Sunday, June 13, 2010

Hukum Wang Polisi Insuran Nyawa

Isu :
Jawatankuasa Perunding Hukum Syara' (Fatwa) telah menerima pertanyaan yang bertanyakan fatwa berkenaan dengan perkara di bawah iaitu :

1. Adakah Halal atau Haram memakan wang daripada insuran nyawa seperti koperasi insuran MCIS dan bolehkah wang itu digunakan untuk upah Haji simati?

2. Adakah wang insuran di atas di kira pusaka (sekiranya pemegang polisi itu meninggal dunia)?

3. Bapa Saudara saya telah meninggal dunia dan meninggalkan sedikit wang dan saya dilantik sebagai penamanya sedangkan beliau masih ada adik beradik lagi, bolehkah saya ambil wang itu jadi hak saya seorang sahaja?



Maka Jawatankuasa Perunding Hukum Syara'(Fatwa) telah diminta memberikan Fatwanya mengenai perkara tersebut.

Keputusan :

1. Jawatankuasa Perunding Hukum Syara' (Fatwa) telah membincangkan perkara di atas dengan penuh teliti mengikut hukum yang muktabar didalam Islam. Keputusannya adalah seperti berikut :

1.1. Adakah Halal atau Haram memakan wang daripada insuran nyawa seperti koperasi insuran MCIS dan bolehkah wang itu digunakan untuk upah Haji simati.

Keputusannya :
Hukum memakan wang daripada insuran nyawa seperti insuran MCIS adalah HARAM dan tidak boleh juga digunakan untuk mengupah kepada haji simati kerana koperasi insuran tersebut mengamalkan kegiatan yang bertentangan dengan hukum syara'.


1.2. Adakah wang insuran di atas di kira pusaka (sekiranya pemegang polisi itu meninggal dunia)?

Keputusannya :
Wang yang didapati daripada insuran di atas setelah pemegang polisi itu meninggal dunia, hukumnya adalah tidak menjadi harta pusaka, kecuali wang pendahuluan atau wang yang dibayar oleh simati pada tiap-tiap bulan itu.

1.3. Bapa Saudara yang meninggal dunia dan meninggalkan sedikit wang dan saya dilantik sebagai penamanya sedangkan beliau masih ada adik beradik lagi, bolehkah saya ambil wang itu jadi hak saya seorang sahaja?

Keputusannya :
Jika sekiranya penama itu seorang ahli waris simati, maka harta simati itu hendaklah dibahagi mengikut kiraan faraid dan jika penama itu bukan ahli waris, maka ia mendapat 1/3 (sepertiga) iaitu sebagai wasiat simati.


Rujuk: Keputusan Fatwa Negeri Selangor Darul Ehsan

No comments:

Post a Comment