Tuesday, July 28, 2009

Wasiat Untuk Anak Perempuan

Wasiat Auf bin Muslim Asyaibani, yang telah di tujukan khas buat anak perempuanya yang bakal melangsungkan perkahwinan dengan Al Haris bin Amr (pemerintah negeri Kandah)..

"Wahai anakku! Kalaulah wasiat ini untuk kesempurnaan adabmu, aku percaya kau telah mewarisi segala-galanya. Tetapi! ia sebagai peringatan untuk yang lalai dan pedoman kepada yang berakal.

Andai ibubapamu dapat memberikan segala-galanya, nescaya, tidak perlu bagimu seorang suami dan kau terlalu berharga bagi kami. Tetapi! wanita dicipta untuk lelaki, lelaki dicipta untuk wanita. Bercerailah kau dari ayunan buaianmu, meninggalkan teratak tempat besarmu, melangkah menuju ke alam baru yang belum kau kenal yang belum kau biasa.

Bawalah wasiat dariku sepuluh sifat, sebagai bekalan perjalanan menuju alam bahagia.

1. Kau milik suamimu. Anggap dirimu sebagai hamba, tentu suamimu jadi teman yang paling setia.

2. Relakan hatimu sekadar yang ada, semoga suci hatimu dengan taat setia dan hulur tanganmu tanda mahu berganding bahu.

3. Jauhkan dirimu dari segala yang buruk, yang dihidu atau dipandang mata.

4. Awasi gerak lakumu agar tidak sumbang mengguris rasa.

5. Sembunyikan suram wajahmu, gantikan ia dengan sinar.. secerah sang suria pagi dan badan yang semerbak harum bermandikan bauan, mata berpasak, kening bercelak. Itu menambah seri, itu membangkitkan kasih di hati dan bagi yang tiada (tidak mampu), air sudah cukup memadai.

6. Jaga masa makannya, juga waktu tidurnya. Kerana perut kosong hilang bicara, mata mengantuk hilang kesabaran di dada.

7. Kunci mulutmu, tabahkan hatimu. Badanmu terselamat, jiwa temanmu tidak terseksa.

8. Simpan dulu kerianganmu dikala dia berduka, pendamkan kesedihanmu dikala dia bergembira. Akibat aksi tidak senada, hilang simpatimu disebab pertama; keruh suasana disebab kedua.

9. Hulur tanganmu... andai kau menghulur sebelah tangan, nescaya dia menghulur kedua belah tangan. Tidak cukup tangan, nyiru pula ditadahkan.

10. Ketahuilah! Kasihmu tidak sampai kemana jika hatimu berdua tidak sejiwa. Kasih kau, kasihlah dia. Benci kau, bencilah dia. ALLAH saja yang menentukan nasibmu"

Berkat dari wasiat ini, anak perempuannya telah mencapai darjat yang mulia di sisi suaminya dan dikurniakan tujuh putera yang kemudiannya telah menjadi pemerintah agung di negeri Yaman..

p/s untuk mendapatkan maklumat lanjut sila rujuk buku Abdul Wahhab Salleh yang bertajuk "Panduan Hidup Untuk Suami Isteri Yang Soleh" ..terbitan Klang Book Centre, edisi 1987.

No comments:

Post a Comment