Thursday, May 28, 2009

Bila Sifat Malu Tidak Berfungsi

Apakah keistimewaan wanita sehingga begitu kuat menarik perhatian lelaki? Dalam sebuah hadis, Nabi S.A.W bersabda yang bermaksud: "Terdapat 99 bahagian tarikan pada wanita berbanding lelaki, lalu Allah SWT kurniakan ke atas mereka sifat malu." (Hadis riwayat Baihaqi)

Wanita, apapun yang dilakukannya akan mendapat perhatian lelaki:-
kalau dia berbuat baik - dikagumi;
apabila berbuat jahat - diminati;
apabila dia memakai pakaian menutup aurat - dilihat menawan;
apabila berpakaian tidak menutup aurat (seksi) - dilihat menggoda;
dan macam- macam lagi yang menarik perhatian.

Oleh sebab itu Allah S.W.T. mengurniakan kepada wanita sifat malu. Dengan sifat malu itu mereka akan berfikir panjang sebelum melakukan sebarang tindakan. Kalau hendak buat jahat dia akan memikirkan kalau-kalau orang nampak, hendak dedahkan aurat dia takut orang mengganggunya, hendak berjalan seorang dia takut ada orang mengusiknya.

Begitulah peranan malu yang boleh membantu dalam tindak-tanduk seorang wanita. Tapi apa halnya kalau tidak tahu malu ? Tentulah mereka tidak akan memikirkan semua itu. Pedulikan apa orang kata, pedulikan kalau orang tengok, tidak kisah kalau orang mengganggu dan mengusik, bahkan mereka rasa senang, seronok dan bahagia bila dalam keadaan begitu.

Dalam sebuah hadis riwayat Bukhari, Nabi S.A.W. bersabda yang bermaksud:
"Jika kamu tidak malu, buatlah sesuka hatimu."
Hadis ini merupakan sindiran dalam tegahan. Sifat malu itu adalah pokok akhlak yang mulia dan budi pekerti yang terpuji.

Bila sifat malu yang dikurniakan Allah SWT itu sudah tidak berfungsi sepenuhnya, wanita sanggup melakukan apa saja dosa dan maksiat. Jelasnya, mereka tidak takut kepada Allah, tidak gerun kepada neraka Allah dan tidak cinta kepada syurga Allah. Mereka langsung tidak takut dengan hukuman yang bakal Allah timpakan ke atas mereka. Ini tandanya mereka tiada iman.

Apabila tidak beriman, maka sifat malu yang sedia ada itu secara automatik akan hilang. Inilah realiti yang tidak boleh dinafikan, buktinya boleh dilihat di mana-mana. Melalui media cetak seperti majalah-majalah, media elektronik seperti rancangan-rancangan hiburan dan bahkan di hadapan mata kita sendiri, berbagai ragam dan kemungkaran berlaku, tidak berkecuali dilakukan oleh wanita.

Sayang.., wanita yang sepatutnya lebih istimewa daripada lelaki menjadi serendah-rendahnya hanya disebabkan sifat malunya tidak berfungsi sepenuhnya.

No comments:

Post a Comment