Semasa Amru Bin Al-As menjadi Gabenor Islam di Mesir yang dilantik oleh Sayidina Umar Al-Khattab r.a., beliau menghadapi satu cabaran iaitu musim kemarau yang menyebabkan keringnya Sungai Nil yang merupakan sumber utama bekalan air ke seluruh Negara tersebut.
Memang menjadi tradisi orang-orang Qibti, yang merupakan masyarakat pribumi Negara Mesir, untuk mengadakan upacara korban dalam sesuatu tempoh untuk ‘penunggu’ yang kononnya ditugaskan menjaga Sungai Nil. Kononnya dengan cara itu mereka akan mendapat keberkatan rezeki.
Secara kebetulan pula, berlaku kemarau. Ini menyebabkan penduduk-penduduk memohon untuk mengadakan upacara tersebut bagi mengelak keadaan kemarau yang lebih teruk.
Amru bin al-As berusaha menghentikan perbuatan mungkar tersebut di atas prinsip Islam yang mengharamkan upacara memuja syaitan dan jin. Dia segera memaklumkan kejadian itu kepada Khalifah Umar al-Khattab r.a. di Madinah.
Sayidina Umar segera menghantar surat maklum balas, bersama sepucuk surat lain dan meminta Amru supaya mencampakkan surat yang alamatnya ditulis “Buat Sungai Nil” itu ke dalam Sungai Nil.
Isi kandungan surat:
“Dari hamba Allah, Amirul Mukminin kepada Nil Mesir. Segala puji buat Allah, selawat dan salam ke atas Rasulullah. Jika engkau mengalir kerana kehendakmu semata-mata, maka janganlah engkau mengalir lagi. Tetapi jika Allah SWT yang mengalirkanmu , maka kami memohon kepada Allah agar mengalirkan kamu semula!”
Dengan karamah Sayidina Umar r.a., pada hari yang sepatutnya penduduk Mesir kembali melakukan amalan syirik itu, Sungai Nil menjadi lebih luas dan lebih banyak airnya.
Allah SWT telah mentakdirkan agar tradisi syirik itu berakhir di tangan Khalifah yang sangat dicintai oleh semua umat Islam, Sayidina Umar al-Khattab r.a.
Author: Ustaz Hj Zahazan Mohamed
Dipetik dari Majalah Solusi
Rujukan: Tafsir Al-Qurtubiy dan Hasyiat al-Sawiy ‘ala al-Jlalain,
tafsir ayat 57-58 Surah Asy-Syu’ara.
[57. Dengan sebab itu maka Kami jadikan mereka (Firaun dan tenteranya) keluar meninggalkan kebun-kebun dan matair,
58. Dan juga khazanah-khazanah kekayaan serta tempat tinggal yang mulia.]
- Surah Asy-Syu'ara
Thursday, February 25, 2010
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment