Sunday, February 21, 2010

Solat Jenazah Ke Atas Orang Yang Bunuh Diri

Soalan:

Orang yang mati kerana membunuh diri sendiri, adakah wajib disolatkan jenazahnya?

Jawapan:

Terdapat hadis dari Jabir bin Samurah r.a. menceritakan: “Telah dibawa kepada Nabi s.a.w. seorang lelaki yang telah membunuh dirinya dengan panah, lalu baginda tidak menunaikan solat ke atas mayatnya”.
- (Riwayat Imam Muslim)

Berdasarkan hadis di atas, sebahagian ulamak (antaranya Khalifah Umar bin Abdul-‘Aziz dan Imam al-Auza’ie) berpendapat: "Orang yang membunuh dirinya tidak harus disolatkan jenazahnya”.

Namun jumhur ulamak termasuklah Imam Abu Hanifah, Imam Malik dan Imam Syafi’ie berpandangan: Hendaklah disolatkan jenazahnya sebagaimana orang Islam yang lain.

Berkenaan hadis di atas, mereka menjawab: “Nabi s.a.w. tidak mensolatkan mayat yang membunuh diri itu sebagai satu ancaman kepada orang ramai agar jangan melakukan sepertinya. Walaupun baginda tidak mensolatkannya, namun ia disolatkan oleh para sahabat baginda”.

Hal demikian sama seperti tindakan baginda tidak mensolatkan jenazah orang yang mati meninggalkan hutang di mana beliau menyerahkan kepada sahabatnya untuk mensolatkannya. Tujuan baginda ialah sebagai ancaman kepada orang-orang yang suka meremeh-temehkan soal membayar hutang.

Wallahu A’lam.

Rujukan:

1. Syarh Soheh Muslim, Imam an-Nawawi, juz. 9, Kitab an-Janaiz, Bab Tarki as-Solah ‘Ala al-Qatil Nafsahu.

2. Dalail al-Ahkam, Ibnu Syidad, jil. 1, hlm. 514.

Posted by USTAZ AHMAD ADNAN FADZIL

No comments:

Post a Comment