Wednesday, August 12, 2009

Solat Qasar & Jama'

Maksud solat qasar bagi orang yang musafir ialah memendekkan atau meringkaskan solat fardhu yang empat rakaat (Zuhur, Asar dan Isya’) menjadi dua rakaat sahaja. Solat qasar itu merupakan satu kelonggaran yang dikhususkan kepada orang yang musafir sahaja. Solat Maghrib dan Subuh tidak boleh diqasarkan, dan perlu ditunaikan dengan sempurna seperti biasa.

Orang yang musafir yang memenuhi syarat-syarat sebagaimana yang diharuskan solat qasar, harus juga solat jama'.

Maksud solat jama' ialah menghimpunkan atau mengumpulkan dua solat dalam satu waktu, iaitu menghimpunkan solat Zuhur dengan Asar, atau Maghrib dengan Isya’ dalam satu waktu yang sama, sama ada dalam waktu yang pertama atau yang kedua. Solat Subuh tidak boleh dijamakkan.

Syarat-syarat solat qasar:


1. Musafirnya hendaklah tidak bertujuan maksiat.

2. Perjalanannya hendaklah tidak kurang daripada dua marhalah.

3. Solat yang diqasarkan itu hendaklah solat Zohor, Asar, dan Isya’ sahaja, dan dilaksanakan secara tunai. Tidak dibolehkan qasar solat qada’ bagi solat yang ditinggalkan semasa musafir apabila telah tiba di dalam kawasan kediaman. Solat yang ditinggalkan dalam musafir boleh diqasarkan apabila diqadakan di waktu masih dalam musafir.

4. Hendaklah diniatkan qasar di dalam masa takbiratul ihram.

5. Tidak boleh berimamkan orang yang bersolat tamam (sempurna ).

6. Hendaklah tempat yang dituju itu tertentu. Jika sekiranya tempat yang dituju itu tidak tentu, maka tidak boleh qasar.

7. Berkekalan perjalanannya sehingga sempurna solat.

8. Ia tahu bahawa orang yang musafir itu harus mengerjakan solat qasar.

Solat Jama' terbahagi kepada dua:
1. Jama' Taqdim
2. Jama' Takkhir.

Solat Jama' Taqdim:

Jama' Taqdim dilakukan solat Zohor dan solat Asar pada waktu Zohor, atau solat Maghrib dan solat Isya’ pada waktu Maghrib. Dinamakan solat ini Jama' Taqdim kerana solat yang kedua yang belum masuk waktunya dibawa ke solat yang pertama.

Syarat-syarat Jama' Taqdim:

1. Hendaklah didahulukan solat yang empunya waktu dengan tertib, ertinya mendirikan dahulu solat Zuhur atau Maghrib yang dikira solat yang pertama, kemudian barulah diikuti dengan solat yang dijamakkan iaitu Asar atau Isya’ yang dikira solat kedua.

2. Hendaklah diniatkan jama' pada solat yang pertama atau yang empunya waktu itu dalam mana-mana juzud sembahyang sebelum salam tetapi yang afdal disyaratkan niat semasa takbiratulihram.

3. Hendaklah berturut-turut (mu'alat) antara dua solat itu dengan tidak diselangi dengan penceraian yang dikira panjang uruf.

4. Hendaklah berkekalan musafirnya daripada permulaan solat yang pertama hingga sempurna takbiratul-ihram solat kedua, kerana batal solat jamaknya apabila ia jadi mukim di antara dua solat itu.

Solat Jama' Takkhir:

Jama' Takkhir dilakukan solat Zohor dan solat Asar pada waktu Asar, atau solat Maghrib dan solat Isya’ dilakukan dalam waktu Isya’. Dinamakan solat ini Jama' Takkhir kerana solat pertama yang telah tamat waktunya itu dibawa ke solat yang kedua.

Syarat-syarat Jama' Takkhir:

1. Hendaklah berniat Jama' Takkhir sebelum habis waktu solat yang pertama (umpamanya berniat Jama' Takkhir untuk solat Zuhur bersama solat Asar, sebelum tamat waktu Zuhur). Jika ia tidak berbuat demikian hukumnya haram mentakkhirkan solat yang pertama itu daripada waktunya dan solat itu jadi qada’ pada waktu yang kedua.

2. Hendaklah berkekalan musafirnya itu sehingga diselesaikan solat yang kedua, dan sekiranya ia telah jadi mukim sebelum selesai solat yang kedua nescaya yang pertama itu jadi solat qada’.

Huraian pengertian musafir:

Apabila seseorang itu bermusafir lebih dari dua marhalah (60 batu), maka ia harus melakukan solat qasar dan jama' sekali. Solat jama' dan qasar ini adalah suatu keringanan yang diberi oleh Allah kepada hamba-Nya dalam segenap masa bagi orang musafir, senang atau susah asalkan melebihi dua marhalah.

Permulaan musafir ini dikira setelah kita keluar kawasan, sama ada melalui sungai, parit, kota sempadan atau kawasan yang sudah tidak ada bangunan lagi. Akhir musafir ialah apabila kita memasuki kawasan permulaan musafir tadi.

Solat jama' dan qasar boleh dilakukan apabila perjalanan seorang musafir tidak kurang dari 60 batu atau 100 km walaupun ada khilaf ulama dalam penentuan jarak jauhnya. Jadi, untuk berhati-hati, eloklah dikira dari 60 batu.

Apabila seseorang itu sudah sampai ke kawasan permulaan ia bertolak tadi, maka selesailah solat jama' dan qasarnya. Ia tidak boleh lagi mengerjakan solat secara jama' dan qasar. Apabila seseorang itu bermusafir dan berhenti pada satu tempat selama 4 hari atau lebih, maka putuslah safarnya. Tapi, sekiranya ia hendak berhenti di situ selama tiga hari, maka bolehlah solat jama' dan qasar. Tiga hari itu tidak termasuk hari sampai dan hari keluar. Apabila seseorang itu berhenti di suatu tempat dengan niat akan berada di situ selama tiga hari, tapi kerana urusan tidak selesai dari sehari ke sehari, maka ia diharuskan jama' dan qasar sehingga 18 hari.

Perjalanan seseorang musafir hendaklah tentu dan ia tahu ke mana arah tujuannya. Jika ia tidak tahu ke mana hendak diarahkan perjalanannya itu, maka tidak boleh jama'/qasar.

Orang yang musafir kurang dari tiga marhalah (90 batu) maka afdal solat sebagaimana biasa. Jika perjalanannya melebihi 90 batu, maka baginya lebih afdal mengerjakan solat jamak dan qasar.

Kemudahan solat jama' (jama' sahaja) juga diberikan kepada ahli karyah yang ingin mengerjakan solat berjemaah apabila hujan lebat dan kampung itu merupakan satu kawasan yang biasa lecah dan becak lalu tidak kemampuan untuk datang berjemaah, dengan syarat ada hujan pada awal kedua-dua solat, di antara kedua solat, dan pada salam solat pertama. Tidak mengapa kalau sekiranya hujan itu berhenti di pertengahan solat pertama atau di pertengahan solat kedua.

SOAL-JAWAB MENGENAI SOLAT QASAR & JAMA':-

Soalan 1: Bolehkah kita jamak Maghrib Isyak secara Takdim jika kita akan bermusafir seawal jam 8 malam. Memandangkan keadaan yang tidak selamat solat di perhentian bas, saya ambil keputusan untuk solat jamak di rumah sahaja?

Jawapan:

Melakukan solat secara jama’ bukan hanya berlaku kepada orang yang bermusafir sahaja. Apabila wujud kesukaran (musyaqqah), contohnya disini adalah kesukaran untuk menunaikan solat di perhentian bas dan sebagainya, solat boleh dijama’kan.

Didalam kes ini, solat Maghrib dan Isya’ dilakukan secara jama’ Taqdim dirumah. Maknanya, melakukan 3 rakaat Maghrib dan dikuti dengan 4 rakaat isya’. Solat Isya’ TIDAK Boleh di QASARkan kerana anda belum melepasi sempadan mukim anda.

Didalam kes saudara diatas, kesukaran untuk bersolat didalam perjalanan juga boleh menyebabkan solat dijama’kan. Syeikh Mohammad Salih al-Munajjid juga pernah menyatakan hal ini :-

“Dibenarkan bagi seseorang yang bermukim (tidak musafir) menjama’kan dua solat jika ia menjadi terlalu sukar untuk melakukan solat yang kedua pada waktunya. Kebenaran menjama’kan solat adalah LUAS berbanding dengan memendikkan solat, kerana memendik/ mengqasarkan solat hanya dibenarkan kepada musafir sahaja. Akan tetapi jama’ dibenarkan kepada musafir dan bukan musafir untuk menjama’ solat apabila menghadapi kesukaran menunaikan solat yang kedua samada pada waktunya atau didalam jemaah”

Contoh Lain : Pegawai trafik jika shiftnya sebelum Magrib sehinggalah lewat Isya’, maka keatasnya menjama’kan Magrib bersama Isya’ iaitu Jama’ Taqdim, atau Ta’khir, menurut keupayaannya. Atau seorang Doktor yang melakukan pembedahan keatas seorang pesakit, dan dia tidak boleh meninggalkannya, maka dibenarkannya didalam keadaan ini melakukan Jama’ Taqdim atau Ta’khir… ” [sumber :Laman al-Ahkam, Fatwa & Kenyataan Ulama', http://al-ahkam.net/home/index.php?name=MDForum&file=viewtopic&t=9336

Kesimpulannya, sebelum berangkat anda dibenarkan menjama’ solat jika timbul kesukaran bagi anda untuk melakukan solat yang kedua pada masa perjalanan. Solat tidak boleh diQasarkan kerana anda masih lagi belum keluar dari sempadan bandar anda (belum status musafir). Begitu juga dengan keadaan anda apabila pulang dari permusafiran, ruhsah Qasar telah pun hapus sebaik sahaja masuk di sempadan tempat tinggal anda, maka dibenarkan melakukan Solat secara jama’ diatas alasan yang sama, iaitu wujud musyaqqah (kesukaran).

Soalan 2: Persoalan saya, jadual kuliah saya pada sebuah hari dalam hari minggu bermula dari 12 tengahari hingga 5 petang tanpa henti. Ini menyukarkan saya dan kawan-kawan untuk solat zohor. Untuk mencari ruang solat diantara kelas tersebut juga sedikit sukar kerana walaupun ada 3 kelas berlainan selama 5 jam tersebut, tetapi perlu bermula tepat pada waktunya untuk melengkapkan tugasan yang diberikan. Maka saya ingin tahu apakah dibolehkan jama’ dalam keadaan ini atau kita seharusnya berusaha juga untuk mencuri masa kuliah bagi menunaikan solat?

Jawapan:-

Memang terdapat pendapat dari para fuqaha Hanabilah yang membolehkan untuk menjamak antara solat pada waktu-waktu tertentu kerana suatu alasan atau sebab-sebab yang nadir (jarang sekali berlaku) dan tidak menjadi satu kebiasaan untuk menjamakkan 2 solat pada setiap hari. Ini kerana antara alasannya ialah Islam tidak mahu memberatkan ummatnya , sebagaimana Allah SWT jua tidak mahu kepada perkara-perkara yang menyusahkan hamba-Nya dalam melaksanakan perintah-Nya. (Rujuk Hudal Islam fatawa Mu’asirah , Dr Yusof al-Qaradhawi).

Apa yang jelas dari masalah saudara ini ialah , saudara dan kawan-kawan perlulah berusaha dengan bersungguh-sungguh untuk menyelesaikan perkara ini dengan cara mengadakan perbincangan dengan pihak atasan bagi memberi ruang dan waktu seketika untuk membolehkan pelajar-pelajar yang beragama Islam menunaikan kewajipan solat. Ini perlu kerana masalah tersebut dihadapi oleh semua pelajar yang beragama Islam dalam kelas saudara dan bukannya saudara seorang sahaja. Saudara dan kawan-kawan tidak boleh melakukan jamak setiap hari. Dalam keadaan seperti ini maka para ulamak meletakkan syarat seperti mana yang disebut oleh Imam al-Nawawi, dengan syarat seseorang yang hendak melakukan jamak itu tidak menjadikannya adat atau kebiasaan, maksudnye sikit-sikit nak jamak, asyik-asyik nak jamak, maka yang itu yang tidak boleh…!

Kesimpulan: Sekiranya anda berhadapan dengan sesuatu masyaqqah atau kesulitan, dan ia dapat dihindari dengan cara anda menjamakkan solat, atau jika anda tidak menjamakkan solat kemungkinan anda akan terlepas menunaikan solat fardhu pada waktunya, maka dibenarkan menjamakkan solat. Tetapi, tidak boleh menjadikan ia sebagai satu rutin amalan, kerana nas-nas Quran dan Hadis memerintahkan supaya bersolat pada waktu-waktu yang ditetapkan syarak, kecuali dengan keuzuran. Jika tanpa udzur atau keperluan mendesak, maka jatuhlah ia ke dalam madzhab Syi'ah yang menjama'kan sebarang solat tanpa udzur!

