Friday, February 4, 2011

GANTI SOLAT ORANG MATI

Soalan:

Lima hari sebelum ibu saya meninggal, disebabkan sakit, ibu saya tidak mengerjakan solat lima waktu. Persoalan saya ada orang mengatakan yang sembahyang yang tertinggal tersebut perlu digantikan oleh anaknya. Benarkah pendapat ini?

JAWAPAN:

Ulama berbeza pendapat dalam masalah ini. Namun pendapat paling tepat dalam hal ini adalah solat fardhu yang tidak dikerjakan bagi mereka yang telah meninggal dunia sama sekali tidak boleh digantikan oleh orang lain samada melalui pengqadaan solat oleh warisnya, mengupah orang lain untuk mengerjakan solat yang tertinggal tersebut ataupun memberikan makanan kepada orang miskin untuk setiap hari solat yang tertinggal.

Dalil yang membelakangi pendapat ini adalah firman ALLAH S.W.T:
"Dan bahawa sesungguhnya tidak ada (balasan) bagi seseorang melainkan (balasan) apa yang diusahakannya."
– al-Najm: 39.

Solat merupakan ibadah yang termasuk fardhu ‘Ain yang diwajibkan ke atas setiap umat Islam dan perlaksanaannya tidak boleh digantikan oleh orang lain.


Al-Imam al-Syafi’i r.h pernah berkata:
"Tidak pernah terdapat di dalam kitab mahupun sunnah, solat yang ditinggalkan oleh seseorang boleh dilakukan oleh seseorang yang lain. Setiap amalan yang dilakukan seseorang adalah untuk dirinya sendiri. Begitu jugalah solat. Ia merupakan amalan yang dilakukan sendiri oleh seseorang dan tidak boleh dilakukan oleh orang lain untuknya."
– Abu ‘Abdillah Muhammad bin Idris Asy-Syafi’i, Ikhtilaf al-Hadith, jilid 8, ms. 672. Dinukil dari buku Fiqh Perbandingan: Isu-Isu Fiqh Terpilih karya Dr. Basri bin Ibrahim, Al-Hidayah Publisher, Kuala Lumpur, 2007, ms. 383.


Imam al-Nawawi r.h pula berkata:
"Tidak boleh ditunaikan solat mahupun memberi makan untuk orang yang telah mati yang mempunyai solat yang belum ditunaikan semasa hayatnya."
– Imam al-Nawawi, Majmu’ Syarah Muhazzab, jilid 6, ms. 430. Dinukil dari buku Fiqh Perbandingan : Isu-Isu Fiqh Terpilih karya Dr. Basri bin Ibrahim, Al-Hidayah Publisher, Kuala Lumpur, 2007, ms. 401.


Sebenarnya ibadah solat itu wajib dikerjakan bagi orang yang sakit selagi mana akalnya masih waras. Sekiranya dia tidak mampu untuk mengerjakan solat secara berdiri, maka lakukanlahnya secara duduk. Sekirnya tidak mampu, maka dirikanlah solat secara baring.

Hanya tiga golongan yang dibenarkan untuk menangguh perlaksanaan solat sebagaimana sabda baginda:
"Diangkat kalam (catatan) daripada tiga golongan: Orang yang tidur sehingga dia bangun, kanak-kanak sehingga dia bermimpi (baligh) dan orang gila sehingga dia sedar."
- Hadis riwayat Imam al-Tirmizi dalam Sunannya no: 1343.


Oleh itu hendaklah saudara memperbanyakkan doa agar ALLAH mengampunkan dosa ibu saudara tersebut.


Sabda Rasulullah s.a.w:
“Apabila manusia telah meninggal dunia, maka terputuslah amal usahanya kecuali tiga hal iaitu sedekah jariah, ilmu yang dimanfaatkan dan anak soleh (lelaki atau perempuan) yang berdoa untuknya.”
– Hadis riwayat Imam al-Tirmidzi di dalam Sunannya no: 1297.


Mungkin dia telah tersalah anggap bahawa bagi mereka yang sakit dibenarkan untuk mengqadak solat setelah dia sihat nanti. Hanya sahaja pendapat yang lebih tepat adalah tidak ada qadak bagi solat fardhu melainkan mereka yang tertidur apabila terjaga ataupun mereka yang hilang akal apabila telah sedar.


Syeikh Muhammad bin Soleh al-‘Uthaimin r.h berkata:
"Pendapat paling kuat menurutku adalah sebagaimana yang dipilih oleh Syeikh al-Islam Ibn Taimiyah r.h bahawa sesiapa yang sengaja meninggalkan solat sehingga habis waktunya, mengqadanya tidaklah bermanfaat. Ini kerana, sesuatu ibadah tertakluk dengan waktu tertentu harus dikerjakan tepat pada waktu yang ditentukan. Maka sebagaimana ibadah itu tidak sah dikerjakan sebelum waktunya, ia juga tidak sah dikerjakan setelah habis waktunya. Kerana batasan yang telah ditentukan oleh ALLAH hendaklah diperhatikan."
– Rujuk buku Syeikh Muhammad bin Soleh al-‘Uthaimin, Majmu’ Fatawa Solusi Problematika Umat Islam Seputar Aqidah dan Ibadah : Bab Ibadah, Pustaka Arafah, Solo, 2002, ms. 322.


Tambah beliau lagi:
“Tetapi, orang yang meninggalkan solat itu hendaklah bertaubat sebanyak mungkin dan beristighfar (memohon ampun kepada ALLAH) serta memperbanyakkan amalan soleh.”
- Syeikh Muhammad bin Soleh al-‘Uthaimin, Majmu’ Fatawa, bab: Ibadah, ms. 328.


Malah, ALLAH sendiri menegaskan bahawa golongan yang lalai dan sengaja meninggalkan solat ini akan dihumban ke neraka melainkan setelah mereka bertaubat dan memperbanyakkan amal soleh.


Firman ALLAH S.W.T:
"Kemudian mereka digantikan oleh keturunan-keturunan yang mencuaikan sembahyang serta menurut hawa nafsu (dengan melakukan maksiat); maka mereka akan menghadapi azab (dalam neraka), kecuali orang-orang yang bertaubat dan beriman serta beramal soleh, maka mereka itu akan masuk Syurga, dan mereka pula tidak dikurangkan pahala sedikitpun."
- Maryam: 59-60.


Wallahu a'lam.

Ustaz Mohd Yaakub

2 comments:

  1. alhamdulillah entry yang penuh pengajaran dan penulisan yang sangat menarik...

    ReplyDelete
  2. Salam Jainah,

    InsyaAllah, info kita kongsi bersama.

    ReplyDelete