Friday, August 26, 2011

Zikrullah Dalam Keadaan Suci

Rasulullah s.a.w. bersabda maksudnya: “Aku tidak suka menyebut nama Allah melainkan dalam keadaan suci.”
- (HR Ahmad)

Asal hadis ini ialah bila seorang sahabat memberi salam kepada Rasulullah s.a.w. sewaktu beliau sedang qadha hajat (buang air). Beliau menangguhkan menjawab salam tersebut sehinggalah beliau selesai beristinjak dan bersuci. Beliau tidak menjawab salam tersebut kerana beliau tidak suka menyebut nama Allah SWT dalam keadaan yang tidak suci. Di sini, Rasulullah s.a.w. memberi ilmu kepada sahabat tersebut termasuk untuk kita juga tentang anjuran menyebut nama Allah SWT dalam keadaan suci daripada hadas.

Daripada hadis ini, keluar beberapa cabang ilmu untuk pemanfaatan kita bersama:

~ Tidak dianjurkan memberi salam kepada orang yang sedang qadha hajat. Jikapun ada yang memberi salam, maka boleh menangguhkan menjawab salam sehingga selesai beristinjak dan bersuci.

~ Sunat berwuduk bila membaca Al-Quran, dengan mushaf atau tanpa mushaf. Dikatakan sunat kerana tidak wajib pada wuduk dalam membaca Al-Quran. Hanyasanya wuduk itu menjadi wajib bila perlu membawa atau menyentuh mushaf.

~ Sunat berwuduk bila azan dan iqamah. Apabila terbatal wuduk di tengah azan atau iqamat, maka tidaklah sepatutnya berhenti tetapi diteruskan sehingga selesai, kemudian mengulangi wuduk. Bagi yang ingin memulai azan dan padanya tiada wuduk, maka keutamaan diberikan kepada yang ada wuduk.

~ Sunat mengekalkan wuduk apabila selesai solat kerana memenuhi tuntutan zikir dan doa sebaik selesai mengerjakan solat.

~ Sunat berwuduk apabila menyertai majlis doa dan tahlil.

~ Sunat juga berwuduk apabila mengajar atau belajar ilmu agama yang di dalamnya sudah tentu ada zikir, doa dan ayat-ayat Al-Quran yang dibacakan.

Bagi orang yang haid, dianjurkan berwuduk tiap kali masuk waktu solat dan bolehlah mengamalkan apa sahaja zikir untuk mengingati Allah. Sekalipun dia membaca apa-apa ayat daripada Al-Quran, dengan diniatkan sebagai zikir.

Sebarang keperluan yang ada kaitan dengan zikrullah, maka sunat dikerjakan dalam keadaan suci.


Credit :
http://fekah.blogspot.com

No comments:

Post a Comment