Monday, May 2, 2011

Pandangan Islam Mengenai Hidangan Pemilik Harta Haram

Seseorang pernah bertanya kepada Ibn Masud r.a. : “Aku mempunyai seorang jiran dan tidak ku ketahui berkenaan hartanya kecuali semuanya haram dan kotor, dan dia menjemputku (ke rumahnya). Aku merasa sukar untuk hadir dan sukar juga untuk tidak hadir.”

Berkata Ibn Masud: “Terima dan hadirlah jemputannya. Sesungguhnya dosa-dosa (daripada harta haram tadi) adalah tanggungannya sahaja.”
- ( Riwayat Al-Baihaqi, 5/335 ; Al-Baihaqi berkata sanad riwayat ini tidak kukuh)

Agak sukar bagi kita untuk mengatakan harta dan pendapatan seseorang itu semuanya haram. Mungkin kerjanya dalam bidang yang haram tapi itu tidak semestinya seluruh pendapatannya dan wang simpanannya haram.

Jika pandangan yang mengatakan haram berurusan dengan individu yang hartanya bercampur diaplikasikan dan difatwakan, kita akan dapati sudah tentu seluruh umat Islam akan ditimpa kesusahan yang tiada taranya lagi.

Tidak dapat dinafikan terlalu ramai umat Islam yang hartanya bercampur apatah lagi orang bukan Islam.

Keadaan ini menyebabkan Imam Al-Ghazzali berkata :-
"Sesungguhnya sekiranya harta haram telah tersebar luas di sebuah tempat dan sukar untuk berpindah dari tempat itu, maka harus hukumnya berurusan walaupun melebihi had darurat, kerana jika manusia hanya dihadkan sekadar 'alas perut' (had dharurat), maka pastilah akan terhenti kehidupan manusia, rosaklah system dan tatkala itu urusan agama juga akan rosak dan jatuhnya syiar Islam ( kerana semuanya tidak boleh dilakukan tanpa peranan harta)"
- ( Shifa al-Ghalil, Al-Ghazzali, hlm 245 ; Mabahith at-Ta'lil, Al-Kabisi, Hlm 133 )

Yang Tidak Diketahui Adalah Harus
Apa yang disebut tadi adalah bagi individu yang diketahui pendapatannya ada yang haram. Adapun bagi yang tidak diketahui sumber pendapatan hartanya, hukumnya tetap pada yang asal iaitu HARUS dan HALAL, selagi mana tiada diketahui keterlibatan dengan haram. Tidak juga menjadi tanggungjawab kita untuk menyelidik harta dan sumber pendapatan rakan-rakan kita.

Kesimpulan:
Harus berurusan dan hadir ke rumah orang yang menjemput walaupun diketahui hartanya bercampur. Jika tidak diketahui terdapat hartanya yang haram secara jelas, hukum menghadiri tadi menjadi sunat dan mendapat pahala berdasarkan sabda Nabi SAW :-
"Apabila seorang kamu dijemput suatu majlis hidangan (kenduri makan), hendaklah ia sahut dan terimanya"
-( Riwayat Muslim, no 1430, 2/1054 ).

Satu lagi hadis juga boleh menambahkan lagi kefahaman :-
"Ada orang yang membawa kepada kami dagng. Tidak tahu pula samada mereka menyebut nama Allah (semasa sembelih) atau tidak?" Baginda menjawab : "Sebutkanlah pada diri kamu, dan makanlah"
- [Riwayat Bukhari, no 5507].


Hasilnya, ini bererti jika sesuatu hadiah yang diberi tadi :-

1) membawa sesuatu maksud yang bercanggah dengan hukum dan objektif Islam, haram diambil hadiahnya.

2) datang dari bukan Islam yang memusuhi dan memerangi Islam, haram diambil.

3) sekadar hadiah walaupun hartanya bercampur atau tidak diketahui, ia BOLEH dan harus untuk diambil.


Adapun berkenaan hidangan dari orang yang bercampur hartanya dan tidak pula diketahui samada disembelih atau tidak. Hadis Al-Bukhari tadi boleh memberikan jawapannya. Bagaimanapun, eloknya makan yang dipastikan halal sahaja.

Wallahu 'alam


Sekian.
Zaharuddin Abd Rahman
http://www.zaharuddin.net/

No comments:

Post a Comment