Monday, August 24, 2009

Mati Dalam Iman

Dari Jabir (bin Abdullah) r.a katanya dia mendengar Rasulullah s.a.w bersabda:
"Setiap orang akan dibangkitkan kelak (hari kiamat) menurut keadaan (aqidah atau imannya) ketika mati.”

-(Muslim)

Huraian:-

“Janganlah kamu mati kecuali dalam keadaan Islam" merupakan perintah Allah agar kita jangan mati kecuali dalam keadaan beriman dengan ajaran Islam kerana Allah S.W.T tidak akan menerima agama selain Islam, malah Islamlah satu-satunya agama yang diredhai-Nya.

Memang tidak dinafikan bahawa tiada sesiapa pun yang layak dan mampu memberikan hidayah kepada seseorang kecuali Allah SWT yang akan memberi hidayah kepada siapa yang Dia kehendaki.

Namun begitu kita selaku manusia diberi kemampuan untuk membuatkan diri kita mati di dalam keadaan beriman sedangkan Allah S.W.T juga telah menunjukkan kepada kita jalan untuk mencapainya iaitu kita seharusnya melakukan perkara-perkara berikut :

• Menjalankan perintah-Nya dan menjauhi larangan-Nya.

• Berdoa kepada Allah untuk mematikan kita dalam Islam dan dalam keadaan beriman (husnul khotimah).

• Bersyukur kepada Allah di atas nikmat Islam yang diberi bahkan sesungguhnya nikmat yang terbesar yang kita miliki ialah nikmat Iman dan Islam.

• Menanamkan perasaan takut sekiranya mati dalam keadaan suul khotimah.

Oleh itu seharusnya kita sentiasa berusaha untuk menjaga dan memperkuat keimanan kita dengan menjauhi maksiat dan dosa kerana perkara tersebut akan melemahkan dan merendahkan nilai pegangan aqidah kita serta ditakuti nanti kita akan menghadapi saat sakratul maut yang payah.

No comments:

Post a Comment