Thursday, July 30, 2009

Biodata Imam Muslim

Nama penuh beliau ialah Muslim Ibn al-Hajjaj al-Qusyairi al-Naisaburi. Digelar Abu al-Husain.

Lahir di Naisabur (salah sebuah tempat di Iran) pada tahun 206 Hijrah.

Mula menuntut ilmu khususnya dalam bidang hadith ketika umurnya belasan tahun.
Merantau jauh dalam perjalanan menuntut ilmu khususnya hadith.

Beliau mempelajari ilmu daripada ramai guru. Di antara guru-gurunya yang terkenal ialah Ahmad Ibn Hanbal, al-Bukhari, Ishaq Ibn Rahuyah / Rahawaih, Abu Hatim al-Razi, Abu Zur’ah, al-Darimi dan lain-lain lagi.

Beliau juga mempunyai ramai pelajar-pelajar yang datang dari segenap tempat untuk menuntut ilmu daripadanya. Di antara pelajar-pelajarnya yang terkenal ialah al-Tirmidzi dan Ibn Khuzaimah.

Beliau dipuji oleh ramai ulama termasuklah guru-gurunya sendiri seperti Ishaq Ibn Rahuyah yang menyatakan kekagumannya terhadap Imam Muslim sejak beliau masih menjadi penuntut lagi.

Salah seorang gurunya bernama Muhammad Ibn Basyar telah menyenaraikannya sebagai salah seorang daripada empat ’Hafiz’ dalam hadith. Mereka ialah – al-Bukhari, Abu Zur’ah, al-Darimi dan Muslim. Ketiga-tiga pakar hadith yang disebut bersamanya (al-Bukhari, Abu Zur’ah dan al-Darimi) juga sebenarnya adalah guru-guru Muslim. Ini jelas menunjukkan kehebatan beliau walaupun masih bergelar ‘penuntut’ ilmu hadith.

Setelah merantau ke pelbagai tempat dan menulis lebih kurang 300 000 hadith (termasuk kata-kata sahabat dan tabiin), beliau kembali ke tanah airnya dan memulakan penulisan buku Sahih Muslim pada tahun 235H dan selesai menulisnya pada tahun 250H.

Selain buku Sahih Muslim, beliau turut mengarang buku-buku lain dan antara yang masih kekal dicetak pada masa kini adalah seperti buku al-Tamyiiz yang mengumpulkan hadith-hadith yang dhaif dan cara ulama hadith salaf mengenal pasti kedhaifan pada hadith, al-Kuna wa al-Asma’, al-Munfaridat wa al-Wihdan dan lain-lain lagi.

Beliau merupakan seorang ahli perniagaan dan mempunyai ladang yang menjadi sumber pendapatannya untuk menuntut ilmu.

Meninggal pada tahun 261H. Semoga Allah merahmati beliau.


Sumber rujukan:-

1-Syarh ’Ilal al-Tirmidzi – Ibn Rajab al-Hanbali.

2-Muqaddimah analisis buku al-Ilzamat wa al-Tatabbu’ – Syeikh Muqbil al-Wadi’e.

3-Manhaj al-Muhaddithin – Dr. Sa’d al-Humayyid.

4-Masodir al-Sunnah wa Manahijuha – Dr. Hatim al-Syarif.

5-Al-Ta’rif Bi al-Imam Muslim wa Kitabihi al-Sahih – Dr. Abd. Rahman al-Sudais

No comments:

Post a Comment