Soalan 3: Saya akan bertolak dari Kulim ke Shah Alam dengan menaiki bas. Bas akan bertolak dari stesen Butterwoth jam 11:30 pagi dan dianggarkan akan sampai di Pudu pada jam 4 petang dan meneruskan perjalanan hingga ke Shah Alam. Saya dianggarkan tiba di Shah Alam pada jam 6 petang. Jadi, adakah syara' mengizinkan saya jika saya lakukan jama' zohor & asar di rumah saya?

Jawapan:-

Kami andaikan rumah anda berada di Kulim, dan anda ingin melakukan jama' zohor dan asar sebelum masuk waktu zohor (sebab bas bertolak pada jam 11.30 pagi). Jawapannya : Tidak boleh melakukan solat fardhu sebelum masuk waktunya.

Firman Allah SWT :-
"Sesungguhnya sembahyang itu adalah satu ketetapan yang diwajibkan atas orang-orang yang beriman, yang tertentu waktunya." [Surah al-Nisaa' : 103]

Alternatif yang anda boleh lakukan adalah seperti berikut :-

a. Anda boleh melakukan solat Qasar Zohor (sahaja) didalam BAS dan menunaikan solat Asar sebaik sahaja sampai di Shah Alam. Pandangan Qasar tanpa Jama' merupakan pilihan Syiekh Ibn Taimiyah rh. Beliau menyatakan bahawa adalah lebih baik ditunaikan setiap solat pada waktunya, jika benar-benar tidak ada hajat untuk melakukan jama'. Kerana menurut beliau, Nabi saw sentiasa melakukan solat Qasar pada masa musafir apabila masuk waktu solat tersebut (Majmu' Fatawa, 24/19).

b. Atau, lakukan Solat Qasar dan Jama' Zohor dan Asar sebaik sahaja sampai di Pudu Raya. Jika waktu itu masih ada waktu solat zohor, maka bolehlah lakukan Solat Qasar dan Jama' Taqdim. Jika waktu di Puduraya menunjukkan masuk waktu Asar, maka anda boleh menunaikan Solat Qasar dan Jama' Ta'khir.

c. Atau, jika keadaan tidak mengizinkan untuk anda melakukan Solat di Puduraya atas sebab-sebeb tertentu (takut terlepas bas dsb), maka anda boleh melakukan Solat Jama' Ta'khir di Shah Alam atas alasan kesukaran untuk melakukan solat. Solat 4 rakaat penuh Zohor dan diikuti oleh Solat 4 rakaat penuh Asar. Anda tidak boleh mengqasarkan solat sebab status musafir telah luput kerana kami andaikan Shah Alam ialah tempat anda bermastautin. Kesukaran untuk bersolat di dalam perjalanan juga boleh menyebabkan solat dijama'kan. Syeikh Mohammad Salih al-Munajjid juga pernah menyatakan hal ini :-

"Dibenarkan bagi seseorang yang bermukim (tidak musafir) menjama'kan dua solat jika ia menjadi terlalu sukar untuk melakukan solat yang kedua pada waktunya. Kebenaran menjama'kan solat adalah LUAS berbanding dengan memendikkan solat, kerana memendik (qasar)kan solat hanya dibenarkan kepada musafir sahaja. Akan tetapi jama' dibenarkan kepada musafir dan bukan musafir untuk menjama' solat apabila menghadapi kesukaran menunaikan solat yang kedua samada pada waktunya atau didalam jemaah" [Islam-QA : Soalan no: 20017]

Soalan 4: 1) Saya buat lawatan sambil belajar ke kilang dan hospital. Hari pertama kami bertolak. Hari kedua, ketiga, keempat, kelima, kami ada lawatan di hospital dan kilang. Hari keenam baru balik. Bolehkah kami buat jamak dan qasar selama 6 hari tu?

Jawapan:-

Terdapat pendapat dari kalangan Ulama yang membenarkan seseorang itu menjamak dan menqasarkan solatnya walaupun melebihi daripada 3 hari , dengan syarat ia tidak berniat untuk bermastautin di- atau menetap di- tempat tersebut. Dalam ertikata lain, ia pergi bermusafir atas suatu urusan dan akan kembali semula ke tempat tinggalnya.

Dalilnya ialah hadis Anas bin Malik ra yang bermaksud:

"Kami telah keluar (bermusafir) bersama Rasulullah saw dari Madinah ke Mekah. Maka Baginda saw bersolat dengan 2 rakaat 2 rakaat sehinggalah kami pulang” -(HR Imam Bukhari 1081 , Imam Muslim : 693)

Dalil di atas jelas menunjukkan bahawa Rasulullah saw mengerjakan solat secara qasar selama mana tempoh berada di Mekah sehinggalah Baginda saw pulang semula ke Madinah.

Malah dalam riwayat yang lain dinyatakan bahawa tempoh masa Rasulullah saw berada di Mekah atau dalam perjalanan ke Mekah sebagaimana berikut :
* 19 hari (Riwayat dan lafaz dari Imam Bukhari , dari Ibn Abbas : 1080)
* 15 hari (HR Abu Daud : 1230 , 1231)
* 18 hari (HR Abu Daud : 1229)
* Rasulullah saw berada di Tabuk dan mengqasarkan solat selama 20 hari (HR Abu Daud : 1235)

Maka pendapat yang rajihnya ialah sebagaimana yang dikatakan oleh Syaikhul Islam Ibn Taimiyyah bahawa, seseorang yang bermusafir dibolehkan untuk menjamak dan menqasarkan solatnya selama mana pun tempohnya selagi mana ia tidak berniat Iqamah (menetap) di tempat tersebut.

WA

Ruj :
Taudhih al-Ahkam min Bulughil Maram , As-Syaikh Abdullah bin Abd Rahman Al-Bassam , Jilid 2, bab Solat dalam keadaan musafir dan sakit.

Soalan 5: Selama ini, saya telah melakukan solat jamak dan qasar (Solat Maghrib dan Isyak) di rumah, sebelum memulakan perjalanan (musafir) disebabkan kesukaran untuk melakukan solat Isyak dalam perjalanan. Kini, saya baru mengetahui bahawa hanya solat jamak dibolehkan tanpa mengqasarkan solat tersebut.
Haruskah saya mengqadha solat isyak yang telah diqasarkan?

Jawapan:

Diantara syarat-syarat sah memendikkan (qasar) solat adalah “hendaklah musafir melepasi pagar pekan (balad) yang dimulakan permusafirannya” [al-Fiqh al-Manhaji 1/187].

Syarat ini merupakan pandangan jumhur ulama’ sebagaimana Imam al-Nawawi rh berkata :

“Mazhab kami sesungguhnya apabila seseorang melepasi bangunan pekannya, maka bolehlah dia qasar, dan tidak boleh qasar sebelum melepasinya, walaupun jika dia baru keluar dari rumahnya. Ini adalah juga kata-kata (Imam) Malik, Abu Hanifah, Ahmad dan jumhur ulama.” [al-Majmu' 4/228].

Dengan kata lain, tidak boleh memendikkan solat di rumah. Bagi mereka yang memendikkan solat ketika masih berada di rumah (kerana tidak tahu hukumnya), tidaklah perlu menqada’kan kesemua solat yang dilakukan sedemikian. Dia hanyalah perlu menqada’kan solat ketika mana dia tahu akan hukum sebenar solat Qasar, dengan ertikata lain, solat yang terkini sahaja.

Solat jama’ dan qasar adalah dua benda yang berbeza; qasar untuk musafir sahaja, jama' untuk musafir dan bukan musafir. Lihat hadis berikut yang membenarkan jama’ boleh dilakukan di rumah, pejabat dll tanpa sebab musafir.

Abdurrazaq menceritakan kepada kami, Sufyan menceritakan kepada kami, dari Abu Az Zubair dari Sa’id bin Jubair dari Ibnu Abbas, ia berkata “Nabi SAW menjama’ Zuhur dengan Asar di Madinah ketika tidak sedang bepergian dan tidak pula dalam kondisi takut (khawatir)”. Ia (Sa’id) berkata “Wahai Abu Al Abbas, mengapa Beliau melakukan itu?”. Ibnu Abbas menjawab “Beliau ingin agar tidak memberatkan seorangpun dari umatnya”.

Penjelasan hadits tersebut :
Imam Nawawi dalam kitabnya Syarah Muslim,V/215, dalam mengomentari hadis ini mengatakan, “Kebanyakan ulama membolehkan menjama’ solat bagi mereka yang tidak musafir bila ada keperluan yang sangat mendesak, tapi dengan catatan tidak menjadikan yang demikian sebagai tradisi (kebiasaan). Pendapat demikian juga dikatakan oleh Ibnu Sirin, Asyhab, juga Ishaq Almarwazi dan Ibnu Munzir.


Didalam sebuah Hadith riwayat Abu Hurairah ra. (Bukhari #724] bahawa ada seseorang yang bersolat di masjid dan selepas solat dia memberi salam kepada Nabi lalu baginda berkata : “Kembalilah untuk solat semula, sesungguhnya kamu belum bersolat lagi" dan perkara ini berlaku selama 3 kali. Maka Nabi terus mengajar orang tersebut cara bersolat dengan besertakan toma’ninah. Di dalam hadith ini Nabi tidak pula menyuruh orang tersebut menqada’kan solatnya yang lepas-lepas (dahulu), malah baginda hanya menyuruh mengulangi solat yang pada masa itu sahaja.

Begitu juga di dalam hadith riwayat Abdul Rahman ibn Abza (Bukhari #331) bahawa Umar ibn al-Khattab tidak bersolat kerana beliau di dalam keadaan Junub, akan tetapi ‘Ammaar ibn Yaasir telah menggolekkan dirinya di dalam debu lalu bersolat. Apabila mereka memberitahu Nabi, baginda berkata “adalah mencukupi kamu melakukan begini", dan Nabi menepuk tangannya ke bumi dan meniupnya, kemudian menyapu kepada muka dan tangannya.

Didalam keadaan ini, Nabi tidak pula menyuruh ‘Ammaar ibn Yassir mengulangi solatnya kerana beliau melakukan tayamum dengan cara yang berbeza sekali, iaitu menggolekkan badan ditanah.

Soalan 6: Sekiranya tidak dalam keadaan musafir, bermakna waktu kini pon boleh dilakukan jamak? Seperti sekiranya kita ada function, dan kita risau yang mungkin ia boleh meyebabkan kita meninggalkan solat, jadi bolehkah kita jamak dari rumah dahulu?

Jawapan:-

Hukum asal Solat ialah pada waktunya, maka dalam keadaan yang perlu sangat baru boleh Jama’. Jika setakat function, takut-takut kita ini jadi orang yang ikut hawa nafsu untuk tidak solat pada waktunya.

Soalan 7: Bolehkah menjamak solat secara berjamaah?

Jawapan:-

Sufyan menceritakan kepada kami dari Abu Az Zubair dari Sa’id bin Jubair dari Ibnu Abbas, ia berkata “ Aku pernah solat bersama Nabi SAW delapan rakaat sekaligus dan tujuh rakaat sekaligus”. Aku bertanya kepada Ibnu Abbas “Mengapa Rasulullah SAW melakukannya?”. Beliau menjawab “Dia tidak ingin memberatkan umatnya”. (Hadis Riwayat Ahmad dalam Musnad Ahmad jilid III no 3265, dinyatakan shahih oleh Syaikh Ahmad Muhammad Syakir)

Hadis di atas juga mengisyaratkan bahwa kebolehan Menjama’ Solat itu mencakupi juga untuk solat berjamaah. Hal ini seperti yang diungkapkan dengan jelas oleh Ibnu Abbas RA bahwa beliau pernah melakukan solat jama’ bersama Nabi SAW.

Abdurrazaq menceritakan kepada kami, Ibnu Juraij mengabarkan kepada kami, Ibnu Bakar berkata Ibnu Juraij mengabarkan kepada kami, ia berkata Amr bin Dinar mengabarkan kepada kami bahwa Abu Asy Sya’tsa mengabarkan kepadanya bahwa Ibnu Abbas mengabarkan kepadanya, Ia berkata “Aku pernah solat di belakang Rasulullah SAW delapan rakaat secara jamak dan tujuh rakaat secara jamak”. (Hadis Riwayat Ahmad dalam Musnad Ahmad jilid III no 3467, dinyatakan shahih oleh Syaikh Ahmad Muhammad Syakir)

Begitulah dengan jelas hadis-hadis shahih telah menetapkan bolehnya Menjamak Shalat Zhuhur dengan Ashar dan Maghrib dengan Isya’ ketika tidak dalam perjalanan atau dalam uzur apapun. Hal ini adalah ketetapan dari Rasulullah SAW sendiri dengan tujuan memberikan kemudahan pada umatnya. Wassalam

No comments:

Post a Comment