Soalan:
Bagaimana cara untuk khusyuk dalam solat? Bagaimana kita ingin tahu bahawa solat diterima oleh ALLAH?
Jawapan:
Khusyuk bukan bermakna memejam mata sambil membaca ayat-ayat al-Quran. Semua itu terkeluar dari maksud asal khusyuk.
Ibn al-Qayyim r.h menyatakan bahawa Nabi s.a.w tidak pernah memejam matanya ketika solat. Ibn Qudamah r.h pernah berkata: “Imam Ahmad bin Hanbal berkata: Khusyuk ketika solat ialah menumpukan pandangan ke tempat sujud. Perkara ini telah diriwayatkan oleh Muslim bin Yassar dan Qatadah.”
- Rujuk Kitab al-Mughni, jil. 1, ms. 370.
Dalam erti-kata lain, khusyuk ialah melakukan solat seperti apa yang telah ditunjukkan oleh Nabi s.a.w dari segi bacaan dan perbuatan tanpa dikurangi sedikit pun.
Sabda Rasulullah s.a.w: “Solatlah kamu seperti kamu lihat cara aku mengerjakan solat.”
– Hadis riwayat al-Bukhari.
Untuk menambahkan kekhusyukan dalam solat, kita dicadangkan agar melakukan perkara-perkara berikut:
1. Sentiasa memulakan bacaan ketika solat dengan isti’azah (a’uzubillahi minasyaitanirrajim).
2. Membaca surah-surah dengan bacaan tartil (sederhana).
3. Sentiasa menepati waktu solat agar tidak tergopoh-gapah mengejar masa.
4. Pelajari sifat solat Nabi s.a.w yang sahih bermula dari takbir hingga salam.
5. Mengikuti kuliah tafsir al-Quran agar kamu dapat memahami ayat-ayat yang dibaca.
6. Sentiasa merendahkan pandangan, iaitu menumpukan pandangan ke tempat sujud sehingga selesai solat.
7. Sentiasa solat menghadap sutrah.
8. Sentiasa menghayati zikir dan mempelbagaikan wirid-wirid yang tsabit.
9. Menjauhi sesuatu yang boleh mengganggu solat seperti solat di tepi pasar, di sebelah tv atau radio yang terpasang dan sebagainya.
Ini bermakna, mendirikan solat dengan mengikut segala sunnah yang ditunjukkan oleh Nabi s.a.w jelas membuktikan seseorang telah khusyuk dan solatnya diterima.
Wallahu a’lam.
Credit to: Ustaz Mohd Noor
Wednesday, June 9, 2010
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment