Tuesday, February 2, 2010

Kegagalan Manusia Dalam Mengekang Nafsu Syahwat

Soalan:

Bagaimana hendak menghentikan ketagihan nafsu syahwat yang 'terlarang' untuk selamanya dan bagaimana untuk dapatkan taubat sebenar-benarnya?

JAWAPAN:

Sifat nafsu amarah memang sentiasa mengajak kepada dosa.

Kegagalan pengawalan nafsu syahwat bagi majoriti manusia adalah lumrah, manakala sebahagian yang lain mampu mengekang nafsunya hasil mujahadah (usaha tungkus lumus) luar dan dalam. Namun demikian, adakalanya mereka yang mampu mengawal juga mungkin tertewas.

Allah SWT menyebut perihal kegagalan manusia dalam mengekang nafsu:-

"Dihalalkan bagi kamu, pada malam hari puasa, bercampur (bersetubuh) dengan isteri-isteri kamu. Isteri-isteri kamu itu adalah sebagai pakaian bagi kamu dan kamu pula sebagai pakaian bagi mereka. Allah mengetahui bahawasanya kamu mengkhianati diri sendiri, lalu ia menerima taubat kamu dan memaafkan kamu...."
- (Al-Baqarah : Ayat 187)

Allah SWT juga menegaskan :-

"Sesungguhnya nafsu manusia itu sangat menyuruh melakukan kejahatan, kecuali orang-orang yang telah diberi rahmat oleh Tuhanku (maka terselamatlah ia dari hasutan nafsu itu). Sesungguhnya Tuhanku Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani."
- ( Yusuf : Ayat 53)

BAGAIMANA MENGEKANG NAFSU ?

Ringkasnya, mengekang dan melawan kehendak nafsu syahwat bukan tugas yang mudah. Itulah cabaran yang diberikan oleh Allah SWT untuk menapis antara mereka yang bersungguh, ikhlas dan beriman dan yang kurang dan tidak beriman. Bagi yang berjaya, tempatnya amat hebat di Syurga Allah SWT.

Justeru, kita tida perlu mengeluh dan hairan dengan ketagihan nafsu, kedegilannya, kesukaran menanganinya dan mengawalnya.

Apa yang perlu adalah : -

* Mengukuhkan azam untuk berubah. Ia sukar untuk diajar melalui tulisan, tetapi kesedaran dan keinginan inilah yang perlu, untuk bertindak.

* Mengenalpasti sumber dan punca yang boleh membiakkan kekuatannya lalu dengan segera dipotong dan dihapuskan.

* Mengenalpasti cara, suasana, tempat dan individu yang dapat menarik kita kepada kelupaan syahwat.

Kesimpulannya, proses ini memerlukan kepada pantang larang dan kemestian. Ada yang perlu pantang, dan ada yang perlu dibuat. Ia proses sunnatullah untuk segala jenis penyembuhan samada hati dan iman yang berbentuk spiritual dan juga tubuh fizikal.

Contoh: Seperti menangani penyakit kencing manis dari sudut konsepnya. Pesakit kencing manis menghadapi cabaran mengawal nafsu makan yang tinggi, terhalang dari menikmati juadah lazat-lazat. Pantang ini dilaksanakan dengan keterpaksaan, bukan?. Keterpaksaan itulah satu mujahadah. Cuba fikirkan, bagaimana pantang ini akhirnya mampu didisplinkan? Itulah salah satu jalan permulaan. Pesakit kencing manis serius ini hanya akan mampu mengawal nafsu makannya, jika dia mempunyai keyakinan dan kefahaman terhadap akibat buruk melanggarinya. Dia juga boleh mengawalnya hasil kehendak dalaman dirinya sendiri, didasari oleh kefahaman jitu tentang implikasi dan keburukan yang akan melandanya, jika gagal mengawal nafsu makannya.

Begitu juga bagi nafsu syahwat. Kekuatan iman perlu dipasak awal, kita perlu yakin dan faham akibat buruk darinya seperti :

* azab api neraka,
* azab kubur,
* mati buruk (suul khatimah) dalam kemaksiatan
* kejauhan dari rahmat Allah SWT
* tiada peruntukan Syafaat baginda Nabi s.a.w
* dan lain-lainnya.

