Friday, April 2, 2010

Bacaan Gagap Lebih Baik Dari Lancar?

Hal pahala membaca Al-Quran walau dalam keadan tergagap dan tersekat-sekat, serta perbandingannya dengan pahala bacaan mereka yang lancar:

Hadis yang sewajarnya menjadi rujukan dalam bab ini adalah seperti berikut :-

Orang yang mahir membaca Al-Quran akan bersama para Rasul yang ta'at, manakala orang yang membaca Al-Quran walau dalam keadaan tersekat dan tergagap, dan padanya kesukaran, baginya dua pahala.
- ( Riwayat Muslim, no 1329, 1/550)

Jika dilihat dari huraian kebanyakan para ulama silam, kecenderungan tafsiran mereka terhadap hadis di atas adalah bukan pada ‘membaca sambil melihat Al-Quran' tetapi lebih kepada membaca secara hafalan. Mungkin disebabkan zaman tersebut, menghafal Al-Quran sudah menjadi kebiasaan hampir bagi semua umat Islam, khususnya para ulama. Justeru hampir tidak timbul masalah membaca sambil melihat al-quran lagi.

Imam An-Nawawi menghuraikan bahawa maksud orang yang mahir dalam hadis di atas adalah mereka yang bijak dan sempurna hafalan serta tidak sukar membaca ayat-ayat Al-Quran. Manakala mereka yang menghafal dan bacaannnya tersekat-sekat, maka baginya dua pahala, iaitu pahala bacaan serta pahala melawan kesukaran yang dihadapinya.
- (Syarah Sohih Muslim)

Namun demikian, terdapat juga ulama silam dan kontemporari khususnya yang memasukkan orang yang membaca al-Quran secara melihat mushaf juga di dalam konteks hadis di atas. Ini kerana hadis tersebut tidak menyebut kalimah hafazan dengan jelas, ia hanya menyebut ‘baca', justeru adalah lebih tepat untuk tidak mengkhususkannya kepada hafazan semata dan menidakkan kelebihan bagi yang membaca dari mushaf.
Pandangan kedua ini lebih tepat dan kuat serta amat bertepatan dengan keadaan umat Islam hari ini yang semakin sedikit di antara mereka yang mampu membaca Al-Quran dengan baik, walau dengan cara melihat mushaf.

Berkenaan perbandingan yang ditanyakan, ulama besar mazhab Maliki, Al-Qadhi ‘Iyadh berkata hadis di atas sama sekali tidak bermaksud mereka yang tersekat dan gagap lebih baik daripada si pembaca lancar dan tepat, kerana kelebihan yang disebut bagi orang yang mahir iaitu bersama para Rasul adalah jauh lebih besar dan tidak sama sekali mampu ditandingi oleh dua pahala yang diperuntukkan bagi mereka yang kurang mahir.

Memang benar, malah tidak munasabah sama sekali bacaan mereka yang tidak lancar lebih besar pahalanya daripada yang lancar. Jika demikian keadaanya, lebih baik, jangan lancar bacaan sampai bila-bila, bukankah itu tidak logic lagi tidak bertepatan dengan kefahaman aqal yang waras.

Dari penjelasan tersebut, kesimpulannya hadis Nabi s.a.w tadi sebenarnya bukanlah diungkap dengan tujuan membuat perbandingan pahala di antara satu sama lain, tetapi ia lebih kepada penjelasan kelebihan tersendiri bagi kedua-dua keadaan pembaca Al-quran.

Bermakna, bagi yang mahir, ada ganjarannya yang tersendiri, demikian juga bagi yang masih belum begitu mahir. Justeru, teruskan usaha bagi yang belum mahir agar mencapai tahap mahir dan seterusnya meraih kebaikan yang ditawarkan.


Oleh Zaharuddin Abd Rahman

No comments:

Post a Comment