Sunday, April 19, 2009

Aqiqah

Daripada Samurah r.a katanya, sabda Rasulullah s.a.w: "Setiap anak tergadai dengan aqiqahnya yang disembelih pada hari ketujuh (dia dilahirkan), dicukur kepalanya dan diberikan nama.” - Riwayat Ahmad

Huraian :-

1. Aqiqah merupakan salah satu daripada sunnah Rasulullah s.a.w ketika menyambut kelahiran anak yang baru dilahirkan.

2. Ia sunat dilakukan sejak lahir dan sebelum anak mencapai umur baligh. Walaubagaimanapun masa yang paling afdhal untuk aqiqah itu ialah pada hari ketujuh selepas kalahiran.

3. Bagi anak lelaki, lebih utama disembelih sebanyak dua ekor kambing tetapi harus juga melakukannya dengan seekor kambing sahaja. Manakala bagi anak perempuan pula memadai dengan seekor kambing.

4. Antara hikmah disarankan melakukan aqiqah dalam Islam untuk anak yang baru lahir ialah:

i. Untuk mendekatkan diri kepada Allah SWT yang menciptakannya sejak daripada detik-detik awal kehidupannya dan sesungguhnya ia dilahirkan ke dunia ini dengan izin Allah.

ii. Sebagai salah satu cara bagi ibu bapa melahirkan tanda kegembiraan dan kesyukuran atas kelahiran cahaya mata mereka.

iii. Menyemai sifat pemurah pada si anak dengan harapan akhlak terpuji ini menjadi fitrah semulajadinya apabila dewasa kelak.

iv. Mengeratkan lagi hubungan silaturrahim di kalangan anggota masyarakat ke arah melahirkan suasana kehidupan yang aman dan harmoni.

No comments:

Post a Comment