Proses pertama untuk mengekang nafsu syahwat ‘terlarang’ ini adalah dengan meningkatkan ilmu dan keyakinan terhadap kedua-dua ilmu, ghaib dan fizikal, iaitu kesan buruknya seperti:-

* penceraian akan berlaku akibatnya,
* pasangan zina mengandung,
* bunuh anak luar nikah mungkin berlaku akibat malu,
* kejian masyarakat,
* ditangkap basah dan diumum di media,
* dijangkiti AIDS dan penyakit kelamin,
* dibuang kerja kerana imej buruk kepada syarikat
* dan banyak lagi boleh disenaraikan.

Pasakkan semua implikasi negatif berbentuk spiritual (ghaib) dan fizikal ini di dalam minda setiap kali nafsu syahwat itu ingin dituruti atau mempengaruhi. InsyaAllah ia akan mampu menjadi pendinding awal sebelum berlakunya dosa dorongan syahwat nafsu itu.

ORANG BERILMU JUGA RAMAI YANG MENYELEWENG?

Tidak dinafikan, ramai juga orang yang sudah punyai ilmu tetapi masih jatuh dan terlanjur melakukan maksiat ini. Tatkala itu, datanglah fungsi taubat yang disebut oleh Allah SWT di atas, berbekalkan kefahaman dan asas yang sudah ada, usaha mengukuh dan menyuburkannya lebih mudah daripada individu yang tiada asas dan pasak yang kukuh kerana tanpanya, sebarang perubahan kepada kebaikan akan terbantut dan mudah terseleweng akibat gangguan lain.

SENARAI ‘YANG JANGAN' DAN ‘YANG PERLU' UNTUK TINDAKAN

Sebagai kesimpulan, sebagai tambahan kepada penjelasan di atas, disertakan beberapa cara, usaha, kaedah dan jalan untuk mengawal nafsu syahwat secara ringkas dan padat (tidak mengikut aturan tertib) :-

* 1. Fikirkan target kehidupan dan usahalah melaksanakannya, pinggirkan pemikiran berkenaan seks dan syahwat, sedaya mungkin. Sibukkan diri mencapai target tersebut.

* 2. Datangkan keyakinan Allah Maha Melihat apa yang dilakukan di ketika ramai dan sendirian ,Allah SWT sedang Melihat apa yang sedang kita lakukan.

* 3. Sedarkan diri, malaikat turut sentiasa bersama kita mencatat apa yang ditulis, diucap dan dilakukan.

* 4. Rapatkan hubungan dengan ahli keluarga yang baik dan soleh.

* 5. Putuskan hubungan ‘songsang' dan ‘gelap' samada yang dibuat secara suka-suka atau serius, yang diperolehi melalui internet atau fizikal, melalui laman chat, email, web dan sebagainya. Putuskan semua medium yang boleh mendorong kepada peningkatan syahwat. Jika berseorangan di hadapan komputer itu boleh menyebabkan pemikiran syahwat naik, maka elakkan diri berseorangan di hadapan komputer. Jika berbual mesra dan makan tengahari bersama dengan rakan sekerja lain jantina itu puncanya, elakkan diri darinya dan makan sendirian bersama yang sama jantina sahaja. Begitulah seterusnya.

* 6. Putuskan hubungan adik, kakak dan abang angkat berlainan jantina kerana ia tidak lain kecuali haram dan pendorong maksiat.

* 7. Ubah rutin kehidupan yang mendorong kepada peningkatan syahwat, semua orang tahu dan sedar apa jenis tindakan yang boleh mendorong syahwatnya, ia tidak sama antara satu sama lain.

* 8. Hadiri majlis ilmu dan sibukkan diri membuat target baru seperti membuat blog dan update, menulis buku dan majalah, menghasilkan karya seni lukisan dan sebagainya. Buat satu target lain dalam hidup yang boleh menyibukkan diri anda untuk mencapainya. Tanpa target dalam kehidupan, keinginan syahwat akan membiak dan berkembang akibat waktu kosong.

* 9. Sertai kumpulan bersifat keagamaan yang boleh membawa kepada ingatan kepada Allah SWT, tapi awas elakkan kumpulan songsang dan ajaran sesat.

