Tuesday, July 20, 2010

CARA MENGAGIHKAN ZAKAT FITRAH

Soalan:

Bolehkah saya mengeluarkan zakat fitrah bagi isteri, 3 orang anak kepada orang cacat? Semua zakat itu sebanyak RM50, contohnya, saya bagi terus kepadanya. Sahkah zakat saya?

Jawapan:

Soalan saudara berkait dengan cara menyalur/mengagihkan zakat fitrah.

Hukumnya adalah seperti berikut:-

1. Telah disepakati oleh para ulama’ bahawa pengagihan zakat fitrah adalah sebagaimana zakat-zakat yang lain iaitu kepada lapan golongan yang disebut oleh Allah dalam surah at-Taubah, Ayat 60, iaitu:-

a)Untuk golongan fakir

b)Untuk golongan miskin

c)Untuk golongan muallaf yang hendak dijinakkan hatinya dengan agama

d)Untuk ‘amil-amil yang dilantik menguruskan zakat

e)Untuk hamba-hamba yang ingin memerdekakan dirinya

f)Untuk orang-orang yang dibelenggu oleh hutang

g)Untuk dibelanjakan bagi kemaslahan agama Allah (Fi Sabilillah)

h)Untuk orang-orang musafir yang terputus bekalan

2. Namun hendaklah diutamakan golongan fakir dan miskin kerana terdapat arahan Rasulullah s.a.w. supaya kita membantu mencukupkan keperluan mereka pada Hari Raya sebagaimana yang terdapat dalam satu hadis:

“Rasulullah s.a.w. telah mewajibkan zakat fitrah dan baginda berpesan: “Cukupkanlah keperluan mereka (yakni orang-orang fakir miskin) pada hari ini (yakni Hari Raya Puasa)”.
- (Riwayat Imam al-Baihaqi dan Daruqutni/lihat hadis ini dalam Nailul-Authar, Imam asy-Syaukani, bab Zakat al-Fitri).[1]

3. Harus bagi orang yang mengeluarkan zakat fitrah mengagihkan sendiri zakat fitrahnya kepada orang-orang yang berhak dari kalangan fakir dan miskin. Memberi zakat kepada kaum kerabat adalah lebih utama (dari memberi kepada orang lain) dengan syarat mereka miskin dan memerlukan. Maksud kaum kerabat di sini ialah saudara-mara yang tidak wajib kita menanggung nafkah mereka iaitu saudara-saudara (adik, abang atau kakak), anak-anak saudara, bapa-bapa saudara, ibu-ibu saudara, sepupu dan sebagainya.

Adapun kaum kerabat (atau ahli keluarga) yang wajib kita menanggung nafkah mereka (iaitu isteri, anak, cucu, bapa, ibu dan datuk) tidak harus kita memberi zakat kita kepada mereka.

4. Dalam mengagihkan zakat, harus kita memberi zakat kita kepada seorang fakir sahaja dan harus juga kepada ramai fakir jika zakat kita itu banyak dan boleh menampung lebih dari seorang fakir.

Lebih jelas; satu zakat hanya harus diberikan kepada seorang fakir sahaja. Adapun banyak zakat, ia harus sama ada hendak diberikan kepada seorang sahaja atau diberikan kepada ramai orang (dengan syarat setiap orang tidak mendapat kurang dari kadar satu zakat yang ditetapkan pada tahun tersebut).[2]

Merujuk kepada soalan saudara di atas, harus saudara memberi zakat kepada orang cacat jika mereka miskin atau sekurang-kurang berada di dalam salah satu dari lapan golongan yang berhak menerima zakat di atas. Semata-mata cacat belum tentu mereka layak menerima zakat kerana ada orang cacat yang kaya dan berada.

Berhubung penerima zakat, harus saudara memberi kepada seorang penerima sahaja atau memberi kepada ramai penerima jika zakat itu banyak dan setiap orang menerima tidak kurang dari satu zakat.

Wallahu a’lam.



Rujukan:

1. al-Fiqh al-Islami wa Adillatuhu, jil. 2, hlm. 912)

2. al-Mufassal fi ahkamil-Marah wa al-Baitil-Muslim, jil. 1, hlm. 469

3. ad-Darari al-Madhiyyah syarh ad-Durari al-Bahiyyah, Imam asy-Syaukani, hlm. 221.


Nota Hujung:

[1] Berkata Imam asy-Syaukani: “…Adapun pengagihan zakat fitrah adalah sebagaimana pengagihan zakat yang lain kerana Rasulullah menamakannya dengan zakat… Akan tetapi, hendaklah didahulukan orang-orang fakir kerana terdapat arahan dari baginda supaya mencukupkan mereka pada Hari Raya. Kemudian, yang selebihnya dari keperluan mereka barulah dibelanjakan untuk golongan-golongan yang lain”.
- (Lihat; ad-Darari al-Madhiyyah syarh ad-Durari al-Bahiyyah, Imam asy-Syaukani, hlm. 221) Pandangan Imam asy-Syaukani ini dipersetujui oleh ulama’-ulama’ semasa hari ini antaranya Syeikh Dr. Yusuf al-Qardhawi (dalam Fiqhu az-Zakahnya) dan juga Syeikh Abu Bakar al-Jazairi (dalam Minhajul-Muslim).

[2] Cara pengagihan hendaklah bergantung kepada keperluan, maslahah, kecukupan serta kadar zakat. Dalam memberi zakat, pemberi zakat hendaklah mencari orang yang paling berhak menerima zakatnya berbanding orang lain. Namun ia tidak dituntut supaya menyama-ratakan semua orang yang berhak dari kalangan fakir dan miskin yang ada dalam negeri atau kampungnya kerana pada zaman Sahabat sendiri, orang Islam biasa membayar zakat fitrah bagi diri dan keluarganya kepada seorang fakir sahaja.
- (Rujuk; al-Mufassal fi ahkamil-Marah wa al-Baitil-Muslim, jil. 1, hlm. 469).


Posted by USTAZ AHMAD ADNAN FADZIL

No comments:

Post a Comment