Tuesday, June 21, 2011

Pinggan Mangkuk Yang Pernah Digunakan Orang Bukan Islam

BAGAIMANA CARA MENYUCINYA?

Saya telah membeli set pinggan mangkuk dari seorang kawan bukan Muslim sebelum beliau berpindah ke luar negara. Beliau memberitahu bahawa pinggan mangkuk tersebut belum pernah digunakan. Saya telah mengambil tindakan menyamak pinggan mangkuk tersebut sekadar pengetahuan yang saya ada. Cara saya menyamak adalah dengan mencelup pinggan mangkuk tersebut ke dalam bekas yang mengandungi air bercampur tanah, kemudian dibilas dengan tujuh kali air mutlak.


Jawapan;

1. Bekas yang pernah digunakan orang bukan Islam, harus kita menggunakannya jika ia bersih berdalilkan hadis dari ‘Imran bin Hushain r.a. yang menceritakan; Nabi s.a.w. dan sahabat-sahabatnya pernah mengambil wudhuk dari bekas kulit milik seorang wanita musyrik.
- (Riwayat Imam al-Bukhari dan Muslim).


2. Namun dimakruhkan menggunakannya jika diketahui bahawa bekas itu pernah digunakan untuk mengisi atau memasak najis seperti mengisi arak, memasak babi atau sebagainya, kecualilah jika terpaksa, maka haruslah digunakan –tanpa makruh- dengan syarat dibasuh terlebih dahulu.

Ini sebagaimana hadis dari Abi Tsa’labah al-Khusyani r.a. yang menceritakan; Aku pernah bertanya Rasulullah s.a.w.; ‘Ya Rasulullah, kami berada di negeri Ahli Kitab (orang-orang Yahudi dan Nasrani/Kristian). Adakah harus kami makan dalam bekas mereka? Nabi menjawab; “Jangan kamu makan dalam bekas mereka kecuali jika kamu tidak menemui bekas yang lain, maka basuhlah bekas itu dan makanlah di dalamnya’
- (HR Imam al-Bukhari dan Muslim).

Mengikut riwayat yang lain, ia (yakni Abi Tsa’labah tadi) berkata kepada Nabi; ‘Sesungguhnya negeri kami adalah negeri Ahli Kitab. Mereka makan daging babi dan meminum arak. Apa yang perlu saya lakukan terhadap bekas-bekas dan periuk-periuk mereka?’. Nabi menjawab; “Jika kamu tidak menemui bekas-bekas yang lain, kamu basuhlah bekas dan periuk mereka dan setelah itu barulah kamu gunakan untuk memasak dan meminum”.
- (HR Imam Ahmad dan Abu Daud).

Berdasarkan hadis ini, sebaik-baiknya kita jangan menggunakan bekas orang bukan Islam yang pernah mereka gunakan untuk mengisi benda-benda/makanan-makan yang najis. Namun jika kita ingin menggunakannya atau terpaksa menggunakannya, hendaklah dipastikan bekas itu telah dibasuh terlebih dahulu sebagaimana disuruh oleh Nabi.


3. Cara membasuhnya; memadai dengan cara basuhan biasa sahaja iaitu membasuh dengan air hingga hilang kesan-kesan najis yang ada padanya. Tidak perlu kita menyamaknya (yakni membasuh sebanyak tujuh kali basuhan sebagaimana membasuh najis dari anjing dan babi) kecualilah jika kita mendapati ada kesan najis dari anjing dan babi di bekas tersebut atau diberitahu bahawa bekas itu digunakan untuk mengisi daging babi atau makanan yang bercampur daging babi.


4. Jika bekas itu kita perolehi dalam keadaan telah bersih (di mana tidak didapati padanya sebarang kesan najis sama ada jisim najis, warnanya, baunya dan sebagainya), tidak dituntut kita menyucinya lagi kerana memadai dengan cucian orang sebelum kita sekalipun dilakukan oleh orang bukan Islam. Ini kerana menyucikan najis tidak disyaratkan niat, maka ianya sah sekalipun dilakukan oleh orang bukan Islam. Ia sama seperti menyamak kulit.

Asalkan bekas yang dicuci atau kulit yang disamak telah hilang kesan-kesan najis padanya, SAH cucian atau samakan kulit itu tanpa kita perlu bertanya siapa yang mencucinya atau siapa yang melakukan samakan kulit itu.


5. Para ulamak menegaskan “Asal bagi segala benda di atas muka bumi adalah suci”. Maka selagi kita tidak mendapati wujudnya kesan najis pada sesuatu, ia kekal di atas hukum asalnya iaitu suci. Jika kita meragui sesuatu “apakah ia suci atau bernajis?”, ia kekal suci kerana menjadi suatu kaedah (prinsip) yang disepakati dalam Fiqh Islam; “Sesuatu yang pasti tidak akan hilang semata-mata kerana keraguan”.

Sucinya sesuatu adalah hukum yang pasti kerana ia adalah hukum asal bagi setiap benda. Hukum yang pasti ini tidak akan hilang dengan semata-mata keraguan. Ia akan hilang dengan sesuatu yang pasti juga iaitu wujudnya najis secara pasti iaitu dirasai oleh tangan atau dilihat warnanya atau dicium baunya.


6. Secara umumnya, kedudukan benda di atas muka bumi ini (dari segi suci atau tidaknya) berada dalam tiga keadaan;

a) Benda yang kita yakin akan sucinya; hukum benda ini adalah suci.

b) Benda yang kita yakin akan kenajisannya seperti ia diperbuat dari bahan najis atau nampak najis padanya; hukum bekas ini adalah najis atau mutanajis (yang kena najis yang mesti dicuci).

c) Benda yang kita ragu-ragu (yakni kita tidak tahu samada ia suci atau najis); hukumnya ialah merujuk kepada asal iaitu suci. Hukum asal setiap benda yang ada di alam ini adalah suci hinggalah terbukti najisnya barulah dikira najis atau bernajis.


7. Merujuk kepada soalan di atas, oleh kerana pinggan yang dibeli itu tidak pernah digunakan dan tidak nampak padanya sebarang kesan najis, tidaklah wajib ia disuci. Jika saudara ingin mensucinya (atas dasar untuk lebih meyakinkan diri akan kebersihannya), memadailah dengan basuhan biasa sahaja, tidak perlu hingga tujuh kali basuhan.


Wallahu a’lam.

Rujukan;

1. Panduan Bersuci, Ustaz Ahmad Adnan Fadzil.
2. Tamam al-Minnah Fi Fiqh al-Kitab wa Soheh as-Sunnah, Syeikh ‘Adil bin Yusuf al-‘Azzazi.
3. Laman Fatwa Syeikh Muhammad Soleh al-Munajjid (islamqa.com), fatwa no. 65617.


Posted by USTAZ AHMAD ADNAN FADZIL
http://ilmudanulamak.blogspot.com/

No comments:

Post a Comment