* 10. Sertai kumpulan NGO atau kumpulan berasaskan dakwah dan keagamaan, dengannya membuka ruang mendapat rakan dan sahabat yang baik, selain itu masa kosong dan pemikiran syahwat akan dapat dibendung hasil kesibukan menganjur program dalam kumpulan terbabit. Diharapkan dengannya waktu akan lebih terisi dengan program yang baik.

* 11. Kalau anda sedang bekerja atau belajar, target untuk cemerlang dalam pelajaran dan kerja anda, dengan itu anda akan lebih sibuk dari biasa dan pemikiran akan lebih terarah kepada tujuan yang digariskan. Dengan itu, pemikiran kepada syahwat akan mula menurun atau ruangannya disempitkan

* 12. Ziarahi kubur secara kerap agar syahwat menjadi tawar akibat pemikiran kepada kematian.

* 13. Fikirkan bahawa anda akan mati ketika sedang melakukan maksiat itu, adakah anda redha untuk menerima kematian dalam situasi itu?. Fikirkan selalu.

* 14. Kalau sedang anda bersyahwat kepada seorang wanita sama ada di kaca internet, tv atau fizikal, segeralah berfikir yang hodoh tentangnya agar syahwat menjadi menurun, seperti fikirkan mulut dan nafasnya berbau busuk, giginya kotor, ada penyakit keputihan dan lendir, najis tidak dibasuh bersih, ada AIDS dan banyak lagi. Lawan nafsu yang sedang meningkat dengan mereka-cipta perkara yang bertentangan dengan keseronokan nafsu. Ini diperlukan jika pemikiran terhadap alam ghaib dan akibat buruk gagal membendung perasaan.

* 15. Kalau komputer dan internet kerap menjadi sebab peningkatan syahwat, perdengarkan bacaan Al-Quran setiap kali di hadapan komputer, InsyaAllah dengannya rasa malu akan timbul, kalau tidak banyak, sedikit. Kalau syahwat masih menggila di hadapan komputer itu, segera berhenti dan keluarlah dari bilik dan melihat awan, langit, pokok dan laut dan ingatkan kebesaran Allah SWT.

* 16. Jangan sesekali membiarkan diri terus menerus dipukau nafsu dan syaitan, satu jurus langkah kepada maksiat adalah kunci untuk syaitan menjerumuskan kepada maksiat yang lebih besar. Apa sahaja perbuatan yang mampu mendorong kepada kehampiran kepada maksiat yang lebih besar mesti disekat segera. Kerana itu Allah SWT mengingatkan :-

"Dan janganlah kamu menuruti langkah-langkah syaitan, sesungguhnya dia adalah musuh kamu yang amat jelas".
- ( Al-Baqarah : 168 )

* 17. Menjaga pemakanan. Pastikan makan makanan yang halal dan bersih. Makanan haram mendorong kepada syahwat yang lebih liar.

* 18. Memastikan harta yang diperolehi adalah dari sumber halal. Sumber haram menambah perisa syahwat kepada yang lebih kuat dan dahsyat.

* 19. Amalkan puasa sunat, zikir secara berdisplin setiap kali (baca zikir mathurat contohnya) selepas solat dan doa sebanyak mungkin semasa sujud di dalam solat agar diberikan kekuatan untuk mengawal nafsu syahwat.

* 20. Segara beristighfar dan bertaubat walau belum jatuh dalam maksiat yang berat.

Firman Allah SWT: "Dan bersegeralah kamu kepada keampunan dari Tuhanmu dan syurga yang terbentang seluas langit dan bumi disediakan bagi orang bertaqwa".
- ( Al-Imran )

Demikian beberapa cara, usaha dan kaedah untuk mengawal dan mengekang nafsu. Sekali nafsu sudah merasuk hati dan akal, seseorang individu akan lupa hakikat sebenar dan ditipu oleh kenikmatan sementara. Lupa kepada keburukan kekal yang menanti. Sama-sama kita ingat-mengingati.

Allah SWT berfirman :- "Telah berjayalah orang yang membersihkan hatinya dan telah rugilah mereka yang mengotorkannya."
- (Al-Shams : 9-10)

Sekian
Zaharuddin Abd Rahman

No comments:

Post a Comment