

Thursday, July 15, 2010

Berdoa Selepas Wuduk; Membaca Surah Selepas Fatihah

Apakah hukum tidak membaca doa selepas berwuduk dan juga tidak membaca surah selepas membaca al-Fatihah di dalam solat?


Berdoa selepas berwuduk bukan termasuk syarat sah tetapi ia termasuk sunah Rasulullah s.a.w. Menuruti sunah bermakna kita telah menghimpunkan banyak kebaikan untuk menghadapi hari akhirat kelak.

Menurut Umar bin al-Khattab r.a, Rasulullah s.a.w telah bersabda: “Sesiapa berwuduk dan memperbaguskan cara berwuduk kemudian membaca doa: "Asyhadu alla ilaaha illallah wahdahu la syarikalah wa asyhadu anna muhammadan abduhu wa rasuluh. Allahummaj’alni minat tawwabin waj’alni minal mutatohhiriin," dibuka kelapan-lapan pintu syurga dan dia kelak dibenarkan masuk dari mana-mana pintu yang dikehendaki.”
– Hadis riwayat Muslim.

Begitu juga perbuatan membaca surah selepas al-Fatihah. Ia termasuk sunah tetapi solat tetap sah tanpa membacanya. Mengikuti sunah lebih afdal berbanding meninggalkannya.

Sedangkan Rasulullah s.a.w sendiri tidak pernah meninggalkannya dan memerintahkan kita agar menunaikan solat seperti apa yang disifatkan oleh baginda: “Kamu semua hendaklah mengerjakan solat seperti apa yang kamu telah melihat aku kerjakannya.”
– Hadis riwayat al-Bukhari.

Wallahu a'lam.

Ustaz Mohd Noor

Thursday, July 1, 2010

Solat Tanpa Telekung

Soalan:

Saya lihat sekarang ada orang perempuan yang solat tanpa pakai telekung. Dengan memakai tudung biasa, baju labuh dan seluar, tetapi saya lihat dia memakai stoking. Bolehkah demikian?

Jawapan:

Yang penting dalam syarat sah solat ialah menutup aurat. Kaki aurat, seluruh badan aurat kecuali muka dan tapak tangan. Jika seseorang itu menutup auratnya tidak kira dengan apa sekalipun, maka solatnya dikira sah walaupun dia tidak memakai telekung.

Ustaz Fadzli Al-Yamani
Dipetik dari Majalah Solusi

Saturday, June 26, 2010

Berdoa Dalam Bahasa Melayu Dalam Solat

Soalan:

Ketika solat jenazah, seseorang itu membaca surah Al-Fatihah selepas takbir pertama dan berselawat selepas takbir kedua. Tetapi selepas takbir ketiga dan keempat, dia berdoa dalam bahasa Melayu kerana tidak hafal doa dalam bahasa Arab. Sahkah solat jenazah itu?

Jawapan:

Tidak sah solat jenazah tersebut kerana pada takbir yang ketiga, sekurang-kurangnya dia perlu berdoa. Berdoa dalam solat mesti dalam bahasa Arab seperti yang ditetapkan syarak.

Dan sebenarnya kalau pun dia tidak boleh hafal doa (dalam bahasa Arab penuh seperti yang biasa kerana mungkin panjang) tetapi yang dikehendaki ialah satu doa yang sangat ringkas. Sekurang-kurangnya perlu dibaca “ALLAHUMMA FIGHLAHU WAR HAMHU” atau “ALLAH HUMMA FIGHLAHU” (yang bermaksud: Ya Allah, ampunilah dia – si mayat ini) sudah memadai. Dalam bahasa Arab, baru sah. Kalau dalam bahasa selain bahasa Arab, tidak sah.

Uztaz Fadzli Al-Yamani
Mudir Maahad Tahfiz Al-Yamani, Kg Baru, KL

Wednesday, June 9, 2010

KHUSYUK SOLAT

Soalan:

Bagaimana cara untuk khusyuk dalam solat? Bagaimana kita ingin tahu bahawa solat diterima oleh ALLAH?

Jawapan:

Khusyuk bukan bermakna memejam mata sambil membaca ayat-ayat al-Quran. Semua itu terkeluar dari maksud asal khusyuk.

Ibn al-Qayyim r.h menyatakan bahawa Nabi s.a.w tidak pernah memejam matanya ketika solat. Ibn Qudamah r.h pernah berkata: “Imam Ahmad bin Hanbal berkata: Khusyuk ketika solat ialah menumpukan pandangan ke tempat sujud. Perkara ini telah diriwayatkan oleh Muslim bin Yassar dan Qatadah.”
- Rujuk Kitab al-Mughni, jil. 1, ms. 370.

Dalam erti-kata lain, khusyuk ialah melakukan solat seperti apa yang telah ditunjukkan oleh Nabi s.a.w dari segi bacaan dan perbuatan tanpa dikurangi sedikit pun.

Sabda Rasulullah s.a.w: “Solatlah kamu seperti kamu lihat cara aku mengerjakan solat.”
– Hadis riwayat al-Bukhari.

Untuk menambahkan kekhusyukan dalam solat, kita dicadangkan agar melakukan perkara-perkara berikut:

1. Sentiasa memulakan bacaan ketika solat dengan isti’azah (a’uzubillahi minasyaitanirrajim).

2. Membaca surah-surah dengan bacaan tartil (sederhana).

3. Sentiasa menepati waktu solat agar tidak tergopoh-gapah mengejar masa.

4. Pelajari sifat solat Nabi s.a.w yang sahih bermula dari takbir hingga salam.

5. Mengikuti kuliah tafsir al-Quran agar kamu dapat memahami ayat-ayat yang dibaca.

6. Sentiasa merendahkan pandangan, iaitu menumpukan pandangan ke tempat sujud sehingga selesai solat.

7. Sentiasa solat menghadap sutrah.

8. Sentiasa menghayati zikir dan mempelbagaikan wirid-wirid yang tsabit.

9. Menjauhi sesuatu yang boleh mengganggu solat seperti solat di tepi pasar, di sebelah tv atau radio yang terpasang dan sebagainya.

Ini bermakna, mendirikan solat dengan mengikut segala sunnah yang ditunjukkan oleh Nabi s.a.w jelas membuktikan seseorang telah khusyuk dan solatnya diterima.

Wallahu a’lam.

Credit to: Ustaz Mohd Noor