Tuesday, May 5, 2009

Jangan Tangguh Taubat

Antara perkara jangan ditangguh-tangguh ialah melakukan taubat. Amatlah baik jika melakukan taubat sepanjang masa bagi memastikan perjalanan hidup mendapat keampunan Allah. Sebenarnya melakukan taubat tidak hanya apabila melakukan dosa. Taubat juga satu bentuk ibadat. Bertaubat akan membersihkan jiwa dan menjauhkan diri daripada kemungkaran.

Biarpun pintu taubat sentiasa terbuka, namun ada batasan waktunya. Taubat hanya diterima selagi nyawa belum sempai di halkum atau ketika hampir sangat dengan kematian.

Sabda Rasulullah bermaksud: Sesungguhnya Allah tetap menerima taubat hamba-Nya, selagi nyawa belum sampai di halkum (yakni belum sakaratulmaut). - (Hadis riwayat Tarmizi).

Ramai orang menangguh-nangguhkan taubat disebabkan ingin menunggu usia tua. Semasa usia muda mereka ingin melakukan segala macam perkara yang mendatangkan keseronokan dan kepuasan. Kebanyakan perbuatan itu adalah dosa, termasuklah dosa besar. Apabila tua baru mereka ingin bertaubat dan menumpukan sepenuh masa dan tenaga untuk beribadat. Kononnya ketika usia tua nafsu untuk melakukan perbuatan dosa sudah tiada lagi. Mereka telah puas menikmati kehidupan di dunia, dan tambahan pula tenaga telah berkurangan. Angan-angan mereka itu semata-mata didorong oleh syaitan.

Sesungguhnya sikap bertangguh dalam hal apa sekalipun tidak mendatangkan kebaikan, melainkan bertangguh daripada melakukan kemungkaran. Sesiapa menangguhkan niat melakukan kemungkaran, pada dirinya sudah mendapat satu kebaikan. Individu yang berjaya menangguhkan diri daripada melakukan kemungkaran, dia tidak menghadapi kesukaran untuk terus mengelakkan diri daripada melakukan kemungkaran itu.

Janganlah bertangguh lagi untuk melakukan perkara kebaikan. Rebutlah setiap kesempatan masa masih hidup ini untuk mengabdikan diri kepada Allah, melaksanakan apa yang disuruh dan menjauhkan apa dilarang. Orang yang berjaya ialah orang yang mementingkan penggunaan masa dan memenuhi masa seharian dengan bekerja dan membaca yang dapat menambah ilmu bagi mendapat kehidupan yang lebih baik.

Orang yang mengurus masa dengan baik sentiasa mengharapkan sesuatu yang lebih baik dalam hidupnya. Setiap masa yang berlalu bermakna semakin banyak perkara kebaikan telah dilakukan dan semakin banyak pula bekalan hidupnya di akhirat. Beruntunglah sesiapa berjaya mengurus masa dengan baik kerana dia tidak terjerumus dalam melakukan perkara sia-sia. Perbuatan sia-sia bukan saja tidak mendatangkan kebaikan, tetapi menambah lagi beban dosa yang terpaksa ditanggung.

Sebab itu Syaidina Umar menasihatkan seluruh orang Islam agar mementingkan peningkatan kebaikan dalam kehidupan seharian. Kata-kata beliau yang paling hikmah berkaitan nilai kehidupan berbunyi: "Celakalah bagi orang Muslim yang hari ini lebih buruk dari hari semalam dan hari esoknya lebih buruk dari hari ini. "

Imam Hasan al-Bana pula mengungkapkan: "Waktu adalah kehidupan. Kehidupan manusia adalah waktu yang dilaluinya dari mula dia lahir hingga meninggal dunia."

Oleh itu sesiapa mensia-siakan masa bermakna dia telah mensia-siakan kehidupannya atau menghabiskan sebahagian daripada nyawanya tanpa mendapat sebarang manfaat. Mereka itulah orang yang rugi hidup di dunia ini, yang menghabiskan masa hidup tidak ubah seperti binatang, hanya memuaskan nafsu semata-mata.

Sesungguhnya Allah akan mempersoalkan di akhirat nanti masa yang kita habiskan di dunia ini. Jadi, menguruskan masa adalah satu amanah daripada Allah yang perlu dilakukan oleh setiap orang. Allah memberi peringatan agar sentiasa membuat persediaan untuk hari esok.

Firman Allah bermaksud: "Wahai orang beriman, hendaklah bertawakal kepada Allah dan buatlah perhitungan untuk menyahut kedatangan hari esoknya (hari kiamat). Dan (sekali lagi diingatkan) bertakwallah kepada Allah, sesungguhnya Allah amat meliputi pengetahuan-Nya segala yang apa kamu kerjakan." - (Surah al-Hasyr, ayat 71).

Sebaik-baik Muslim ialah yang berjaya menguruskan masa dengan baik. Dia beroleh kejayaan hidup di dunia dan akhirat di atas kebijaksanaan menguruskan masa dengan perkara takwa dan keimanan

No comments:

Post a Comment