Wednesday, August 4, 2010

PUASA NAZAR DAN PUASA SUNAT BERSEKALI

Soalan:

Bolehkah kita membayar puasa nazar bersama dengan puasa sunat, contohnya puasa sunat Syaaban niat sekali untuk membayar puasa nazar?

Jawapan:

Harus menghimpunkan kedua-dua puasa tersebut dalam satu puasa. Hendaklah meniatkan kedua-duanya sekali atau meniatkan puasa nazar. Jika saudara meniatkan puasa Sya'ban sahaja, tanpa meniatkan puasa nazar, sah puasa saudara untuk sunat Sya'ban sahaja. Adapun puasa nazar tidak dikira bagi saudara kerana saudara tidak meniatkannya. Ini kerana menurut ulamak; "Yang sunat boleh dimasukkan ke dalam fardhu, tetapi yang fardhu tidak boleh dimasukkan ke dalam yang sunat".
- (al-Qawa'id al-Fiqhiyyah, Dr. Muhammad Bakr Ismail).

Jika saudara meniatkan puasa nazar sahaja, insyaAllah akan termasuk di dalamnya puasa sunat Sya'ban kerana yang dikehendaki dari puasa Sya'ban ialah semata-mata wujud puasa di dalam bulan itu sama ada dengan puasa qadha, puasa nazar atau puasa sunat.

Perlu diperingatkan, niat puasa bagi nazar hendaklah dilakukan di malam hari kerana semua puasa wajib/fardhu (samada puasa Ramadhan, qadha atau nazar), disyaratkan niatnya dilakukan pada malam hari -sebelum masuknya waktu subuh- .


Wallahu a'lam.

Rujukan;

1. al-Qawa'id al-Fiqhiyyah, Dr. Muhammad Bakr Ismail, hlm. 135
2. Fatawa Syeikh 'Atiyah Saqar (Min Ahsanil-Kalam...), juz. 2, hlm. 23.

Posted by USTAZ AHMAD ADNAN FADZIL

No comments:

Post a Comment