Di musim kegawatan ekonomi, kebanyakan pekerja memikirkan pelbagai kaedah dan cara untuk mencari wang sampingan dan tambahan.
Suratkhabar memaparkan isu-isu pembelian beberapa peralatan untuk kementerian tertentu dengan harga luar biasa. Hal ini terbongkar apabila Ketua Audit Negara melakukan tugasnya dengan telus dan baik, lalu mendedahkan penyelewengan ini.
Antara yang diketengahkan oleh media ini adalah :-
1) Buku yang sepatutnya berharga RM 417 menjadi RM 10,700.
2) Screwdriver yang sepatutnya berharga RM 32 menjadi RM 224.
3) Set lengkap komputer meja (desktop) yang sepatutnya berharga RM 174,811 menjadi RM 3.06 juta.
4) Karipap yang sepatutnya berharga 30 sen satu menjadi RM 3 bagi satu karipap.
5) Dua kamera 3.1 Megapixel yang sepatutnya berharga RM 2,990 menjadi RM 8,254.
6) Faber Castell pens yang sepatutnya berharga RM 160 menjadi RM 1,146.56.
7) Dua krane yang sepatutnya berharga RM 2.98 juta menjadi RM 5.72 juta.
Secara mudahnya, kes di atas berlaku disebabkan oleh salah satu sebab berikut :-
1) Penipuan oleh pegawai bertanggungjawab yang mengambil keuntungan atas angin.
2) Rasuah menyebabkan harga termasuk harga bayaran rasuah.
3) Salah teknikal dan pengiraan.
Menurut Islam, jika ia berlaku dengan sebab item 1 dan 2, sudah tentu hukumnya haram. Dalil pengharaman rasuah adalah :-
1) Firman Allah SWT: "Dan janganlah sebahagian kamu memakan harta sebahagian yang lain di antara kamu dengan jalan yang batil dan (janganlah) kamu membawa (urusan) harta itu kepada hakim, supaya kamu dapat memakan sebahagian daripada harta benda orang lain itu dengan (jalan berbuat) dosa, padahal kamu mengetahui."
- ( Al-Baqarah : 188 )
2) Disebutkan dalam hadith : "Rasulullah s.a.w telah melaknat pemberi rasuah dan penerima rasuah dalam penetapan keputusan (pemerintahan, pentadbiran, kehakiman dll)"
- ( Riwayat At-Tirmidzi, 3/622 : Imam Tirmidzi berkata : Hadis Hasan Sohih)
Manakala dalil pengharaman penipuan juga sangat jelas dalam urusan perniagaan secara umum, iaitu :-
1) Sebuah hadis : "Pada suatu hari Rasulullah s.a.w. pernah melalui seorang laki-laki yang sedang menjual makanan (biji-bijian). Baginda sangat mengaguminya, kemudian memasukkan tangannya ke dalam tempat makanan itu, apabila dilihatnya makanan itu nampak basah, maka bertanyalah beliau: "Apa yang dilakukan oleh pemilik makanan ini?". Ia menjawab: "Kena hujan". Kemudian Rasulullah s.a.w. bersabda:
"Mengapa tidak kamu letakkan yang basah itu di atas, supaya orang lain mengetahuinya?! Barangsiapa menipu , bukanlah (mereka) dari golongan kami (Islam)"
- (Riwayat Muslim, 1/99)
2) Pernah juga di riwayatkan bahawa : "Sesungguhnya Allah apabila telah mengharamkan sesuatu, maka akan haram jugalah harga jualan (keuntungan yang terhasil dari yang haram)"
- ( Ar-Rawdu Al-Murabba', 2/30 ; Riwayat Ibn Hibban, 11/312 )
3) Nabi SAW juga pernah mencela orang Yahudi yang apabila diharamkan memakan daging babi dan lain-lain, mereka membuat helah dengan mengambil lemaknya dan dihiaskan lalu dijualnya. Apabila Nabi mendapat tahu lalu terus berkata : "Allah akan menghancurkan Yahudi yang mana mereka ini apabila Allah mengharamkan makan lemak (babi, bangkai dan lain-lain yang diharamkan), lalu mereka membuat helah dengan menjualnya serta menikmati hasil jualannya".
- ( Riwayat Al-Bukhari no 2111, 2/775 ; Muslim, Baihaqi )
Hasil dari kumpulan hadis ini, perbuatan yang dilakukan adalah HARAM, jika ia benar-benar dilakukan atas dasar penipuan dan rasuah. Manakala, jika berlaku atas kesilapan teknikal, ia tidak termasuk dalam kesalahan dari sudut hukum. Ia hanya kelemahan pengurusan dan tindakan bergantung kepada pihak berwajib.
Beberapa bentuk untung atas angin dan penyelewengan yang kerap berlaku dalam industri kerja:
1) Rasuah dalam memilih : Pegawai yang bertanggungjawab memilih kontraktor untuk iklan, pembersihan, latihan dll untuk syarikat atau organisasinya. Pihak pegawai memilih syarikat 'Z' dari empat syarikat lain yang menghantar 'quotation' kerana oleh syarikat 'Z' itu berjanji memberikannya sedikit imbuhan 'ikhlas'.
Hukum : Ia adalah haram dan rasuah dalam Islam.
2) Mencipta 'quotation' sendiri : Disebabkan prosedur syarikat memerlukan 'quotation' (contohnya, minimum daripada empat buah syarikat), pegawai atau kumpulan pegawai yang diberi kuasa membuat pemilihan kontraktor untuk syarikat telah mencipta beberapa 'quotation' dari syarikat yang tidak wujud. Dia atau mereka bersepakat untuk memberi kontrak kepada satu syarikat yang mereka kenali bukan kerana kualiti dan harganya, tetapi kerana sebab-sebab lain.
Hukum : Haram kerana menipu.
3) Menaikkan Harga : Pegawai yang diminta oleh majikan untuk mencari pembekal bahan mentah, apabila pegawai berjaya mencari dengan harga RM 1500 tetapi telah menaikkannya kepada RM 2000, lalu baki RM 500 diambilnya.
Hukum : Ia adalah haram sepakat ulama.
4) Menang Tender Bersyarat : Pegawai diminta oleh majikan mencari kontraktor untuk 'renovation' pejabat atau apa jua aset syarikat. Pegawai telah mencadangkan syarikat 'B' kepada majikan disebabkan dia telah mempunyai perjanjian "Pelaburan" di sebalik tabir dengan pihak syarikat "B' yang memberikannya izin untuk melabur wang peribadinya dalam syarikat 'B'. Padahal, jika tiada peluang 'melabur' itu, sudah pasti pegawai itu tidak akan mencadangkan syarikat 'B'.
Hukum : Tindakan sebegini adalah haram dalam Islam dan ia termasuk dalam rasuah bentuk baru.
5) Tuntutan Palsu : Pegawai membeli barang keperluan syarikat atau mengisi minyak dengan harga tertentu tetapi berpakat dan memohon pembekal atau stesen minyak mengeluarkan resit dengan jumlah berbeza dari jumlah pembeliannya. Berbekalkan resit itu, pegawai membuat tuntutan kepada syarikat dengan harga berlipat kali ganda.
Hukum : Ia adalah haram menurut Islam kerana penipuan kepada syarikat. Pihak pembekal juga berdosa kerana dikira bersubahat mengeluarkan resit berjumlah palsu itu.
6) Resit Harga Ciptaan : Pegawai membeli barang untuk kegunaan syarikat dari satu kedai, dan kedai tersebut enggan bekerjasama untuk menaikkan harga dalam resit. Bagi meraih keuntungan, pegawai telah mencipta resit sendiri berserta cop palsu.
Hukum : Ia adalah haram dalam Islam kerana penipuan.
7) Ambil Untung Sendiri : Pegawai diberi oleh syarikat 'budjet maksima' sebanyak RM 5000 untuk membeli satu barangan keperluan syarikat. Pegawai berjaya mencari di pasaran terbuka barang yang diperlukan dengan harga RM 4000 sahaja. Bagi mendapat manfaat, si pegawai telah berpakat dengan penjual agar dituliskan harga RM 5000 dalam invoice dan baki RM 1000 hendaklah diberi kepadanya.
