Friday, April 2, 2010

Kenapa Kita Di Uji

Kerana jahilnya kita, apabila ditimpa ujian, samada secara langsung daripada Allah SWT atau melalui orang lain, kita mudah melatah. Terasa Allah tidak adil, sengaja hendak menyusahkan kita. Atau kita menyalahkan orang yang mendatangkan ujian tersebut. Hati berdendam dengan orang yang mendatangkan ujian kepada kita. Walhal, bukan orang itu yang hendak menyusahkan kita, tetapi hakikatnya Allah SWT bertujuan menguji kita dengan menggunakan orang itu sebagai perantaraan. Jadi, tanyalah Allah kenapa kita diuji..

Ujian, sebenarnya melatih kita untuk mendapatkan sifat-sifat yang terpuji. Sabar, redha, tawakal, baik sangka, mengakui diri sebagai hamba yang lemah, mendekatkan diri dengan Allah dan sebagainya.

Kadangkala Allah SWT dedahkan dosa yang dilakukan hingga ramai orang tahu. Bukan untuk menghinakan kita tetapi untuk memberi ingatan supaya kita bertaubat dan tidak meneruskan perbuatan dosa itu.

Adakalanya, kita ditimpakan kesempitan hidup. Sengaja Allah SWT takdirkan demikian kerana Allah hendak melatih kita menjadi orang yang bersabar dan redha dengan takdirNYA.

Apabila kita diuji dengan kesakitan, Allah SWT mahu memberitahu kita bahawa begitulah susah dan menderitanya orang yang sedang sakit, semoga kita menjadi orang yang bertimbang rasa; menziarahi dan membantu mereka yang menderita sakit.

Kalau kita diuji dengan kematian orang yang paling kita sayangi, ianya adalah untuk menanamkan rasa kehambaan di dalam hati, sekaligus membuang rasa bangga diri kerana kita tiada kuasa untuk menolak ketentuan Allah SWT.

Semakin diuji, sepatutnya semakin bertambah iman kita dan semakin hampir kita dengan Allah SWT.

Firman Allah: “Adakah kamu menyangka bahawa kamu akan masuk syurga padahal belum lagi nyata kepada Allah (wujudnya) orang-orang yang berjihad (yang berjuang dengan bersungguh-sungguh) di antara kamu, dan (belum lagi) nyata (wujudnya) orang-orang yang sabar (tabah dan cekal hati dalam perjuangan)?
- Surah Ali Imran : Ayat 142.

Firman Allah lagi: “Katakanlah (Wahai Muhammad, akan firmanKu ini, kepada orang-orang yang berakal sempurna itu): "Wahai hamba-hambaKu yang beriman! bertaqwalah kepada Tuhan kamu. (ingatlah) orang-orang yang berbuat baik di dunia ini akan beroleh kebaikan (yang sebenar di Akhirat). dan (ingatlah) bumi Allah ini luas (untuk berhijrah sekiranya kamu ditindas). Sesungguhnya orang-orang yang bersabarlah sahaja yang akan disempurnakan pahala mereka dengan tidak terkira".
- Surah Az-Zumar : Ayat 10


Author: Abu Asif
Dipetik dari Majalah Solusi

No comments:

Post a Comment