Sunday, July 5, 2009

Hak Ibu Atas Gaji Anak Lelakinya

Soalan:

Sila jawab soalan berikut berpandukan al-Quran dan Sunnah:

1. Adakah seorang ibu berhak atas gaji anak lelakinya?. Adakah anak lelaki mesti meminta kebenaran ibunya untuk membelanjakan gajinya?. Bolehkan ibu menghalang anak lelakinya daripada berbelanja atas keluarga anaknya yang termasuk si isteri dan anak-anak ?

2. Apakah hak yang ibu-bapa ada selepas perkahwinan?. Adakah menantu perempuan mesti meminta kebenaran suaminya atau kebenaran ibu mertuanya jika dia perlu membelanjakan daripada gaji suaminya atau jika dia mahu menghadiahkan beberapa pakaian yang dia beli daripada gaji suaminya?.

Disini saya ingin memaklumkan yang ibu mertua saya telah memberitahu saya yang adalah haknya yang saya mesti meminta kebenarannya sebelum saya menghadiahkan apa-apa daripada gaji anaknya kerana dia ada hak atas gaji anaknya. Jazakum Allahu khayran.


Jawapan Oleh Monzer Kahf :-

Mesti di jelaskan yang perhubungan antara seorang perempuan dengan ibubapa mertuanya dan seorang lelaki dengan ibubapa mertuanya berdasarkan persefahaman dan prinsip umum kebaikan (husn al-mu`asharah).

Walaupun seseorang Muslim diwajibkan untuk berlaku baik dan menghormati ibubapanya, ibubapanya tidak boleh, mengikut hukum Shari`ah, menentukan harta, termasuk gaji, anak-anak dewasa mereka tanpa kebenaran.

Dalam jawapan beliau kepada soalan diatas, Dr. Monzer Kahf, seorang pakar ekonomi terkenal dan kaunselor menyatakan yang berikut:

Wahai saudari se-Islam, aaya ingin berterus-terang kepada anda kerana saya fikir bahawa, melainkan kita sangat jelas akan hal-hal itu, kita tidak akan mampu menyelesaikan banyak masalah sosial dalam masyarakat dan umat kita. Kegagalan kita untuk berbuat demikian akan memberikan ruang kepada pihak sekular dan orang lain yang tidak membawa nilai Islam untuk mengambil peranan dalam cuba membawa penyelesaian yang bercanggah dengan budaya dan nilai kita. Perkara berikut ialah prinsip-prinsip yang menentukan hal-hal berkaitan soalan-soalan diatas mengikut Shari`ah:

1. Seorang suami diwajibkan menanggung isterinya mengikut tahap pendapatannya dan kekayaannya. Ini dijelaskan dalam al-Qur'an dan Sunnah. Kewajipan ini disebabkan oleh akad perkahwinan dan diwajibkan sama ada si isteri kaya atau miskin atau mempunyai pendapatan sendiri atau tidak. Seseorang wanita berkahwin tidak diwajibkan untuk menanggung dirinya dari wangnya sendiri.

2. Seseorang isteri boleh mengambil daripada harta suaminya (kekayaan, pendapatan, gaji, dan aset-aset lain) walaupun jika dia tidak ada kebenaran yang jelas dari si suami dengan tujuan untuk membayar apa-apa yang diperlukan untuk perbelanjaan peribadi dan keluarga secara kebiasaan. Ini termasuk dalam memberikan sedekah kepada si miskin dan yang memerlukan, apabila berlaku sesuatu peristiwa. Hal ini dijelaskan sekurang-kurangnya dua hadith Rasulullah SAW yang menyatakan seorang isteri ialah pengurus rumah dan harta suaminya, dan isteri bertanggungjawab kepada perbuatannya dan Hadith berkenaan Hindun isteri kepada Abu Sufian [yang dia meminta kepada Rasulullah SAW kebenaran untuk mengambil wang suaminya untuk perbelanjaan keluarganya tanpa kebenaran suaminya dan Rasulullah SAW membenarkan dia mengambil yang seadilnya bersesuaian dengan keperluan keluarganya].

3. Ibubapa berhak menerima khidmat dan perbelanjaan daripada anak-anak mereka, yang bujang atau berkahwin, jika mereka memerlukan. Kebaikan kepada ibubapa diwajibkan sama ada ibubapa dalam memerlukan atau tidak. Ini bermakna anak-anak diwajibkan untuk berbelanja untuk ibubapa mereka hanya jika ibubapa memerlukan, tetapi jika ibubapa tidak memerlukan, anak-anak diwajibkan juga membuat baik dan menghormati kepada ibubapanya, dalam kedua-dua hal kewangan dan sosial. Tetapi ibubapa tidak boleh, mengikut hukum Shari`ah, menentukan harta, termasuk gaji, anak-anak dewasa mereka tanpa kebenaran mereka. Ibubapa yang tinggal dengan anaknya, dan menerima wang daripada anaknya boleh memberikan sedekah mengikut keadaan mereka.

4. Harta suami dan isteri, secara hukum, tidak sepatutnya dicampur-aduk sekali. Ini bermakna setiap orang daripada pasangan bebas daripada segi kewangan daripada yang lain. Suami tiada hak menentukan harta isterinya, isteri atas kehendaknya bebas menentukan apa-apa yang suka dengan hartanya (termasuk hadiah yang diberikan oleh suami), dia tidak perlu meminta kebenaran daripada suaminya, bahkan suami tidak perlu tahu akan hal ini. Tambahan lagi, suami dan ibubapa suami tiada hak mencampuri hal ini.

Walaupun lelaki berkahwin dan perempuan berkahwin diwajibkan untuk menolong dan berbakti kepada ibubapa mereka, perhubungan antara seorang perempuan dengan mertuanya dan seorang lelaki dengan mertuanya berdasarkan persefahaman dan prinsip umum kebaikan (husn al-mu`asharah). Isteri tidak diwajibkan mentaati atau berbakti kepada ibu mertuanya, dan suami tidak diwajibkan mentaati atau berbakti kepada ibu mertuanya. Tiada hukum dalam Shari`ah kita yang meletakkan kewajipan atas perempuan berkahwin kepada ibubapa mertuanya kecuali prinsip umum persefahaman, kebaikan, penghormatan, dan menghormati yang tua.

Terjemahan dari: Rights of a Mother Over Her Son's Salary


Posted by : zulyusoff

No comments:

Post a Comment