Hukum : Ia adalah haram kerana penipuan dan wang khianat sebagaimana yang disebut oleh Nabi Muhammad s.a.w.
Bagaimanapun, jika pegawai berterus-terang dengan majikan sambil memohon sebarang insentif atas kejayaannya mengurangkan kos syarikat kerana kecekapannya mencari barang yang lebih murah, tatkala itu, majikan harus memberikannya (jika ia tidak menyalahi mana-mana undang-undang syarikat). Jika tidak, majikan boleh mengambil kira kejayaan itu dan membayarnya dalam bonus dan kenaikan gaji apabila sampai waktunya sahaja.
8) Guna Khidmat Syarikat Sendiri : Senario seperti berikut : "Saya bekerja dengan majikan, dalam masa yang sama membuat perniagaan membekal barang-barang untuk majikan menggunakan syarikat saya tanpa pengetahuan majikan?"
Hukum : Ia lebih cenderung kepada hukum haram terutamanya jika anda menggunakan kuasa anda sebagai pegawai yang diberi tanggungjawab untuk mempengaruhi keputusan pemilihan pembekal.
Walaubagaimanapun, jika majikan telah diberitahu dan bersetuju tanpa sebarang syarat-syarat rasuah seperti 'mesti memberikan komisyen kepadanya' ; maka ia boleh dikira harus dan halal, terutamanya apabila syarikat anda memang punyai kualiti dan mampu menawarkan harga kompetitif berbanding syarikat pembekal lain.
Dalam mendapatkan 'side income' tambahan, sambil melakukan tugasan yang wajib, ingatlah dua hadis berikut :-
a) Nabi s.a.w. bersabda : "Barangsiapa yang telah kami ambil untuk melakukan sesuatu kerja, dan telah ditetapkan baginya sesuatu rezeki (gaji atau upah), maka apa yang diambilnya selepas itu adalah ghulul (pengkhianatan) "
- ( Riwayat Abu Daud, no 2943, Albani : Hadith Sohih ; Ma'alim as-Sunan, Al-Khattabi, 3/8 cet Dar Kutub Ilmiah)
b) Nabi bersabda kepada seorang gabenornya yang telah ditugaskan mengutip zakat kabilah Azad. Maka apabila ia selesai kerjanya dan kembali berjumpa Nabi, lalu ia menyimpan sebahagian dari wang yang dikutip sambil berkata : "Ini untukmu ( bahagian untuk Islam) dan ini untukku yang diberikan sebagai hadiah (oleh orang ramai), maka jatuh murka Baginda sambil bersabda : "Ketahuilah, pergilah kamu duduk di rumah bapamu atau ibumu, sehingga datang kepadamu hadiahmu, jika kamu benar-benar betul (layak mendapat hadiah)".
- ( Al-Bukhari & Muslim )
KESIMPULANNYA
Malangnya, amat ramai yang terlibat dalam perkara-perkara di atas tanpa memikirkan halal haram meraih keuntungan untuk digunakan oleh diri dan keluarga. Akibatnya, ia akan memberi padah di dunia dan akhirat, selain menjadi punca doa menjadi pudar dan tidak ingin didengari oleh Allah SWT.
Penutup:
Nabi Muhammad s.a.w. mengingatkan kesan harta haram terhadap munjat dan doa seseorang dengan menyebut tentang seorang pemuda yang bermusafir dalam perjalanan yang jauh, hal rambutnya kusut masai, mukanya berdebu; di mana dia mengangkat tangan ke langit : "Wahai Tuhanku...wahai Tuhanku..." sedangkan makanannya haram, minumannya haram dan pakaiannya haram. Dan dia dibesarkan dengan memakan makanan haram, maka bagaimana Kami mahu mengabulkan doanya."
- ( Riwayat Muslim, no 1015, 2/703 ; hadis sohih)
Apabila wang dan pendapatan menjadi haram, doa tiada lagi dilihat dan diterima oleh Allah SWT. Ibu kepada segala jenis doa adalah solat. Apabila solat sudah tidak lagi diterima, ini akan menyebabkan ia sesat dan terus menjauh dari Allah SWT.
Moga dijauhkan Allah.
Oleh
Zaharuddin Abd Rahman
Thursday, July 1, 2010
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment