Soalan:
Saya pernah berhutang dengan seseorang tetapi tidak dapat membayarnya kerana beliau telah berpindah dan tidak dapat dikesan tempat tinggalnya yang baru. Solannya, bolehkah nilai hutang itu disedekahkan dengan diniatkan kepada si pemberi hutang? Adakah telah selesai hutang itu dengan cara ini?
Jawapan:
Pertama, hendaklah saudara berusaha mencarinya dengan segala saluran yang ada. Jika masih tidak menemuinya setelah dicari, sekiranya saudara mengetahui ia ada menanggung hutang dari orang lain, maka gunakanlah wang yang ada pada saudara itu untuk melunasi hutangnya. Jika ia tidak menanggung hutang dari orang lain, saudara hendaklah mencari waris-warisnya dan mengembalikan wang itu kepada waris-warisnya. Jika tidak ditemui atau tidak diketahui waris-warisnya, barulah saudara memberi sedekah dengan wang itu bagi pihaknya.
Di akhirat nanti, jika pemilik wang yang saudara berhutang darinya itu memilih untuk mengambil pahala sedekah dari wangnya (yang saudara sedekahkan itu), maka pahala itu adalah miliknya. Jika ia masih menuntut saudara melunasi hutangnya iaitu ia meminta dari pahala kebajikan/kebaikan saudara, akan diberikan kepadanya mengikut kadar hutangnya. Namun saudara tidak akan rugi kerana pahala sedekah yang saudara lakukan dari wangnya tadi akan menjadi milik saudara.
Seorang sahabat Nabi s.a.w. iaitu Ibnu Mas’ud r.a. telah membeli seorang hamba dari seorang lelaki. Tatkala ia hendak membayarnya, tiba-tiba lelaki itu menghilangkan diri. Dicarinya dimerata tempat, namun tidak berjumpa. Lalu ia pun mensedekahkan wang bayaran itu dan berdoa kepada Allah SWT: “Ya Allah! Sedekah ini adalah bagi pihaknya jika ia redha. Jika ia tidak redha, maka pahalanya adalah untukku”.
Wallahu a’lam.
Rujukan;
1. Zadul-Ma’ad, Imam Ibnul-Qayyim al-Jauziyah, jil. 5, hlm. 779.
2. Al-Fatawa; Min Ahsanil-Ahkam Fi al-Fatawa Wa al-Ahkam, Syeikh ‘Attiyyah Saqar, jil. 2, hlm. 65.
Posted by USTAZ AHMAD ADNAN FADZIL
Tuesday, September 7, 2010
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment