Dari Abu Malik Al-Asy’ari katanya:
"Bersabda Rasulullah s.a.w: "Kebersihan itu sebahagian daripada iman. Membaca Subhanallah dan Alhamdulillah pahalanya sebesar langit dan bumi. Sembahyang itu pelita. Sedekah itu bakti. Sabar itu cahaya dan Al-Quran itu akan menjadi kawan atau lawanmu. Manusia sepanjang hidupnya bekerja untuk keselamatan dirinya atau kecelakaannya.” (Muslim)
Huraian:-
Kemakmuran dan kesejahteraan itu boleh sahaja diperolehi dengan berbagai cara, termasuk dengan cara membelakangi nilai-nilai ugama. Namun begitu kemakmuran dan kesejahteraan yang menyalahi nilai-nilai ugama tidak akan dapat bertahan lama kerana ia sebenarnya kosong daripada berkat dan apa pun jua yang ketandusan berkat tidak akan dapat menghasilkan kebahagiaan sejati.
Oleh itu Islam menganjurkan umatnya agar sentiasa berpegang pada jalan yang betul dan berbuat sesuatu yang benar-benar bertepatan dengan kehendak syarak sama ada ia merupakan perkara wajib ataupun sunat. Ini disebabkan manusia itu sepanjang hidupnya bekerja untuk keselamatan dirinya atau kecelakaannya iaitulah bergantung pada keberkatan dan keredhaan Allah S.W.T dalam setiap apa yang dilakukannya itu.
Jika itu perkara yang baik, insyaAllah ia akan selamat dunia dan akhirat tetapi jika sebaliknya lambat laun ia akan mendapat pembalasan dan kecelakaan sama ada di dunia atau pun di akhirat kelak.
Monday, March 16, 2009
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment